02 Jun 2009

Belajarlah untuk setia

Kalau tak salah penghitungan saya, dua minggu lepas saya dah bincangkan mengenai batasan berkawan bagi seorang isteri. Minggu ini, fokus saya masih kepada mereka yang bernama isteri dan isunya adalah hampir sama. Bezanya adalah, dua minggu lepas mengenai isteri orang yang akrab berkawan dengan lelaki luar. Kali ini pula adalah mengenai luahan perasaan isteri-isteri yang merasakan mereka telah tersalah pilih suami masing-masing kerana menyangka teman lelaki mereka kini adalah lebih baik dalam segala aspek berbanding suami mereka. Malah, ada isteri yang berperasaan sedemikian walau hakikatnya suaminya adalah seorang yang bertanggungjawab tetapi tetap yakin tersalah pilih kerana kembali bertemu cinta pertamanya, nauzubillah min zalik.

Kes-kes yang saya utarakan ini bukan kes rekaan tetapi fenomena yang benar-benar terjadi. Mungkin benar kata orang, dunia kini di akhir zaman. Lantaran itulah banyak perkara-perkara pelik dan aneh berlaku. Bagi saya, kes-kes sebegini sememangnya satu perkara yang pelik kerana jarang-jarang berlaku. Jarang sangat kaum wanita yang secara semulajadinya terkenal dengan sikap lemah lembut, pengasih dan penyayang akan beralih kasih. Kaum wanita sememangnya sinonim dengan sifat yang setia. Sejak dulu kala, hampir semua kaum wanita akan kekal setia pada suami walau apa jua keadaannya. Namun, sejak penghujung tahun lepas, saya menerima banyak luahan rasa daripada para isteri yang kononnya baru menemui cinta sejati. Suami di sisi terpinggir kasih lantaran cinta isteri beralih arah kepada teman lelaki. Entah apa sebabnya namun yang pasti, seperti yang telah saya jelaskan, ada ulama yang mengharamkan wanita keluar ke tengah masyarakat jika keadaan tidak memerlukan demi mengelakkan daripada berlakunya kes-kes yang tidak diingini.

Kembali kepada topik perbincangan. Saya faham, ada yang berpendapat, setiap individu termasuk wanita mempunyai hak untuk memilih yang terbaik. Saya akui kebenaran pendapat tersebut tetapi perlu diingat, hak memilih bagi seorang wanita adalah tertutup setelah anda secara sah menjadi isteri kepada seorang lelaki yang bertanggungjawab dan menjalankan kewajipannya menunaikan hak-hak yang wajib dan perlu kepada anda sebagai isterinya dan anak-anak. Saya ulangi, hak yang wajib dan perlu. Apabila hak-hak tersebut berjaya dipenuhi oleh suami anda maka segala sikap pendiam ataupun tidak romantis suami anda adalah terkecuali dan tidak boleh menjadi alasan untuk anda mencari lelaki lain.
Andai suami anda bukan cinta pertama atau juga bukan pilihan hati anda sendiri ketika menjejakkan kaki ke gerbang perkahwinan, tidak bererti anda mempunyai hak untuk mencari atau mendapatkan apatah lagi menerima cinta lelaki lain.

Persamaan hak yang sering dilaungkan oleh pejuang-pejuang wanita bukanlah meliputi hak untuk bertukar pasangan sewenang-wenangnya. Ada isteri yang mempertikaikan, jika suami berhak mempunyai lebih dari satu isteri, kenapa isteri tidak berhak mencari yang terbaik daripada suami? Paling mengejutkan saya, ada isteri yang bertanya: jika suami boleh beristeri empat, kenapa isteri tidak? Ketahuilah, isteri tidak boleh bersikap seperti suami kerana anda adalah wanita yang dibekalkan dengan rahim dan secara fitrahnya memiliki sifat ar-rahim iaitu pengasih dan penyayang. Anda juga adalah penentu salasilah keturunan berdasarkan benih yang dimasukkan ke dalam rahim anda. Jika anda dibenarkan bersifat seperti suami, runtuhlah institusi kekeluargaan.

Ingatlah juga, jangan terlalu mengejar yang terbaik. Tanyakan pada diri, adakah anda adalah yang terbaik? Mungkin ramai yang pernah terbaca mengenai kisah seorang lelaki yang terlalu cerewet di dalam mencari bakal isteri. Seorang demi seorang dicadangkan oleh rakan dan taulan tetapi ditolak dengan alasan, inginkan yang terbaik. Ditakdirkan satu hari, si lelaki berjumpa dengan seorang gadis yang diyakininya adalah yang terbaik untuk dirinya. Bila tiba satu hari si lelaki berhasrat untuk menyunting si gadis, si lelaki tersentak kerana si gadis tidak berhasrat untuk menamatkan hubungan mereka dengan jalinan istimewa kerana si gadis inginkan yang terbaik. Tak perlulah saya rumuskan moral cerita tersebut kerana saya yakin, ramai yang memahaminya.

Kepada para isteri, belajarlah untuk setia. Takkan ke mana perginya layanan mesra lelaki yang anda rasakan lebih romantis berbanding suami anda. Memanglah asyik dan seronok kerana tika ini anda dibuai emosi dan bisikan syaitan yang akan sentiasa berusaha menyesatkan anak cucu Adam. Wanita sememangnya senjata utama syaitan, mudah disesatkan dan mudah juga digunakan untuk menyesatkan orang sekeliling. Sedarlah juga, kebanyakan lelaki yang mendekati anda hanyalah untuk keseronokan semata-mata. Sekadar layanan menghabiskan masa. Terlalu banyak kes yang saya terima berkesudahan dengan kisah duka. Teman lelaki menghilangkan, suami di sisi turut pergi setelah patah hati.

Terimalah suami anda seadanya kerana seperti dirinya yang anda rasa mempunyai kelemahan dan kekurangan, begitulah juga anda. Seperti yang selalu saya tegaskan, suami dan isteri adalah saling melengkapi dan menyempurnakan. Lihatlah dan carilah kelebihan dan keistimewaannya. Cuba sempurnakan kekurangannya tanpa berusaha untuk menambahkannya lagi. Setiap manusia sama sahaja, masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan. Tanamkan di dalam hati, cinta suami anda adalah cinta sejati. Anda pasti memiliki kebahagiaan yang anda cari, insyaAllah.

*****Siaran Julai 2007

Tiada ulasan: