Kita masih di dalam suasana berhari raya. Pasti ada di
antara pembaca semua yang masih sibuk beraya atau mungkin masih sibuk
mengadakan majlis rumah terbuka. Teringat hasil undian yang saya sediakan menerusi
blog saya berkenaan peratusan kegembiraan yang dialami semasa berhari raya yang
baru berlalu tika itu. Ada pengundi yang memilih 50% dan 30% gembira sahaja dan
selebihnya adalah sebaliknya yang bermaksud tidak gembira. Pagi ini, ketika
sedang menunggu klien untuk sesi temujanji menerusi panggilan telefon,
sambil-sambil membelek e-mel, ada satu e-mel yang menarik minat saya bertajuk:
Raya kali kedua yang mengecewakan…
Menurut pengirim e-mel, raya yang bakal tiba lebih kurang
dua minggu lagi (tika perbincangan ini disediakan) adalah raya kedua yang
terpaksa dilalui olehnya (seorang lelaki bujang) dengan rasa sedih dan kecewa
disebabkan kehilangan pekerjaan beberapa bulan sebelum Aidilfitri tahun lalu
dan terpaksa menerima keputusan tunangnya, memutuskan ikatan pertunangan
beberapa hari sebelum hari raya dan jika diikutkan perancangan, mereka bakal
disatukan selepas hari raya tahun ini. Berada dalam situasi ‘dah lah jatuh,
ditimpa tangga pula’, pengirim e-mel merasakan hidupnya tidak lagi bererti.
Hampir setahun ini juga dia berusaha mendapatkan pekerjaan malah berusaha
memujuk semula bekas tunangnya agar menerimanya kembali namun kedua-duanya
gagal dan hampa. Paling menyakitkan, sejurus sebelum e-mel dikirimkan kepada
saya, dia baru sahaja menerima kad undangan perkahwinan bekas tunangnya itu,
pada tarikh yang sama dirancangkan perkahwinan mereka sebelum ini, bezanya nama
pengantin lelaki. Sedih, kecewa dan hampa….
Saya yakin, para pembaca semua dapat merasai kekecewaan
yang dihadapi oleh pengirim e-mel ini. Walaupun kecewa, sedih dan hampa yang
amat sangat, satu perkara yang perlu diingat: hidup bukan untuk terus berasa
sedih, kecewa dan hampa. Seperti yang selalu saya tegaskan, hidup yang kita
lalui seharian adalah satu ujian dan cabaran untuk kita. Allah dah janjikan di
dalam ayat 2-3 surah al-Ankabut : "Apakah
manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah
beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah
menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui
orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang
dusta."
Ramai yang lupa atau masih enggan percaya, setiap yang
Allah SWT tetapkan mempunyai sebab, alasan dan hikmah yang tersendiri. Saya
percaya, ada sebabnya kenapa pengirim e-mel tadi kehilangan pekerjaan kemudian
kehilangan tunang. Walau telah berusaha hampir setahun ini untuk mendapatkan
kedua-duanya semula, Allah masih belum izinkan. Berkemungkinan, jika pengirim
e-mel tidak hilang kerja sebelum raya dan tidak putus tunang, seterusnya
perkahwinan berjalan seperti yang dirancangkan, tiba-tiba Allah uji pengirim
e-mel tadi dengan ujian yang sama, dia bukan saja akan hilang pekerjaan tetapi
hilang isteri disebabkan si isteri bersikap hanya ingin senang bersama, seperti
kes yang telah berlaku tahun lalu. Itu satu kemungkinan, mungkin ya, mungkin
juga tidak. Yang pasti, ada sebab dan rahsia tersendiri kenapa semua itu
berlaku.
Yang pasti juga, ada yang lebih baik berbanding pekerjaan
yang hilang sebelum ini termasuk juga pekerjaan yang masih berjaya dimiliki.
Sama juga, pasti ada gadis lain yang lebih baik dan sesuai menjadi calon
isterinya yang akan setia menemani dalam setiap keadaan dan situasi, tak kira
susah atau senang. Firman Allah SWT dalam ayat 216 surah al-Baqarah yang
bermaksud: "Boleh jadi kamu membenci
sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu,
padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak
mengetahui."
Ayat ini membuktikan kepada kita, bila kita kehilangan
sesuatu, kita sebenarnya tidak kehilangan sebaliknya kita bakal diberikan
sesuatu yang baru yang lebih baik lagi, insyaAllah. Seperti tajuk perbincangan
saya kali ini, kita perlu yakin dan percaya, apabila satu pintu tertutup,
hakikatnya ada pintu lain yang sudah terbuka dan sedang menanti kita. Terpulang
kepada diri kita sendiri untuk berusaha meninggalkan pintu yang tertutup
tersebut dan berusaha pula untuk mencari pintu baru yang telah sedia terbuka.
Bagaimana nak tahu pintu yang mana satu terbuka menanti
kita? Anda takkan tahu, saya juga tak tahu, hanya Allah SWT yang tahu. Jalan
terbaik ialah sentiasa berserah kepada-Nya memohon panduan dan petunjuk tentang
apa juga perkara yang bakal anda lakukan. Percayalah, jika anda betul-betul
berserah, anda akan dapat jawapan yang tepat dan cepat, insyaAllah. Cara
berserah? Berdoa seolah-olah anda sedang bercakap dengan seseorang, luahkan
segala yang membelenggu di hati anda, luahkan juga keinginan anda tetapi mohon
agar diberikan yang terbaik untuk masa depan anda. InsyaAllah, pintu baru akan
anda temui…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan