Mengambil peluang bercuti, saya turuti saranan bapa. Kes pertama yang saya saksikan ialah kisah seorang anak lelaki yang sedang berusaha menjejak ibu dan adik-adiknya yang terpisah selepas berlakunya perceraian. Kes kedua pula melibatkan seorang ibu yang mencari anak gadisnya yang telah lama tidak pulang ke rumah (tak silap saya lebih tiga tahun- sambil-sambil melayan anak-anak, tak dapat tumpukan sepenuh perhatian). InsyaAllah, saya akan bincangkan tentang kes pertama dalam perbincangan seterusnya namun kali ini, saya berminat untuk bincangkan tentang kes kedua. Anak gadis wanita tua dari negeri pantai timur ini menghilangkan diri apabila hubungan cintanya terlarang.
Hakikatnya, bukan satu kes sahaja malah terlalu banyak kes yang serupa. Jika pembaca semua masih ingat, kes Nurul yang dibawa balik ke Malaysia atas bantuan pihak kerajaan gara-gara menderita tinggal di negara orang setelah buta dek kerana cinta kekasih. Banyak kes serupa dilaporkan malah juga yang tidak dilaporkan. Persoalannya, wajarkah hanya kerana cinta seorang kekasih – yang mungkin baru dikenali setahun, dua tahun atau dua tiga bulan, anda perlu lupakan dan pinggirkan terus kasih sayang ibu dan bapa anda? Wajarkah? Bagi mereka yang tidak terlibat dalam kes serupa, saya yakin jawapan anda sudah semestinya ‘tidak wajar’ namun buat mereka yang terlibat dalam kes serupa, saya yakin antara jawapan berikut, ada dalam pemikiran anda:
- bukan lupakan tapi membawa diri, agar ibu bapa memahami
- kasih sayang ibu bapa belum cukup untuk hidup bahagia, masih perlukan cinta kekasih
- hati dah sakit, nak pujuk hati, dah reda kemarahan atau hati tak sakit nanti, balik la semula
Mungkin ada seribu jawapan lagi tetapi saya yakin, ‘pi mai pi mai tang tu jugak’ lah asas alasannya. Saya faham, dah kemaruk dengan cinta ni, memang payah dah nak di’betul’kan pemikirannya. Bak kata dalam bahasa Hindustan, dah ‘pagel’ jadinya. Tak salah nak bercinta tetapi perlu diingat, bukan sampai anda mengenepikan ibu bapa anda. Pengalaman saya hampir 11 tahun dalam bidang psikologi keluarga dan guaman syarie ini, saya dapat kenal pasti satu perkara, hubungan yang tidak direstui oleh ibu bapa amat sukar untuk bahagia. Pasti akan ada saja masalah yang melanda. Jika bukan berpunca daripada pasangan, perkara lain di sekeliling anda akan berikan anda kecelaruan fikiran yang akhirnya boleh menyebabkan rumahtangga anda berantakan.
Itu jika berkahwin juga tanpa restu keluarga. Jika tak kahwin pun tetapi mengambil sikap menghilangkan diri, hilang sepi tanpa khabar berita, membuatkan ibu bapa dan adik-beradik lainnya menunggu dalam derita, juga bukan satu sikap yang baik. Merajuk hati apa lah sangat. Dah kalau si dia bukan jodoh anda, terima lah hakikat. Larangan dan campurtangan ibu bapa dalam hubungan anda bukan untuk menyusahkan hidup anda tetapi untuk membahagikan anda. Tidak ada ibu bapa yang waras menginginkan anak-anaknya hidup derita. Ya, mungkin ibu bapa anda tersilap perhitungan atau salah kenal tentang pasangan anda. Dah kalau yakin ibu bapa tersalah, cari peluang untuk ibu bapa anda mengenalinya. Melarikan diri bukan boleh menyelesaikan masalah.
Fikirkan: Anda menikmati kasih sayang suci dan tulus daripada ibu bapa anda selama 15 tahun, 18 tahun, 25 tahun atau 28 tahun sebelum anda bertemu dan akhirnya bercinta dengan kekasih anda. Apakah waras dan logik tindakan anda melupakan segala kasih sayang itu hanya setelah bertemu cinta yang kononnya sejati daripada kekasih anda dua tiga bulan atau dua tiga tahun sebelum ini? Ingatlah!! Hubungan kekasih malah hubungan perkahwinan boleh berakhir dan hancur tetapi hubungan antara anak dan ibu bapa takkan putus hingga ke akhirat. Bak ayat Mak saya; suami atau isteri semacam daki yang melekat di badan, boleh dibuang bila-bila masa sahaja tambah bila dah pasti, tidak berguna kepada hidup anda. Tetapi ibu bapa adalah umpama badan anda, segalanya di dalam tubuh anda adalah ibu bapa anda, tak mungkin terlerai dan jika terlerai, hidup sudah tidak bererti.
Satu persoalan untuk difikirkan: Jika satu hari nanti, anda dah memegang status ibu atau bapa dan punyai anak gadis atau jejaka yang menyintai seseorang tetapi anda tidak setuju. Kesannya anak anda itu melarikan diri, sama seperti apa yang anda lakukan hari ini, apakah perasaan anda? Jangan mendabik dada mengucapkan anda takkan larang sebab akan lebih memahami. Bukan anda penentu storyline hidup anda dan anak anda.
Ingatlah!! Setitis air mata ibu anda yang jatuh ke bumi kerana sedih dek perbuatan anda, takkan anda tertanggung beban dosanya di akhirat nanti. Hanya kasih ibu kasih yang sejati. Insaflah!!!
****Siaran Mei 2009
*MULAI MEI 2011, temujanji bersemuka akan diadakan di KL Sentral, Kuala Lumpur sahaja bermula Isnin hingga Jumaat pada setiap minggu dan Sabtu (minggu kedua dan keempat sahaja). Bagi mereka di luar Kuala Lumpur, boleh gunakan temujanji menerusi panggilan telefon atau chat Yahoo Messenger. Maklumat lanjut, hubungi talian 013-2545965 atau layari http://bersamasuzana.blogspot.com
2 ulasan:
pn suzana, boleh x saya olah artikel ni, dn saya letak dlm blog saya. tapi saya akan letakkan link blog puan..terima kasih
Salam alaik, benar puan..ada pun disana, ramai ibubapa masih perlukan nasihat ikhlas terutama dari puan seorang ibu yang sangat berpengalaman.
Terkadang, anak2 tidak faham, semahunya dirinya disayangi selalu. Saya doakan puan berjaya n istiqamah..Allohumma amin.
Catat Ulasan