23 Mei 2010

Ambil berat, menyibuk atau mengacau?

Seorang pembaca ruangan ini mengirimkan sms, meminta saya membincangkan tentang gelagat sesetengah ahli masyarakat yang keterlaluan di dalam mengambil berat hinggakan orang yang diambil berat terasa rimas dan menyampah sebab reaksi ambil berat dah jadi macam menyibuk. Tergelak saya ketika membaca sms tersebut. Bukan gelak menempelak cadangan pengirim sebaliknya saya tergelak memikirkan, dalam kekecohan isu ada ahli masyarakat yang tak kenal jiran sendiri, ada pulak ahli masyarakat yang terlebih mengenali jiran hingga meresahkan orang lain. Betullah kata orang; banyak udang banyaklah garamnya, ramai orang banyaklah pula ragamnya.

Sebenarnya, ambil berat atau ambil peduli tentang seseorang adalah sikap yang baik tetapi jika terlebih mengambil berat atau terlampau ambil peduli, memang boleh menimbulkan rasa tidak selesa pada diri orang yang diambil berat serta diambil peduli tersebut. Sesetengah kes, boleh mendatangkan marah dan boleh menjejaskan hubungan. Bukan sekadar antara jiran atau rakan, malah jika terlebih mengambil berat terhadap pasangan sendiri juga, boleh menimbulkan pergaduhan.

Ada seorang lelaki mengirimkan e-mel kepada saya, meluahkan rasa tidak suka dengan sikap tunangnya yang baginya, terlalu menyibuk dengan urusan kehidupannya. Menurut lelaki ini, tunangnya akan menelefon pada setiap waktu makan – dah 3 kali sehari, juga akan menelefon pada setiap waktu solat – 5 kali sehari. Di samping panggilan telefon, ada juga sms-sms yang dikirim, meminta laporan mengenai aktiviti atau perkara yang sedang dilakukan oleh tunangnya itu. Membaca e-melnya sahaja, saya berasa rimas, bayangkanlah keresahan dan kerimasan yang dialami oleh pengirim e-mel ini.

Sebenarnya, dua situasi yang diluahkan di dalam sms dan e-mel yang saya nyatakan tadi tidak akan berlaku sekiranya sikap ambil berat dan ambil peduli dilaksanakan dengan cara yang betul. Bagaimana caranya? Besederhana. Mudah sahaja. Tau nak ambil berat pasal kesihatan tunang maka nak pastikan tunang ambil makanan tepat pada masanya tapi tak perlulah telefon tunang anda setiap masa makan. Tunang anda bukannya budak-budak yang susah nak makan. Memadai ingatkan di awal pagi supaya tunang anda menjaga makan minumnya, dah cukup dah. Kalau tunang anda jenis kuat kerja hingga lupakan makan, cukuplah gunakan sms, tanya dah makan ke belum? Tak perlu telefon setiap masa kerana keprihatinan anda itu sebenarnya dah jadi seperti mengacau.

Sama jugalah dengan hubungan rakan atau jiran. Jika ada perkara yang ingin anda sampaikan, luahkan secara berlapik agar rakan atau jiran anda tidak terasa menikam hingga menjadikan niat baik anda (jika itu sebenarnya niat anda- sebab memang ada jenis yang memang suka menyibuk kan?!) disalah ertikan. Sebagai contoh, aduan tentang kenakalan anak rakan atau jiran. Berhati-hati tika bercerita kerana ayat dan nada suara anda boleh mengundang pelbagai makna. Begitu juga jika anda menyoal sesuatu. Soal bila perlu sahaja dan jauhi soalan-soalan yang agak peribadi.

Ingat yer! Peribadi bagi seseorang adalah berbeza. Ada orang yang tak suka bercakap mengenai rumahtangganya atau apa-apa juga tentang dirinya kecuali mengenai kerjaya. Bagi mereka yang seperti ini, persoalan atau pertanyaan yang mudah seperti pekerjaan pasangan, adalah terlalu peribadi dan jika anda menyoal sedemikian, bermaksud anda mengganggu ‘privacy’ mereka.

Seperkara lagi, jangan terlebih memberi nasihat dan pandangan. Ya, anda berhak menyuarakan pendapat dan pandangan tetapi hormati juga pandangan orang lain terutama pendapat orang yang kononnya, sedang anda ambil berat itu. Anda memang berhak memberi pandangan tetapi jangan sampai menjatuhkan harga diri ataupun mendoakan yang tidak baik terhadap orang yang sedang anda nasihati itu.

Teringat aduan seorang kawan mengenai kawannya yang kononnya ambil berat dan prihatin. Masing-masing bercerita mengenai sekolah anak-anak. Si A menceritakan cadangannya untuk memasukkan anaknya ke sebuah sekolah swasta yang agak tinggi yuran bulanannya. Si B menasihatkan, agar tidak terlebih berbelanja sejak awal sebab anak masih kecil. Kalau dah sekolah menengah atau kolej, berbaloi la berbelanja lebih. Si A memberikan alasan kenapa sekolah swasta tersebut menjadi pilihan tetapi si B terus memberikan pandangan: tak semestinya sekolah mahal anak boleh berjaya, buatnya gagal nanti? Menurut A, tika itu hanya Dia yang tahu betapa dia amat marah. Mulanya memang terasa si B mengambil berat tetapi bila kata-kata sedemikian keluar daripada mulut si B, A dah mula rasa menyampah dengan si B. Kes yang kecil je kan, pasal sekolah anak tetapi kesan tersilap mengambil berat, hubungan yang sedia terjalin mula renggang, nauzubillah!!

Lantaran itu lah, berhati-hati di dalam mengambil berat mengenai seseorang walaupun tentang insan yang anda sayangi. Bukan tak boleh ambil berat tetapi besederhana lah, jangan sampai anda dituduh menyibuk atau mengacau hidup orang lain….

****Siaran November 2008

1 ulasan:

nonickname berkata...

salam... mntx share... sy hadapi mslh yg sme.. time kasih...