23 Jun 2009

Jika ingin menjadi orang ketiga

Saya baru selesai membincangkan isu menjawab persoalan mengenai salahkah menyintai suami orang. Saya yakin, sama seperti isu asal, perbincangan kali ini akan mengundang pelbagai respons yang mampu menggoncang kesabaran saya. Tak mengapalah, bergoncang tidak semestinya akan runtuh. Saya hanya berpegang kepada satu prinsip: qulil haq lau kana murran (berkata benarlah walaupun pahit). Kali ini, fokus saya masih berkenaan isu yang sama cuma kali ini tumpuan saya kepada mereka yang berhasrat untuk menjadi orang ketiga. Seperti yang pernah saya tegaskan, saya tidak menghina anda yang sanggup menjadi orang ketiga sebaliknya saya amat menghormati dan respek dengan mereka yang berjaya menjadi orang ketiga seperti yang disarankan oleh syarak. Tahniah kerana berjaya menempah sekaki payung emas di syurga. Saya ikhlas. Saya sendiri?? Jika terpaksa menerima kehadiran orang ketiga, saya akan berusaha sedaya upaya menjadi madu yang terbaik namun saya berdoa, saya tidak diuji dengan perkara tersebut, nauzubillah!

Kembali ke topik perbincangan. Segala yang akan saya bincangkan di sini, bukan lahir daripada emosi tetapi bersumber daripada penyelidikan dan kajian serta pandangan dan pengalaman mereka yang telah melalui jalan-jalan menjadi orang ketiga. Tak banyak resepinya, hanya satu iaitu bersifat jujur dan ikhlas dari mula. Jujur dan ikhlas untuk menjadi orang ketiga, tanpa ada niat untuk mengambil alih kedudukan isteri sedia ada. Jujur dan ikhlas ketika melangkah kaki ke dalam keluarga sedia ada dengan mengenalkan diri sejak awal lagi. Bukan hanya muncul tika rahsia tersimpan mula dihidu isteri sedia ada atau tika merasakan hak anda sebagai isteri mula diabaikan oleh suami. Memang payah untuk mengenalkan diri sejak mula. Bimbangkan respons dan tindakbalas isteri sedia ada. Bimbang dikatakan perampas. Bimbang dituduh perosak bahagia. Bimbang kasih anda terlarang dan terhalang. Namun, itulah hakikat yang perlu anda tempuh. Bukan sahaja anda tetapi juga bakal suami anda.

Jangan sesekali menyokong sikap bakal suami yang ingin merahsiakan hubungan anda berdua walau apa juga alasannya. Letakkan diri anda ke dalam diri isteri sedia ada tak kiralah pertama, kedua atau ketiga. Relakah anda ditipu oleh suami sendiri? Konon alasan ada mesyuarat hingga ke dinihari atau kerja luar selama seminggu, bila anda tahu hakikatnya suami anda beristeri baru, apakah anda dengan rela dan suka hati akan merenjis mawar dan menabur bunga rampai? Rata-rata kes yang sampai ke pangkuan saya, isteri akan mula hilang kepercayaan kepada suami. Keadaan ini bukanlah sesuatu yang baik. Perkahwinan yang wujud selepas perkahwinan sedia ada tidak boleh menjadi punca kepada kemusnahan perkahwinan sedia ada tersebut. Samalah juga, sebuah kebahagiaan terlalu sukar untuk dibina di atas kekecewaan orang lain apatah lagi kekecewaan yang tidak wajar diterima. Saya maksudkan tidak wajar kerana seorang suami tidak wajar menipu isterinya hatta untuk perkara kebaikan sebagai contoh menjaga hati isteri sekali pun.

Tanyakan pada diri anda sendiri, jika sekali anda tertipu, mudahkah untuk anda kembali mempercayai si penipu tadi? Perlu diingat juga, jika bakal suami anda boleh menipu isterinya, dia juga boleh menipu anda. Jika bukan hari ini atau sekarang, mungkin esok atau hari-hari depan nanti. Lantas, bersikap jujurlah sejak mula. Katakan pada bakal suami, anda ikhlas ingin menjadi isterinya yang sah, berkongsi kasih dengan isterinya yang sedia ada. Matlamat tersebut hanya akan tercapai sekiranya bakal suami anda juga bersikap jujur dan berterus terang dengan isterinya. Ketepikan rasa bimbang dan risau. Hasrat dan impian anda bukanlah satu perkara yang melanggar moral atau syarak. Anda dan bakal suami anda ingin mewujudkan satu hubungan yang halal. Sudah semestinya juga anda dan bakal suami anda menjaga hubungan yang bakal dihalalkan itu agar tidak tercemar dengan perkara yang haram dan dilarang syariat. Jangan pula melakukan perkara terkutuk kemudian memaksa isteri sedia ada menerima anda kerana kandungan anda sekarang. Kalau perkara ini berlaku, jangan salahkan isteri bakal suami anda jika dia tidak menerima anda.

Apabila anda dikenalkan kepada bakal madu anda, terimalah dulu apa saja luahan perasaannya. Seperti yang sedia dimaklumi, tidak ada wanita yang bersorak gembira menerima berita suaminya akan kahwin lagi. Di sinilah anda dan bakal suami anda perlu mainkan peranan. Berusaha untuk meyakinkan bakal madu anda bahawa anda bukan ingin merampas kasih tetapi ingin berkongsi. Ingat!!! Bukan sekadar menyatakan tetapi lahirkan segala hasrat itu daripada hati anda yang ikhlas. Anda bukan sekadar berusaha meyakinkan bakal madu anda menerima hubungan anda dan suaminya tetapi anda perlu meyakinkan bahawa kehadiran anda tidak akan mengubah kasih sayang bakal suami anda kepadanya. Bukan sekadar menakluki hati bakal madu tetapi tawanlah juga hati anak-anak bakal suami anda. Dalam masa yang sama, berdoalah mohon Allah memudahkan segala urusan anda dan bakal suami anda.

Sekiranya anda telah berusaha namun hasrat anda masih tidak kesampaian, terimalah.... mungkin bukan takdir anda untuk menerima sekaki payung emas ketika di syurga nanti. Terimalah suratan, anda tidak ditakdirkan untuk hadir sebagai orang ketiga. Berdoalah dan percayalah.... akan ada jodoh untuk anda juga satu hari nanti, jika bukan di dunia, anda akan memperolehi jodoh paling abadi di akhirat nanti.

****Siaran September 2007

Menjawab persoalan salahkah menyintai suami orang?

Awal Januari yang lalu, saya telah bincangkan mengenai persoalan: salahkah menyintai suami orang? Terus terang, perbincangan tersebut menyebabkan saya menerima pelbagai emel dan sms yang boleh dikatakan 70% daripadanya adalah memarahi, mencaci maki malah ada satu sms yang mengkafirkan saya dengan alasan, saya telah menolak kehendak syariat. Respons pelbagai itu berlanjutan hingga masuk ke bulan Jun walau hakikatnya, perbincangan di awal Januari itu mempunyai sambungannya dengan satu perbincangan tambahan bertajuk: isteri sanggup dimadukan jika...

Terus terang, ada antara sms tersebut yang membuatkan saya panas hati. Siapa tak panas hati kalau menerima kata-kata caci maki yang melampau-lampau malah sampai sanggup mengkafirkan saya? Namun, alhamdulillah saya berjaya mengawal kemarahan saya. Caranya, semua sms tersebut saya biarkan tanpa balasan: terima, buka, baca kemudian abaikan. Bila dibaca semula beberapa hari kemudian, saya akan tergelak sendiri. Inilah manusia, pantang ditegur pasti akan terus melatah. Apatah lagi jika meyakini perbuatan mereka benar, maksud ayat al-Quran pun sanggup dimanipulasi, ambil yang kena dengan kehendak diri sahaja, yang lain-lain dipinggirkan ke tepi. Saya tahu dan faham sangat dengan maksud ayat yang mengharuskan poligami: Kahwinlah kamu dua, tiga atau empat.

Malangnya, ramai antara kaum lelaki malah kaum wanita yang terlibat di dalam isu poligami ini terlupa dengan sambungan ayat tersebut: ”Tetapi jika kamu tidak mampu berlaku adil, memadailah dengan satu!” Mungkin terlupa atau sengaja melupakannya. Atau mungkin betul kata sesetengah orang, tak habis belajar. Belajar sekadar yang kena dengan kehendak diri sendiri sahaja. Apa yang dirasakan tak perlu, buat tak tau atau buat tidak peduli sedangkan isu ketidak adilan inilah yang menjadi permasalahan di dalam poligami. Ada antara sms tersebut menyatakan: lebih baik menerima cinta suami orang yang memang akan tau kita sedang menjejak masalah kerana kita boleh bersedia berbanding menerima cinta lelaki bujang yang diharapkan takkan membawa masalah tetapi akhirnya turut memberikan derita dan sengsara. Betullah kata pepatah, banyak udang banyaklah garamnya, ramai orang bermacam-macam juga perangai dan prinsip hidupnya.

Jika itulah prinsip hidup anda, kenapa mengeluh dan mengadu apabila diri ditimpa masalah? Apakah persediaan yang boleh anda lakukan untuk menghadapi ranjau dan onak di dalam kehidupan poligami sedangkan anda tidak tau apa yang bakal anda lalui? Memperkemaskan diri dengan pelbagai kata-kata motivasi atau berjumpa pawang dan bomoh untuk menundukkan suami? Jika itulah persediaan anda, terus terang saya katakan, anda belum bersedia sebaliknya anda menempa masalah sendiri. Inilah yang dikatakan orang, tak ada beban batu digalas, tak ada penyakit mencari sakit. Jangan salah faham, terus terang saya bukanlah anti poligami. Saya masih ada iman dan tau yang mana baik dan yang mana buruk. Malah dua sahabat baik saya adalah isteri kedua kepada seorang suami. Saya masih berhubungan dengan mereka dan merekalah contoh kes yang saya utarakan di dalam isu isteri sanggup dimadukan jika...

Saya juga tak menghina anda yang berpoligami cuma saya membenci pelaksana poligami yang membuat hukum sendiri. Tak kiralah lelaki atau perempuan, kedua-duanya sama sahaja. Jika anda suami dan anda gagal berperanan sewajarnya sebagai seorang suami kepada isteri-isteri anda, anda memang layak dimarahi kerana anda bersikap dayus. Jika anda perempuan, antara isteri yang dimadukan suami tetapi anda gagal untuk berkongsi sedangkan anda merelakan perkongsian sejak awal, anda berada di kedudukan yang lebih rendah berbanding suami. Kenapa? Seperti yang selalu saya tegaskan, keadilan suami di dalam poligami adalah bergantung kepada kesediaan para isteri. Jika anda isteri pertama yang terpaksa menerima poligami, saya akui memang sukar namun demi kasih kepada suami, relakanlah kerana ketidak relaan anda mampu membawa suami ke jalan yang tidak diredhai-Nya. Jangan sesekali mengongkong suami kerana suami anda sudah mempunyai tanggungan dan tanggungjawab baru. Bantulah suami anda menjadi seorang suami yang bertanggungjawab. Jika anda sebagai isteri yang hadir di dalam keluarga sedia ada, ingatlah kedudukan anda. Jangan berbangga jika anda lebih muda atau lebih berpendidikan dan berharta. Status anda itu takkan mengubah apa-apa hak anda sebagai isteri yang dipoligamikan. Hak anda dan isteri sedia ada adalah sama tiada bezanya. Jika mahukan hak anda dipelihara, peliharalah juga hak madu-madu anda.

Ada juga yang menyatakan, saya gagal memahami jiwa gadis lanjut usia yang belum bertemu jodoh dan jodoh di depan mata hanyalah lelaki milik seorang isteri. Saya sendiri lewat bertemu jodoh, tika usia hampir 30 barulah saya bergelar seorang isteri. Sebelum itu, saya pernah dilamar untuk menjadi isteri kedua kepada seorang lelaki, ahli perniagaan berjaya. Kakak yang mengatur jodoh tersebut beriya-iya menasihati, sebagai seorang peguam yang rutin kerjanya adalah sentiasa sibuk, memang takkan ada masalah jika saya menerimanya. Namun, saya akui, saya tidak sanggup melukakan hati kaum sejenis saya. Saya cuba letakkan diri saya di dalam kasut isteri pertama. Nauzubillah, saya tidak mampu. Ketidakmampuan itu berjaya menolak rasa kasih dan sayang yang saya dambakan daripada seorang lelaki bernama suami. Saya hanya berdoa, jika ditakdirkan saya bertemu jodoh, biarlah dengan lelaki yang bukan suami orang dan hingga tiba detik itu, mohon dijauhkan daripada segala hasutan syaitan.

Tanyakan pada diri, di mana anda ingin berada? Jika anda memilih air, jangan bising jika anda kesejukan. Jika anda memilih api, jangan kecoh jika anda panas terbakar. Keputusan, anda yang tentukan.

****Siaran Ogos 2007

16 Jun 2009

Isteri juga berhak membubarkan perkahwinan

“Suami saya telah berkali-kali menipu saya. Setiap kali tembelangnya pecah kerana menjalinkan hubungan hingga terlanjur dengan wanita lain, dia akan meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Saya telah beberapa kali juga minta suami melepaskan saya tetapi suami saya enggan. Saya benar-benar buntu. Apakah yang perlu saya lakukan?”

”Puan, saya telah berkahwin selama tiga tahun dan dikurniakan seorang anak perempuan yang kini berusia dua tahun. Masalah saya ialah sejak awal perkahwinan, suami tidak memberikan wang perbelanjaan. Segala keperluan saya uruskan sendiri termasuklah keperluan anak. Bukan tak pernah minta tetapi alasan suami, saya sendiri bekerja dan mampu menyara diri sendiri. Suami hanya keluarkan belanja untuk sewa rumah, itupun saya tetap perlu berikan separuh. Perbelanjaan dapur jauh sekali. Saya bingung puan, saya ada suami tetapi segalanya saya uruskan sendiri. Anak pun tak dipeduli. Rumah dijadikan sebagai tempat tidur dan menukar pakaian. Saya betul-betul bingung. Saya pernah memohon agar dilepaskan tetapi suami enggan. Bantulah saya.”

Petikan dua kes di atas adalah antara ratusan emel dan sms yang saya terima daripada para isteri yang bingung: mahu keluar daripada perkahwinan yang ternyata menyiksakan tetapi suami enggan melepaskan. Saya tak pasti kenapa perkara seperti ini boleh merunsingkan para isteri kerana rasanya dah banyak perbincangan sama ada oleh saya atau orang lain yang menjelaskan mengenai hak seorang isteri. Bahkan di dalam kursus perkahwinan yang wajib dihadiri oleh setiap pasangan pengantin, perkara ini telah diterangkan dengan jelas. Mungkin kekalutan emosi menyebabkan segala malumat terkumpul sebelum ini hilang tanpa dapat di’recall’ kembali. InsyaAllah, saya akan jelaskan semula di sini.

Sebenarnya, bagi setiap isteri, anda mempunyai hak yang jelas dan tersendiri. Hak sebelum anda menerima status seorang isteri, hak semasa anda memegang status sebagai seorang isteri dan hak selepas anda dilucutkan status sebagai isteri. Sebelum perkahwinan, anda berhak memilih pasangan hidup anda. Walaupun ayah atau datuk mempunyai kuasa wali mujbir iaitu berhak mengahwinkan anda tanpa keizinan anda, namun Islam menjelaskan bahawa mendapatkan keizinan anda terlebih dahulu adalah lebih baik.

Semasa tempoh perkahwinan, anda berhak mendapatkan nafkah zahir berupa makan minum, tempat tinggal, pakaian dan segala keperluan hidup yang lain. Ingat ya, keperluan dan bukan kemewahan. Jika anda mendapat kemewahan, itu adalah bonus untuk anda. Anda juga berhak mendapatkan layanan yang baik daripada seorang suami. Jika anda gagal memperolehi hak-hak ini, di sinilah hak anda yang ketiga boleh anda tuntut daripada suami iaitu hak untuk membubarkan perkahwinan. Siapa kata isteri tiada kuasa talak?? Saya pernah jelaskan dahulu, isteri memang tidak diberikan kuasa oleh Islam untuk melafazkan talak tetapi Islam adalah agama yang adil. Walaupun ucapan talak adalah hak suami tetapi isteri mempunyai kuasa untuk membubarkan perkahwinan melalui beberapa cara lain iaitu takliq, khuluk, fasakh malah isteri berkuasa untuk memaksa suami melafazkan talak.

Perkara paling mudah untuk isteri membubarkan perkahwinan ialah melalui takliq kerana anda hanya perlu mengesahkan bahawa ucapan suami telah berlaku. Takliq tidak terbatas kepada ucapan yang dibuat oleh suami selepas akad nikah sahaja seperti yang terlampir di bahagian belakang surat akuan nikah. Sebaliknya jika suami ada melafazkan apa-apa pergantungan syarat kepada perkahwinan dan ianya berlaku, anda berhak membawa kes ke mahkamah. Paling penting, anda perlu mengadukan kes anda ke pihak yang berkenaan. Jangan mengambil jalan mudah dengan mengatakan syarat telah berlaku maka takliq juga telah berlaku. Anda perlu dapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa. Selain takliq, anda mempunyai hak yang luas untuk menuntut fasakh. Undang-undang dan syarak menetapkan beberapa sebab untuk anda memohon pembubaran perkahwinan melalui fasakh antaranya atas sebab kegagalan suami menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami, suami mendera fizikal dan mental dan suami hidup melanggar batasan hukum syarak. Bagi kes suami curang sama ada suka berpoya-poya dengan perempuan apatah lagi hingga kes melanjurkan diri hingga melakukan hubungan kelamin tanpa perkahwinan, sikap suami anda itu boleh dijadikan alasan untuk anda memohon fasakh.

Cuma yang menjadi masalah kepada permohonan fasakh ialah pembuktian. Kebanyakan isteri mengadu kepada saya tentang kesukaran untuk membuktikan kes melalui permohonan fasakh. Saya akui, kes fasakh merupakan kes yang agak berat untuk dibicarakan. Bukan payah atau sengaja menyusahkan sebaliknya hakim memerlukan bukti yang kukuh. Perlu diingat, fasakh bererti perkahwinan anda dipisahkan oleh mahkamah bererti hakim yang memutuskan kes bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pembubaran perkahwinan anda. Kerana itulah, pembuktikan kes fasakh perlu jelas dan kukuh. Sebenarnya, bukan sahaja fasakh malah apa saja tuntutan kes, pembuktikan mestilah jelas dan kukuh. Anda tidak boleh ke mahkamah dan tunjukkan kesan lebam atau pukulan di badan semata jika ingin mendakwa suami anda dengan kes deraan fizikal. Sebaliknya anda perlu laporkan kejadian kepada pihak polis, dapatkan salinan aduan. Kemudian berjumpa dengan doktor dan dapatkan pengesahan bahawa kesan lebam atau luka yang anda perolehi adalah kesan daripada penderaan.

Yang penting, anda tau cara yang betul untuk mendapatkan hak anda. Bukan menyusahkan tetapi demi keadilan semua pihak. Paling penting juga, anda perlu kuat dan tabah untuk mendapatkan hak anda. Semoga berjaya!!

****Siaran Ogos 2007

Talak bukan satu permainan

“Saya berasa musykil dengan talak yang dilafaz suami, untuk makluman puan kami baru bernikah di sempadan berwalikan ayah saya 5 bulan yang lalu dan saya merupakan isterinya yang ke-2. Dr awal pernikahan kami memang menghadapi masalah rumahtangga yang datang dari madu saya, tapi sebelum bernikah memang suami menjanjikan yang dia akan tangani segala masalah tapi selepas bernikah lain jadinya, ternyata suami sendiri tak mampu menegur dan mengawal sikap isterinya dari memaki hamun dan menyerang saya. Baru-baru ni akibat dari pertengkaran saya jadi tak tahan dengan kehidupan sekarang, mana tidak nya hingga saya hampir kehilangan karier saya akibat dari masalah rumahtangga yang saya hadapi.

Dalam keadaan bertengkar masih jelas di ingatan sambil menampar pipi kanan saya sambil kata "abang ceraikan ayang sekarang" dan sekali lagi masa dia mengambil barang dalam kereta dia kata "nak sangat minta cerai sekarang abang lepas ayang" saya yang tergamam dan terkejut hanya berdiam diri. kemudian tak sampai sejam suami datang memeluk saya dan mengatakan yang dia langsung tak dak niat di hati nak ceraikan saya, katanya dia dalam keadaan marah...dia mengucap mangatakan minta saya lupakan semua ni katanya dia benar benar jadi lupa dan tak ada sebarang niat untuk ceraikan saya, saya merasa ragu-ragu dengan status hubungan kami.....”

Ini adalah petikan emel yang baru saya terima hari ini. Sebenarnya emel ini adalah antara puluhan emel yang menanyakan mengenai hal yang sama. Saya akui agak lambat memberi respons mengenai isu ini kerana saya berpendapat, maklumat yang berkaitan dengan isu ini telah banyak dibincangkan dan mampu diperolehi daripada pelbagai sumber. Malahan, bagi setiap pasangan yang bakal berkahwin, maklumat yang berkaitan dengan isu ini telah dibincangkan dan dihuraikan dengan panjang lebar. Namun, pengalaman saya berdepan dengan mereka yang mendepani isu-isu berkaitan talak dan perceraian ini, kebanyakannya enggan mengetahui dan tidak ambil peduli tentang maklumat seperti ini. Ya lah, seperti yang selalu saya tegaskan, tiada individu (kecuali satu kes yang pernah saya jelaskan dulu) yang inginkan perceraian berlaku di dalam perkahwinannya. Malah, ada yang beranggapan, mengambil tahu mengenai isu talak dan perceraian seolah-olah akan menerima badi, pasti akan berlaku di dalam hidupnya satu hari nanti jika maklumat tersebut diketahui. Entah camanalah prinsip sedemikian boleh timbul sedangkan ramai ulama, ustaz ustazah dan mereka yang lain yang tahu dan arif mengenai isu talak dan perceraian masih hidup bahagia dengan perkahwinan mereka.

Kembali kepada kes yang diutarakan. Jika dilihat kepada situasi pertama, suami secara terang dan jelas melafazkan bahawa dia menceraikan si isteri. Bagi kes-kes sebegini, sama ada si suami berniat atau tidak, sama ada suami sedar atau dalam keadaan marah, talak adalah dikira jatuh kerana suami melafazkan perkataan cerai: satu perkataan yang secara jelas memberi maksud talak. Sebaliknya jika berada di dalam situasi kedua iaitu suami melafazkan perkataan ’melepaskan’, lafaz ini dikira sebagai lafaz kinayah iaitu lafaz yang tidak jelas dan tika inilah, niat suami melafazkan perkataan tersebut diambil kira. Jika suami niatkan perkataan ’lepas’ itu dengan maksud cerai, talak dikira jatuh. Jika tidak, hubungan perkahwinan masih dikira ada.

Lafaz-lafaz lain yang selalunya disebut oleh suami yang boleh dikirakan sebagai lafaz kinayah ialah ’pergilah kau balik ke rumah mak bapa kau’, ’keluar kau dari rumah ini’, ’lebih baik kita berpisah sahaja’ dan beberapa perkataan lagi. Jika anda sebagai isteri berdepan dengan situasi sebegini, segeralah laporkan ke unit nikah, cerai dan rujuk di pejabat agama yang berdekatan dengan tempat anda. Jangan sibuk-sibuk memaksa suami menjelaskan niatnya, lebih banyak buruk daripada baiknya. Biarlah pihak berkuasa yang menentukan niat di sebalik perkataan yang disebut oleh suami anda. Jika suami menggunakan lafaz jelas seperti perkataan cerai atau talak, sama ada suami menyebutnya atau menulisnya atau mengirimkan sms atau emel kepada anda, segeralah juga laporkan kepada pihak berkuasa.

Andai tidak lama selepas lafaz soreh (jelas) tersebut diucapkan dan suami kembali ke pangkuan anda, anda TETAP PERLU MEMBUAT ADUAN bagi memudahkan diri anda sendiri di belakang hari. Walaupun secara jelas, jika anda kembali bersama suami, anda dan suami boleh dikategorikan sebagai telah rujuk menurut hukum syarak tetapi aduan tetap perlu untuk mengira jumlah talak yang pasti. Namun, jika suami secara jelas menyebut perkataan cerai dengan talak tiga, jangan ambil mudah walaupun suami kembali ke pangkuan anda kerana antara anda dan suami dikira telah berlaku talak bain kubra iaitu talak yang tidak boleh dirujuk. Hubungan antara anda dan suami telah tamat dan jika berlaku percampuran, ianya adalah haram.

Lantaran itulah, jangan terlalu mudah bermain dengan perkataan cerai atau talak. Walau dalam apa juga keadaan dan situasi yang berlaku antara anda dan pasangan anda, sentiasalah tenangkan diri dan kawal emosi anda, jangan sampai kewarasan fikiran anda hilang. Perkahwinan dan perceraian bukanlah satu perkara cubaan atau mainan. Perkahwinan dan perceraian bolehlah diumpamakan sebagai api. Kita perlukan perkahwinan tetapi jika gagal dijaga, perkahwinan akan merosakkan kehidupan anda. Begitu juga dengan perceraian, ada tikanya perceraian itu perlu tetapi jika tersalah membuat kiraan, perceraian boleh memakan diri anda sekeluarga. Pertimbangkanlah segalanya dengan akal yang waras, bukan hanya mengikut emosi sendiri.

****Siaran Ogos 2007