16 Mei 2008

Sejauh manakah ketaatan kepada suami

Ini pula kisah kedua yang saya ingin saya kongsi bersama pembaca, seperti yang saya katakan pada minggu lalu.

Hari keempat anak saya berada di wad, satu katil yang kosong setelah seorang kanak-kanak dibenarkan keluar telah diisi oleh seorang bayi, berusia lingkungan 18 bulan. Menurut ibu bayi berkenaan, anaknya telah mengalami demam dan batuk-batuk hampir sebulan.

Bila ditanya kenapa baru sekarang anaknya dibawa ke hospital? Kata si ibu, beliau memang telah lama ingin mebawa anaknya mendapatkan rawatan tetapi suaminya melarang kerana suaminya tidak percaya kepada ilmu perubatan sekarang. Sepanjang hampir sebulan anaknya sakit itu, beliau hanya memberikan anaknya minum madu lebah seperti yang diarahkan oleh suaminya kerana menurut suaminya, itu adalah amalan Rasulullah s.a.w, walaupun beliau tidak setuju dengan tindakan suaminya. Anaknya dibawa ke hospital pada hari itu adalah kerana arahan ibu mertuanya yang mengetahui keadaan cucunya.

Mendengar penerangan si ibu, saya beristighfar di dalam hati. Kenapa di dalam dunia yang serba moden dan di zaman Islam telah maju ini juga, masih ada yang berfikiran sedemikian? Saya merenung keadaan si anak. Pada malamnya, si kecil dihantar ke ICU. Kesian si kecil, menjadi mangsa kekolotan si bapa dan kebodohan si ibu.

Kenapa saya katakan si ibu juga bodoh? Kalau si bapa, tentu semuanya memahaminya kan??!! Ya… si ibu juga bodoh kerana tidak tahu menilai yang mana perlu ditaati dan yang mana perlu diutamakan?

Sebenarnya, sebagai isteri, sememangnya kita wajib taat kepada kata-kata dan arahan suami tetapi ketaatan kepada suami juga ada batasannya. Kalau kita dah tau arahan suami itu tidak wajar dipatuhi, kenapa kita mesti terus patuh dan tunduk?

Di dalam kes tadi, sekiranya ibu mertua tidak bertindak, bayangkan apa yang akan terjadi kepada si kecil? Ya… madu lebah amalan Rasulullah tetapi telitilah apa sakitnya. Bukan semua sakit Rasulullah menggunakan madu lebah. Ini satu lagi masalah di dalam masyarakat Islam kita. Belajar tak habis tetapi berlagak macam tau segala.

Menyentuh mengenai ketaatan kepada suami, ingin saya ingatkan kepada semua isteri, ketaatan kita ada batasnya. Soalan yang selalu ditanyakan kepada saya apabila saya mengadakan sesi ceramah ialah sejauh manakah kita perlu taat kepada kehendak suami di dalam hubungan di tempat tidur? Sebabnya, para suami menggunakan alasan hadis Rasulullah, sekiranya suami meminta maka isteri perlu menunaikan kehendak suami walau berada di atas bonggol unta.

Hakikatnya, hadis tersebut adalah sebagai menunjukkan betapa beratnya kewajipan isteri di dalam memenuhi kehendak batin suami kerana hanya isteri sebagai jalan melepaskan nafsu lelaki yang satu itu. Tetapi, bukan bererti kewajipan tersebut adalah muktamad, tidak ada campur bahagi. Sebenarnya kewajipan suami isteri di dalam rumahtangga termasuklah hubungan suami isteri lebih kepada berbentuk tolak ansur.

Matlamat perkahwinan adalah untuk kebahagiaan kedua-dua pihak. Sekiranya hanya satu pihak merasa bahagia sedang satu pihak lagi tertekan menderita, tidak ada gunanya perkahwinan yang dianjurkan oleh Islam. Sama juga di dalam hubungan suami isteri. Ianya untuk kepuasan kedua-dua pihak. Sekiranya si isteri melakukan di dalam keadaan terpaksa, di mana nikmatnya yang Allah janjikan untuk pasangan suami isteri tersebut?

Sebab itulah, suami perlu lebih bertolak ansur dan cuba memahami keadaan isteri. Fikirkan, dalam kehidupan seharian, Islam mempertanggungjawabkan segala urusan perbelanjaan rumahtangga kepada suami tetapi ada rukhsahnya, isteri boleh membantu. Samalah juga dengan tanggungjawab isteri, suami perlu bertolak ansur, membantu urusan isteri dan memahami kepenatan isteri. Isteri pula perlu bijak memberikan keutamaan. Jangan sampai diri tidak mempunyai hak yang dipenuhi oleh suami.

****Siaran Oktober 2004

1 ulasan:

hazell-bees90 berkata...

Saya setuju dengan pendapat Pn.Suzana.
Bagaimana pula dgn isteri yg menolak di tempat tidur kerana ada perasaan tidak puas hati,kecewa dan marah yg belum mereka suami isteri menyelesaikannya sedang hakikatnya si suami mengetahui ketegangan itu(buat2 tidak tahu)?Jika si suami menyelesaikan masalah itu sudah tentulah isteri akan menuruti perintah suaminya.Perangai si suami juga telah lama menyedihkan hati isteri walaupun telah berulang kali diberitahu misalnya tidak menurut perintah agama.Balik2 alasan si suami mengatakan isteri yg tidak memahami si suami.
Berdosakah isteri itu?