06 Julai 2010

Bagaimana tentukan pilihan?

Sabtu baru ni, seperti biasa saya bertemu dengan klien. Waktu temujanji jam 9.00am. Memandangkan saya tiba lebih awal, eloklah mengalas perut dulu. Tika menghampiri pilihan hidangan, dah terlintas di minda saya untuk menikmati hidangan bihun goreng. Namun, setelah berdepan dengan sajian yang ada, sedihnya bila bihun goreng yang disaji sedikit pun tidak menarik minat saya. Warnanya yang pudar, sayurnya kurang, sungguh langsung tak menarik perhatian. Mata saya lebih tertumpu kepada mee goreng, nampak lazat dan sedap sekali. Dek kerana tak nak terkilan (saya tak lah hamil tapi tak semestinya wanita hamil jer teringinkan sesuatu kan), saya ambil sedikit mee goreng dan juga bihun goreng.

Bila mula menjamah, sudah pastilah saya pilih yang sedap dulu kan. Penuh semangat saya menyuap mee goreng. Ya Allah! Masinnya. Betul-betul membantutkan selera, tak daya nak menelan. Rasa terpaksa, saya suap pula bihun goreng. Subhanallah! Tak sangka bihun goreng yang langsung tak menarik minat saya tadi rupa-rupanya mempunyai rasa yang sedap dan lazat. Akhirnya, saya habiskan bihun goreng. Mee goreng pula, terpaksa saya tinggalkan, tak sanggup menghadapi ‘keenakan garam yang berlebihan itu’.

Kenapa saya ceritakan tentang pilihan sarapan saya ini? Sebenarnya, bukan saja ketika menentukan selera untuk sarapan malah dalam setiap perkara, setiap detik dan keadaan, kita semua berdepan dengan pilihan. Ada tikanya senang dan mudah namun ada tikanya agak sukar malah meletakkan kita di situasi ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’. Betul-betul tak tau nak pilih yang mana satu. Tak telan atau tak luah, penuh pulak dalam mulut, boleh sesak nafas jugak jadinya.

Jika pilihan makanan, boleh lah dibuat macam saya tadi, ambil kedua-duanya (jika pilihannya hanya dua). Walau boleh diambil kedua-duanya, segalanya masih ditentukan Ilahi. Saya tak boleh makan mee yang pada mata saya amat sedap sebaliknya bihun yang tidak termasuk di dalam keutamaan saya ditentukan-Nya sebagai yang terbaik untuk saya. Satu analogi mudah, itulah juga hakikat sebenar di dalam kehidupan kita. Kita boleh membuat pilihan namun ketentuan selepas itu, hanya Dia yang tahu mana yang terbaik untuk kita.

Kenapa saya bincangkan tentang pilihan? Sebabnya terlalu ramai yang menyoal saya, apakah keputusan yang perlu diambil apabila menghadapi pelbagai pilihan? Ada yang pening memilih kehendak ibu bapa atau kehendak hati sendiri. Ada yang keliru sama ada nak teruskan hubungan atau mengakhirkannya setelah pelbagai ujian dihadapi. Macam-macam pilihan yang ada dan perlu diambil keputusan.

Seperti yang selalu saya jelaskan kepada setiap individu yang menghadapi situasi sebegini, jangan fikir menggunakan emosi dan akal sendiri. Sebaliknya serahkan segalanya kepada ketentuan Ilahi. Sama seperti anda, saya juga pernah malah sering berdepan dengan keadaan yang memerlukan saya mengambil keputusan memilih antara dua atau tiga perkara. Satu keputusan yang paling sukar pernah saya lakukan, mengambil masa empat tahun untuk saya nikmati hikmah di sebalik segalanya.

Empat tahun, dengan tiga tempoh masa yang amat sukar. Tika menghadapi tiga keadaan kritikal tersebut, saya hanya mampu berdoa jika ‘ya’ adalah yang terbaik untuk saya sekeluarga, mudahkanlah perjalanan ke arahnya, jika ‘tidak’ adalah yang terbaik, mudahkanlah juga saya menghadapi apa juga keadaan selepas itu. Lantaran itulah, saya sering nasihatkan setiap klien saya, bergantung dan berharaplah kepada-Nya. Jangan lupa berdoa mohon yang terbaik kerana hanya Dia yang tahu yang terbaik untuk anda.

Lakukan istikharah? Boleh, lakukanlah tapi ada syaratnya. Lakukan istikharah dengan penuh khusyuk dan berserah kepada-Nya, bukan dalam keadaan anda telah punya pilihan atau keputusan. Jika anda telah punya keputusan atau ada satu pilihan yang lebih diberikan keutamaan, percaya lah, istikharah anda sukar mencapai keputusan yang tepat.

“Saya pernah lakukan istikharah dalam keadaan yang benar-benar berharap kepada-Nya dan saya ambil keputusan berdasarkan istikharah, namun akhirnya saya tetap tidak bahagia. Bagaimana keadaan tersebut boleh berlaku?” Itu antara soalan yang pernah diberikan kepada saya. Saya akui hakikat tersebut. Saya juga pernah berdepan situasi yang sama. Kita perlu ingat, keputusan yang diterima tika istikharah adalah keputusan yang terbaik untuk kita tika itu, dengan keadaan diri kita tika itu juga. Jika keadaan berubah atau diri kita sendiri berubah atau diri orang lain yang terlibat dengan kehidupan kita tika itu berubah, maka berbeza juga lah keadaan yang terbaik untuk kita selepas itu. Jangan salahkan takdir, setiap yang berlaku bukanlah perkara sia-sia.

Nasihat saya kepada mereka yang sering diuji atau sentiasa perlu membuat pilihan, sentiasalah berdoa mohon yang terbaik daripada-Nya. Amalkanlah bacaan doa al-Mathurat setiap kali lepas solat Subuh dan Asar. Jika Dia sering di dalam fikiran anda, anda juga sering berada di dalam peliharaan-Nya, InsyaAllah.

****Siaran Disember 2008

1 ulasan:

Ginkgo kewl berkata...

juz blog-walking... tiba-tiba stumble kat sini... baru-baru ni pn saya ada terfikir tentang pilihan dan kehidupan secara mendalam...

yela, dalam dunia ni, mcm2 kite encounter... pada Allah je kite berserah~~