Sabtu baru ni, tika negara hangat dengan kes permohonan seorang pemandu lori untuk berkahwin buat kali keempat dengan keizinan tiga isterinya yang sedia ada, saya berdepan dengan dua kes melibatkan poligami. Satu kes mengenai seorang wanita yang sedang mengandung dan menghadapi tekanan akibat suaminya ingin berkahwin lagi. Satu lagi kes mengenai seorang wanita yang baru ingin memulakan kehidupan bahagia berkeluarga selepas sakit yang agak lama, menghadapi tekanan hampir dua bulan selepas mendapat berita suaminya berkahwin lagi awal tahun ini. Kes pertama saya bantu dengan nasihat melalui e-mel dan kes kedua melibatkan pertemuan enam mata antara saya, wanita bermasalah dan suaminya.
Saya tak ingin ceritakan dengan terperinci mengenai sesi pada hari tersebut. Yang menarik perhatian saya ialah beberapa penyataan suami sepanjang sesi tersebut: Apalah susah sangat? Terima ja lah. Saya kahwin, bukan buat perkara tak elok. Saya bagitau dia sendiri, tak nak dia dengar daripada orang lain. Isteri saya ni yang ego. Bimbang orang cakap bukan-bukan. Kalau orang tanya, bagitau ja la itu isteri kedua suami saya, senang cerita. Orang sana boleh ja bagi peluang kat saya dah dua bulan tak der giliran bermalam kat sana. Tak yah nak fikir saya dengan orang sana, anggap ja saya keluar kerja.
Jawapan saya kepada kata-kata tersebut yang ingin saya kongsi di dalam perbincangan kali ini. Bukan sahaja kepada suami tersebut sebaliknya jawapan yang hampir sama saya berikan kepada seorang kakak (panggilan yang digunakan dalam sesi perbualan telefon tersebut) dari Melaka beberapa bulan lalu bila dia mempersoalkan kenapa isteri pertama tak boleh nak terima hakikat terpaksa berkongsi suami sedangkan dia boleh terima hakikat tersebut.
Jawapannya: keadaan kedua-dua isteri memang sama iaitu berkongsi seorang lelaki iaitu suami mereka tetapi tak serupa sebab isteri kedua memang mengetahui hakikat perlu berkongsi suami sebaliknya isteri pertama terpaksa menerima hakikat tersebut. Realitinya adalah sama tetapi tak serupa.
Sebagai wanita yang memang tahu dirinya bakal mengahwini suami orang lain, sudah tentu wanita tersebut menyediakan dirinya untuk berkongsi suami dengan orang lain walau ramai suami yang berpoligami berkata, kasih tetap sama, tak berkurang, kasih kepada yang baru adalah kasih baru, bukan kasih yang dibahagikan daripada kasih yang lama dengan isteri pertama. Saya tak menafikan wujud kebenaran kepada perkara tersebut sebab ada kes-kes poligami yang bahagia. Saya dah pernah ceritakan dulu kan. Seperti yang saya tegaskan, poligami ada di dalam Islam bererti poligami bukan untuk memberikan penderitaan kepada kaum wanita. Sebaliknya poligami mempunyai banyak hikmah yang tersembunyi jika poligami tersebut diaplikasikan mengikut kehendak syarak.
Kebanyakan wanita jadi semacam histeria bila dengar suami berpoligami atau nak poligami ialah kerana kebanyakan kes poligami gagal menepati kehendak poligami yang sebenarnya. Isteri pertama atau sedia ada memang akan menghalang dan patah hati sebab mereka tidak menyediakan diri mereka untuk berkongsi suami. Selama ini dialah satu-satunya buah hati suami, tempat mengadu masalah, berkongsi suka dan duka. Tiba-tiba dapat tau suami dah kahwin lagi atau nak kahwin lagi, terus terang isteri sedia ada akan rasa tertipu, teraniaya, tidak disayangi, kehilangan, risau, sedih, marah, dikhianati dan macam-macam lagi. Bagaimana nak minta isteri pertama berlagak seperti biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku? Setuju sahaja dan terima sama seperti isteri kedua yang boleh terima hakikat tersebut dengan hati terbuka? Memang boleh tapi ambil masa.
Bukan sahaja isteri pertama malah saya pernah kendalikan kes isteri kedua yang tak dapat terima suami berkahwin lagi buat kali ketiga tanpa pengetahuannya sedangkan sebelumnya dia menerima hakikat perlu berkongsi suami dengan isteri pertama. Sebab dan alasannya tiada beza, dua keadaan yang sama tetapi tak serupa.
Saya bukan penyokong poligami. Saya juga bukan anti poligami. Segala apa yang saya bincangkan bukan berdasarkan emosi tetapi rasional berasaskan sedikit ilmu pemberian Ilahi. Kepada para isteri yang ditakdirkan berpoligami, saya faham kepedihan hati kalian semua. Pesan saya, jangan rasa kehilangan sebab anda masih punya suami cuma berkongsi. Jika suami mampu laksanakan tanggungjawab tanpa mengabaikan hak anda dan anak-anak anda, berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, Dia lebih mengetahui hikmah di sebalik semua kehendak-Nya. Jangan sesekali fikirkan untuk berpisah kerana tak sanggup berkongsi kasih. Perkongsian bukan menghilangkan kasih sayang suami kepada anda malah boleh menambahkan lagi kasih sayangnya. Yang penting anda tahu caranya dan INGAT!!! BUKAN DENGAN AMALAN BOMOH ATAU PUJA. Bersainglah secara sihat dan menepati kehendak syarak.
Berikan peluang kepada diri anda untuk menerima hakikat perkongsian kasih tersebut. Suami takkan mampu berlaku adil sekiranya anda dan madu anda tidak memberikan kerjasama. Mahukah anda biarkan suami anda dilaknat Allah kerana gagal berlaku adil di dalam poligami. Dalam masa yang sama, berdoa kepada-Nya mohon yang terbaik. InsyaAllah, dengan kerjasama semua, poligami akan jadi indah dan membahagiakan semua pihak.
****Siaran Jun 2008
1 ulasan:
Persoalannya, semua manusia mengakui keesaan Allah, sanggup melakukan apa sahaja kerana Allah.Tapi mengapa manusia yg bergelar perempuan sukar menerima kehadiran orang lain dalam hidupnya.
Sedangkan ianya seharusnya kita mengiyakannya jika kita mengakui jodoh itu adalah daripada Allah, mampukah semua lelaki yg masih teruna / bujang menerima seorang janda yang ada di dunia ini.Mampukah semua janda mengelakkan diri dari terjebak daripada runtunan nafsu yang pernah ia alami semasa bergelar isteri.
Allah telah mewujudkan ramai manusia lelaki yg baik, semuanya adalah untuk memimpin perempuan perempuan yg gagal atau dinafikan oleh suami daripada lelaki yg bergelar suami yg hanya melihat wanita sebagai tempat memuaskan nafsunya semata.
Burukkah poligami? Dan kita semua wajib mengakui bahawa tidak semua wanita yang diceraikan itu berperangai tidak baik, malah mereka perlu diberi peluang untuk merasai kemanisan rumahtangga yang sepatutnya bersama lelaki baik yang mampu membahagiakan, boleh melindungi dan bertanggungjawab (tak kira bujang, duda atau suami orang).
Wassalam
Catat Ulasan