20 Februari 2010

Prosedur adalah untuk kebaikan

Kes 1: Seorang isteri bermasalah dalam mendapatkan tuntutan KWSP aruah suaminya kerana gagal menyerahkan akuan kematian suami selepas tidak mendaftarkan kematian si suami.

Kes 2: Seorang isteri sering menjadi mangsa pukulan suami malah sepanjang tempoh tiga tahun perkahwinan, suami gagal memberikan nafkah zahir termasuk gagal menjadi seorang ayah yang baik. Si isteri berhasrat untuk keluar daripada perkahwinan tetapi bermasalah apabila pihak berkuasa (pejabat agama) tidak dapat memproses aduan kesnya kerana perkahwinannya tidak didaftarkan.

Kes 3: Seorang isteri serba salah sama ada perlu tinggal sebumbung dengan si suami atau pun tidak kerana si isteri bimbang akan terus ‘diperlakukan’ sebagai isteri sedangkan telah nyata sudah tiga kali suami melafazkan perkataan cerai cuma lafaz-lafaz tersebut tidak pernah dibawa kepada pertimbangan pihak berkuasa.

Tiga kes yang berbeza. Malah, bukan kes-kes ini sahaja sebaliknya banyak kes lain yang seumpamanya. Pokok permasalahan bagi setiap masalah ini hanyalah satu: gagal menepati kehendak prosedur dan undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Bagi mereka ini, yang penting adalah hukum syarak terlaksana. Hmmm, ye lah tu tapi natijhahnya??? Siapa yang merana? Saya pernah mendengar beberapa keluhan berkaitan prosedur atau peruntukan undang-undang yang khabarnya menyusahkan. Antaranya: Kahwin pun nak kena isi borang, pengesahan itu ini, interview sana sini, kursus itu ini, macam-macam sangat. Syarak kan mudah, cukup ja syarat dan rukun, dah la.

Memang lah, syarak tu mudah. Masalahnya terlalu ramai sangat dah sekarang ni yang pandai bercakap mengenai hukum syarak sebaliknya perlakuan langsung tak cerminkan ilmu yang diluahkan. Sebab tu lah terdapat peruntukan undang-undang yang menetapkan beberapa prosedur dan tatacara yang perlu kita ikuti dan patuhi. Bukan untuk menyusahkan sebaliknya adalah untuk kebaikan dan kebajikan semua pihak terutamanya kaum wanita.

Saya nak kongsi dengan anda tentang kes kedua yang saya nyatakan di awal perbincangan. Wanita K adalah isteri kedua kepada lelaki L. Mereka berkahwin tanpa mendapatkan kebenaran pihak berkuasa sebaliknya berkahwin menggunakan khidmat nikah sindiket. Pada mulanya, tidak timbul sebarang masalah hinggalah isteri pertama tahu mengenai perkahwinan tersebut tak lama selepas perkahwinan. Kes jadi makin kronik bila suami mula angkat tangan hanya kerana isteri kedua mempersoalkan haknya iaitu tentang nafkah dan giliran.

Demi mengenangkan janji-janji dan harapan yang ditabur oleh suami, si isteri bertahan. Sabar ada batasnya. Setelah hati dan badan sering disakiti, si isteri bertindak mengadukan kesnya ke pejabat agama dengan harapan dapat keluar daripada perkahwinan yang gagal mencapai hikmah yang diharapkan. Malang bagi si isteri apabila pejabat agama mengesahkan kesnya tidak boleh diproses memandangkan perkahwinannya tidak pernah didaftarkan dan surat nikah yang diterima adalah palsu. Tika perbincangan ini disediakan, kes wanita K sedang menunggu perbicaraan mahkamah untuk mendaftarkan perkahwinan mereka yang dibuktikan sah mengikut hukum syarak setelah siasatan dibuat oleh pihak berkuasa. Hanya setelah perkahwinan didaftarkan, barulah wanita K boleh meneruskan kes untuk permohonan cerai dan lain-lain permohonan yang berkaitan. Dah nampak kesannya jika tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa?

Hakikatnya, jika dikaji setiap peruntukan undang-undang terutamanya Undang-undang Kekeluargaan Islam membuktikan bahawa peruntukan undang-undang yang digubal berlandaskan hukum syarak adalah demi menjaga kebajikan dan kemaslahatan semua ahli masyarakat dan kaum wanita khususnya. Contoh kes yang saya bentangkan tadi adalah antara bukti bahawa undang-undang khususnya Undang-undang Kekeluargaan Islam diwujudkan untuk menjaga kebajikan dan kepentingan kaum wanita. Terdapat pelbagai peruntukan lain yang boleh anda dapatkan merangkumi tiga kategori utama iaitu:
sebelum memasuki alam perkahwinan
semasa tempoh perkahwinan
selepas perkahwinan berakhir atau dibubarkan

Ya! Bukan sahaja untuk mereka yang telah berkahwin,Undang-undang Keluarga Islam juga menjaga kepentingan kaum wanita semasa sebelum berkahwin. Apakah yang boleh anda dapat? Banyak perkara antaranya berkaitan had umur perkahwinan, pertunangan, izin wali dan mas kahwin. Semasa perkahwinan pula, kaum wanita diberikan kuasa untuk ‘memaksa’ suami memberikan nafkah yang patut dan perlu. Wanita yang berkahwin juga diberikan kuasa untuk mengakhirkan perkahwinan yang memberikan penderitaan kepada mereka melalui peruntukan cerai talak, takliq, khuluk dan fasakh.

Malah, melalui Undang-undang Keluarga Islam juga kaum wanita boleh menjadikan suami yang berpoligami bersikap adil dan saksama. Paling penting, Undang-undang Keluarga Islam amat menjaga kebajikan dan kepentingan kaum wanita yang ditadkirkan menghadapi perceraian atau pembubaran perkahwinan mereka sama ada bercerai hidup atau bercerai mati. InsyaAllah, saya akan bincangkan dengan lebih terperinci mengenai hak-hak ini di dalam buku saya yang saya sedang ‘pulun’ siapkan dan dijangka selesai hujung tahun ini.

****Siaran Julai 2008

Tiada ulasan: