Seorang isteri meluahkan rasa kecewanya dengan si suami kerana si suami gagal ‘menyelesaikan’ hubungan intim mereka dengan jayanya. Bukan satu dua aduan seperti ini yang saya terima, dah banyak… cuma isteri-isteri yang mengalami masalah seperti ini, ada yang mengambil keputusan mendiamkan diri, membiarkan kehendak batin sendiri tidak dipenuhi dan paling tragis, ada kes-kes mereka yang mengalami masalah ini, mencari makan di luar… nauzubillah…!
Hmmm…. Kesian kat kaum wanita. Bercakap lebih-lebih tentang seks, tentang intimasi, tentang hubungan suami isteri… dikatakan gatal. Teringat pulak isu gatal di parlimen satu ketika dulu. Saper yang gatal? Tak adakah yang miang? Tunggu perbincangan saya mengenai topik gatal vs miang ini…
Kembali ke tajuk perbincangan… berapa ramai yang tahu, intimasi atau seks atau hubungan suami isteri itu adalah hak bersama suami dan isteri. Bukan sekadar melayani kehendak batin suami semata-mata tetapi seks yang halal di dalam sesebuah perkahwinan, adalah untuk memenuhi kehendak batin suami dan kehendak batin isteri juga. Anda tentu ingat salah satu tujuan dan hikmah perkahwinan ialah untuk memenuhi kehendak batin seseorang. Seseorang ini termasuklah isteri, bukan suami semata-mata.
Malangnya, rata-rata perkahwinan, bila memperkatakan tentang intimasi, yang tergambar hanyalah isteri berhak memenuhi kehendak batin suami. Sementelah pula, tak ada hadis atau ayat yang mengatakan suami wajib memenuhi kehendak batin isteri, tidak seperti banyaknya nas yang menjadi dalil betapa isteri wajib memenuhi kehendak batin si suami. Tidak ada nas yang jelas ini bukan membuktikan bahawa Islam menafikan hak tuntutan batin isteri. Ada banyak ayat yang memberikan maksud, isteri juga mempunyai hak yang sama dengan suami di dalam kehidupan berumah tangga. Antaranya, ayat yang mengatakan: Gaulilah mereka dengan baik…
Ayat ini membawa pengertian yang maha luas. Gauli isteri secara baik bererti suami perlu menjaga kebajikan isteri, menjaga makan minumnya, menjaga perasaannya. Gauli isteri secara baik juga memberi erti bahawa isteri perlu dilayani kehendak batin mereka menepati selera mereka. Saya yakin, ramai yang sedia maklum, terdapat perbezaan yang ketara antara kehendak batin suami dan kehendak batin isteri. Kebanyakan suami mempunyai kehendak batin yang tinggi dan selalu inginkan kehendak batinnya dipenuhi. Berbeza dengan isteri, kehendak batin isteri boleh ditoleransi. Jika penat, sedih atau mood yang tak menentu, isteri tak mengharapkan layanan untuk kehendak batin mereka.
Malangnya, suami jarang ambil kisah sama ada isteri mau atau tidak. Yang suami tahu, aku nak… kau mesti layan… maka jadilah kes isteri mengeras diri seumpama batang atau apa saja. Sebenarnya, di sinilah suami perlu main peranan. Isteri tidak boleh dipaksa sebegitu sahaja. Walaupun dia isteri anda dan anda tidak akan didakwa kerana kesalahan merogol walau anda memaksa… tanya pada diri… inikah tujuan anda mengahwini isteri anda? Sekadar memenuhi kehendak batin anda sendiri? Suami yang bijak tahu bagaimana untuk merangsang isterinya… tak perlulah saya bincangkan di sini, anda lebih tahu cuma enggan mengakuinya sahaja, betul kan?
Namun, jika isteri perlu melayani kehendak batin suami, isteri bukan sekadar memenuhi kehendak suami tetapi isteri inginkan kehendak batinnya juga dipenuhi. Perlu diingat, tahap klimaks sesuatu hubungan intimasi antara suami dan isteri juga berbeza. Suami lebih cepat sampai ke destinasi berbanding isteri. Masalahnya berapa ramai suami yang endahkan perkara ini? Berapa ramai suami yang mengambil berat dan peduli tentang persoalan: Sudahkah aku memenuhi selera batin isteriku? Mungkin ada suami yang bertanya: Bagaimana nak tahu selera isteri dah dipenuhi atau belum?
Jawapannya mudah sahaja. Selesai hubungan, tanyalah isteri anda. Bukan sahaja suami, isteri juga perlu bertanya kepada suami, bagaimana layanan anda tadi? Ramai yang ambil mudah perkara ini. Dah selesai .... dah laaa… Anda jangan lupa, kejayaan intimasi anda adalah penentu kebahagian rumah tangga anda. Di sinilah pentingnya komunikasi yang pernah saya jelaskan dulu. Komunikasi penting dalam intimasi dan kebahagiaan perkahwinan anda. Bagaimana? Bersenda gurau sebelum intimasi dan mengambil berat kepuasan pasangan anda selepas intimasi…. itulah antara bentuk komunikasi yang perlu anda praktikkan.
Paling penting, anda... sama ada suami atau isteri, perlu bersikap terbuka. Berbincanglah dengan pasangan untuk menjadikan hubungan intimasi anda sesuatu yang paling indah. Jangan jadikan intimasi sebagai satu alasan untuk anda keluar dari gerbang perkahwinan. Namun, jika masalah intimasi ini menganggu emosi anda, jangan makan luar tetapi carilah penyelesaian terbaik. Islam meletakkan jalan keluar bagi perkahwinan yang menghadapi masalah seperti ini. Bagi isteri, hak anda tidak diketepikan, anda berhak memohon fasakh dan tiada sebarang ganti rugi yang perlu anda bayar. Jangan risau tentang saksi kerana hubungan intimasi adalah rahsia anda dan suami. Mahkamah boleh bicarakan kes anda secara tertutup dan akan menerima sumpah istidzhar anda sebagai bukti. Paling penting, anda perlu mulakan tindakan pertama: berani tampil ke muka pengadilan. Semuanya di tangan anda.
****Siaran Julai 2006
1 ulasan:
Salamun'alaik wbt Pn Suzana,
Taboo kalau cakap fasal seks... Perempuan dengan malunya, jadi jika buka mulut pada suami menyuarakan ketidak-puasan hati, nanti dikatakan tak malu pula... Tak kurang juga ada yang kata, kalau suami tak dapat memuaskan isteri, jangan diungkit-ungkit, nanti suami kamu kecik hati. Berdosa buat suami tersinggung katanya... Iya ke? Bagi saya perempuan juga memiliki hak yang sama dalam seks....
Saya ada jumpa hadis tentang ini. AMAT sesuai jika diwar-warkan kepada setiap insan yang bergelar suami, layanilah isteri dengan baik, kerana itu haknya. Jangan berasmaradana seperti ayam jantan... hik hik hik...
Petikan: http://bawangorengnet.blogspot.com/2008/08/wahai-suami-layanilah-isterimu-dengan.html --> Sebagaimana pentingnya suami memenuhi keperluan material isterinya, sudah menjadi tanggungjawabnya melayani keperluan batin isteri. Kebiasaannya wanita memiliki sifat pemalu terutamanya untuk berbincang tentang kehendak seksualnya. Namun, sebenarnya mereka juga berkehendakkan kepada nikmat kepuasan ketika melakukan persetubuhan (berjimak) sebagaimana suami.
Menurut Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda:
“Jika seseseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum sampai klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (untuk menamatkan persetubuhan tersebut) sehingga hajat isterinya diselesaikan pula.” - Hadis riwayat al-Suyuthi di dalam Jami’ al-Saghir, hadis no: 549 dan al-Hafiz al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid, hadis no: 7566.
Oleh itu, para suami hendaklah menjaga perasaan isteri ketika berjimak dan melakukannya dengan niat agar kedua-dua belah pihak mencapai kenikmatan. Janganlah para suami hanya memikirkan kepuasan diri sendiri tanpa memastikan isteri mereka juga sudah mencapai klimaks.
Hal ini amat penting kerana jika seorang suami tidak prihatin terhadap permasalahan ini ia boleh menimbulkan kesan negatif seperti isteri membenci suaminya, melalaikan perintahnya ataupun menolak apabila diajak untuk berjimak dan sekiranya bersetuju pun ia tidak dilakukan dengan sepenuh kerelaan hati. Mungkin ada yang merasakan ini suatu perkara yang terlalu remeh untuk diperbincangkan. Tetapi, di dalam Islam berjimak adalah termasuk perkara yang boleh mendatangkan pahala.
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Dan pada hubungan kelamin kamu semua (bersama isteri) merupakan sedekah. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah jika seseorang kami mendatangi isterinya (untuk berjimak) maka dia mendapat pahala? Rasulullah menjawab: Bagaimana pendapat kamu semua jika dia menyalurkan syahwatnya ke jalan yang haram, (sudah tentu) dia akan mendapat dosa kerananya. Demikian juga jika dia menyalurkan di jalan yang halal, pasti dia mendapat pahala.” - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no:1006.
Selamat beramal!
Catat Ulasan