27 Mei 2008

Cinta, sekufu dan pilihan ibu bapa

Seorang teman lama yang juga adik sekolej semasa di UM dulu menghubungi saya baru-baru ni. Dia inginkan kesahihan tentang berita yang didengarinya bahawa saya bersuamikan seorang tentera biasa. Memang benar, saya mengakuinya. Saya bahagia mengahwini seorang tentera berpangkat lans koperal dan mempunyai taraf pendidikan yang lebih rendah daripada saya.

Bila saya ditanyakan, tidakkah hubungan saya ditentang oleh ibu bapa saya kerana saya dan suami tidak sekufu? Saya menjelaskan, tentangan memang ada tetapi hanya pada awalnya dan setelah janji diikat dengan restu orang tua pastinya, tiada lagi perbincangan sama ada sekufu atau tidak kerana sepanjang lebih dua tahun bersama, saya dan suami telah berjaya mengharungi segala pahit getir bersama dan akan sentiasa bersama, InsyaAllah.

Perbualan demi perbualan, akhirnya saya ketahui, rupa-rupanya hubungan beliau dihalang kedua ibu bapa lantaran pasangannya dikatakan tidak sekufu, sekadar mempunyai diploma sedangkan beliau bakal menamatkan ijazah kedua.

Saya tidak pelik…bukan seorang dua yang menghadapi masalah sebegini. Masalah halangan keluarga kerana kononnya pilihan si anak tidak sekufu bukanlah cerita baru…malah telah berkurun lamanya. Sejak negara tiada kemajuan hinggalah sekarang berbagai bangunan pencakar langit terjulang.

Insan yang menilai masalah tidak sekufu ini bukannya calang-calang orang…rata-ratanya berpendidikan. Yang peliknya, jika ditinjau dan diteliti, banyak perkahwinan antara pasangan yang dikatakan tidak sekufu ini, hidup aman dan bahagia.

Sebaliknya, kebanyakan perkahwinan yang terhasil daripada pasangan yang dikategorikan sebagai sekufu dan sama darjat pula, berakhir dengan perpisahan. Jika benar suami isteri adalah pasangan sekufu, kenapa perpisahan berlaku? Jika benar suami isteri adalah pasangan sekufu, kenapa rumahtangga masih berantakan, sukar sekali mencapai keharmonian?

Lantas, kita perlu memahami, apakah maksud sebenar sekufu seperti yang dianjurkan di dalam Islam? Kembali kepada maksud firman Allah yang menyatakan bahawa perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik. Inilah maksud sekufu yang dikehendaki dan patut serta perlu diamalkan sebenarnya.

Bukannya sekufu itu bermaksud seorang lelaki atau perempuan perlu mempunyai tahap pendidikan yang sama atau berharta dan mempunyai kedudukan yang setaraf dengan bakal pasangannya. Apabila salah seorang sama ada perempuan atau lelaki mempunyai pendidikan yang lebih tinggi berbanding pasangannya ataupun memiliki harta yang lebih berbanding pasangannya tetapi mereka mempunyai persamaan dari segi ilmu agama dan kecenderungan mengamalkan amalan agamanya, maka lelaki dan perempuan tersebut adalah sekufu.

Islam telah menetapkan bahawa sesiapa yang mengutamakan ajaran agama akan mendapat keharmonian di dalam hidup. Kepada mereka yang sedang bercinta dan dihalang oleh orang tua kerana dikatakan tidak sekufu tetapi tidak menepati maksud sekufu yang dianjurkan oleh Islam, sekiranya anda yakin pilihan anda adalah pilihan yang terbaik, berdoalah agar pilihan anda memang betul pilihan yang terbaik dan berdoalah juga agar jodoh anda dipermudahkan.

Walau ibu bapa anda sukar menerima pilihan anda dan masih tetap dengan pendiriannya bahawa pilihan anda itu tidak sekufu dengan anda, berusahalah dan berdoalah agar ibu bapa anda mengubah pendirian mereka. Ingatlah, tidak mudah untuk mendapat apa yang kita hajati tetapi kita boleh berusaha mendapatkannya.

Paling penting, elakkan perkahwinan tanpa restu orang tua kerana walaupun kita sebagai anak berada di pihak yang benar tetapi apabila kita melukakan hati orang tua, kita juga telah melakukan dosa.

Ingatlah, setitis air mata ibu yang jatuh ke bumi, tak mungkin tertanggung bebannya di akhirat nanti. Diamnya bapa dengan tindakan kita bukan bererti dia redha tetapi jiwanya menanggung lara yang tidak mampu diluahkan dengan kata. Letakkan kedudukan anda di tempat mereka, apakah yang anda rasa? Ingatlah, redha Allah hanya dengan restu orang tua. Perkahwinan tanpa restu orang tua adalah sukar untuk bahagia kecuali setelah ibu bapa redha dengan perkahwinan tersebut.

Bersabarlah dan teruskan berusaha dan berdoa, jika sememangnya anda ditakdirkan untuk dirinya, pasti akan bersatu jua. Namun, andai masih ada halangan dan rintangan, itu petanda jodoh antara anda dan dia tiada. Takdir menentukan anda dan dia dipasangkan dengan insan lain yang lebih baik untuk diri masing-masing. Percayalah, setiap yang berlaku ada hikmahnya.

****Siaran Disember 2004

5 ulasan:

Emalin Aisyah berkata...

inilah masalah yg melanda sy..ibu bapa x merestui malah tidak mahu berjumpa dgn pihak lelaki walaupun pihak lelaki ingin merapatkan hubungan kami dgn ikatan yg lebih diredhai kerana kami dikatakan tidak sekufu~

truth for me... berkata...

parents saya menuduh family si lelaki nak ambil kesempatan atas taraf pendidikan saya. saya tak dapat terima parents saya tuduh macam tu, sedangkan mereka tak pernah jumpa pun pihak lelaki.

Unknown berkata...

salam...

kak ni kira apa yg akak alami ker?
sy pun alami benda yg sama... sy ada master dan kerja alhamdullah dalam golongan profesional... cuma skrg ada seorang askar sama juga pangkatnya iaitu lans koperal yg nak dekat gn sy secara serius... dia tak bercakap bab cinta tp lebih menjurus ke bab perkahwinan... sy pernah cerita kat mak sy... mcm biasa, mak sy yg memang tak nak bermenantukan askar, so blh agak la jwpan dia camne... tp tah la.. jauh di sudut hati, sy rs dia mmg baik... skrg mak sy x jmpa dia lg.. tp sy nak juga bw dia jmpa mak sy... sy nk lihat bgaimana dia ambil hati mak ayah sy....

mokain berkata...

sama mcm sy..
si dia tntra..
traf pndidkan pn biasa sj..
prents nk yg skufu..
x nk menantu askar ..
kami dh lama kwn .. dy siap ckp kt prents sy nk kwen n btunang taon ni..
mk sy ckp kt dy lupakan sy cri org len..
sy hny mmpu bdoa.. kalau bnar dy adlh jodoh sy nty..
smoga Allah bkkakn pintu aty prents sy utk trima dy seadanya

run hada berkata...

salam..
saya pn mengalami nsb yg same..
parents x stuju krana dia askar n pndidikan pn x seberapa, tp dia serius ngn saya..fmily sy sume agk x stuju..sedih sgt..:(