Masih terngiang-ngiang lagi di telinga saya laporan berita daripada Buletin Utama kelmarin, tentang seorang kanak-kanak berusia 21 bulan meninggal dunia selepas terhumban keluar dari kereta yang sedang dipandu oleh ayahnya sendiri. Lebih menyayat hati,kepalanya juga digelek tayar kereta. Innalillah hi waiinna ilaihi raji’un. Nauzubillahimin zalik. Tak sanggup saya membayangkan keadaan kejadian tersebut. Sah dan nyata roh kanak-kanak tersebut sedang hidup aman dan damai. Walau mungkin, tika artikel ini disiarkan, ibu bapa kanak-kanak masih merasai kehilangannya. Mungkin juga tika ini, masyarakat masih memperkatakan mengenai peristiwa ini atau mungkin juga, kisah ini sudah menjadi sejarah, persis kisah Sharlinie yang kini seperti sudah dilupakan.
Tak kisah lah apa keadaannya pun, tujuan saya membincangkan topik ini ialah tentang perlunya setiap ibu bapa mengutamakan keselamatan anak-anak. Terus terang, saya terkejut besar mendengar kanak-kanak kecil tersebut ditinggalkan duduk bersama kakak yang hanya berusia lima tahun di belakang. Ya Allah! Kenapa begitu jadinya? Bukan menuduh atau tidak kenal erti simpati atau melupai kehendak takdir. Sebenarnya, kes sebeginilah yang boleh dikategorikan sebagai kelalaian ibu bapa di dalam menjaga keselamatan anak-anak.
Kenapa lah kanak-kanak kecil tersebut tidak dipakaikan tali pinggang keledar? Tak ada? Kalau dah tak ada, pegang sajalah anak tu kat depan, letakkan di atas riba ibu. Tak selesa? Mana lebih penting, selesa atau anak selamat? Ya! Memang betul, kalau tau perkara nak berlaku, tak lah dibiarkan anak tu kat belakang. Sama juga lah,kalau tau bila nak mati, tak der lah orang nak lakukan maksiat. Betul tak? Apa sinonimnya? Ya! Sebagai makhluk, kita tak tau apa yang bakal berlaku di depan. Bila tak tau,kita perlu mengambil langkah-langkah yang perlu.
Kalau semua pembaca nak tau, hingga saat ini saya masih duduk di bahagian belakang bersama ketiga-tiga anak saya sekiranya suami saya memandu dan tidak ada orang lain yang turut serta bersama kami yang boleh saya harapkan untuk menjaga anak-anak saya kat belakang. Bukan tika ada bayi berusia sembilan bulan sekarang sahaja tetapi sejak mula. Pernah suami saya bersuara, dah rasa cam driver pulak. Saya yakin itu kata-kata gurauan tapi kalaulah suami memaksudkannya pun, saya hanya mampu memohon maaf sebab saya tak mampu melepaskan anak-anak saya sahaja di belakang walaupun kini Ayuni dan Suhail telah berusia lima dan empat tahun. Bukan saya sahaja, malah saya perhatikan beberapa rakan saya juga bertindak serupa. Bukan nak jadikan suami driver atau hamba tetapi demi menjaga keselamatan anak-anak.
Setiap ibu bapa perlu ingat, usia bayi tiga bulan, tika mula mengorak gerak meneroka persekitaran hinggalah menjadi kanak-kanak berusia 12 tahun, segala yang berada di keliling mereka adalah satu ujian. Persekitaran mereka bagaikan satu makmal kajian. Jika berada di dalam kereta, mereka akan mencuba segala perkara untuk mengetahui apa fungsi dan peranannya. Mereka cuba nak buka pintu. Mereka nak hulurkan muka dan tangan keluar. Macam-macam perkara. Apalah yang kanak-kanak tau tentang bahaya,apatah lagi kanak-kanak kecil yang belum pun berusia dua tahun? Allahu akbar. Mohon dijauhkan ujian serupa daripada menimpa saya dan anda semua.
Maaflah kalau kali ini saya seperti membebel. Memang sungguh saya kecewa. Kecewa dengan sikap acuh tak acuh sesetengah ibu bapa dengan keselamatan anak-anak walau sering disajikan dengan pelbagai berita yang boleh dijadikan pengajaran dan iktibar. Lebih kecewa bila ada ibu bapa yang lebih pentingkan harta benda daripada anak-anak. Saya yakin,ada di antara pembaca yang pernah membaca kisah seorang kanak-kanak perempuan yang minta dipulangkan semula tangannya yang terpaksa dipotong setelah mengalami luka parah kesan menerima pukulan daripada si ayah, hanya kerana si anak menconteng keretanya. Saya masih simpan cerita tersebut. Saya tak dapat nak pastikan kesahihannya tetapi moralnya memang menyentuh rasa. Kisah terbaru yang sampai kepada saya ialah kisah seorang ibu yang melarang orang ramai memecahkan cermin keretanya kerana bimbang dimarahi suami sedangkan anak kecilnya terperangkap di dalam kereta yang terkunci dan kuncinya ada di dalam kereta. Syukur juga ada manusia yang waras akal, tidak peduli larangan si ibu yang takutkan amarah suami, terus pecahkan cermin kereta dan alhamdulillah, bayi berjaya diselamatkan.
Ada tikanya saya terfikir, kenapalah ada ibu bapa yang bodoh seperti itu? Tak terfikirkah betapa berharganya nyawa si anak? Atau ambil jalan mudah, anak boleh ja nak buat lain tapi harta susah nak cari, begitu? Kalau itulah yang bermain di fikiran anda, maaf saya katakan, anda bukan saja tidak layak menjadi ibu bapa tapi juga tak layak menjadi hidangan anjing. Saya tak tau entah kali ke berapa saya sebutkan menerusi ruangan ini, ANAK-ANAK ADALAH TANGGUNGJAWAB IBU BAPA, bukan ibu sahaja atau bukan bapa sahaja. Ibu dan bapa, kedua-duanya perlu mengambil tahu, menjaga, mendidik dan membimbing anak-anak hingga berjaya menjadi insan yang berguna. Perceraian bukan alasan untuk anda engkar melakukan tanggungjawab tersebut. Mahu seribu daya kan?! Tanggungjawab ibu bapa juga untuk menjaga keselamatan anak-anak dan jika anda gagal, anda memang patut dibicarakan di bawah peruntukan yang ada. Berhati-hatilah…
****Siaran Julai 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan