26 Julai 2011

Cerai halal tapi boleh jadi haram

Dalam tempoh lebih 11 tahun berkecimpung dalam kerjaya saya sebagai Peguam Syarie seterusnya menumpukan sepenuh perhatian dalam konsultansi sebagai Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Alhamdulillah... ramai yang menjadi klien saya temasuklah dari kaum lelaki walau nisbahnya 30:1. Semalam, seorang daripada empat klien yang bertemujanji menerusi klinik saya, hampir semuanya dek kerana topik Bila Sayang Bertukar Benci, adalah seorang lelaki yang terkenal dengan rutin kerjanya yang sibuk dan ada tikanya tak menentu tetapi amat mengambil berat tentang rumahtangganya dan paling penting, lelaki ini amat mencintai isterinya. Saya tahu segalanya itu berdasarkan luahan hatinya dan pemerhatian saya selama tempoh rundingcara diadakan. Jika tidak, lelaki ini takkan menitiskan air mata bila saya mintak untuk berjumpa dengan si isteri dan menutup sesi saya dengan kata-kata: Saya usahakan untuk menasihatinya. Percayalah, jika yakin kita berada di jalan yang benar, berdoalah mohon kepada-Nya agar isteri berubah dan kembali sayang dan taat. Kita berusaha, mohon daripada-Nya yang terbaik, Dia maha Mengetahui...

Sedikit kisahnya: lelaki ini seorang doktor yang tidak menghalang niat suci isteri untuk sambung belajar kemudiannya menjalankan perniagaan sendiri. Dek kerana sibuk dengan perniagaan, si isteri mengabaikan kesepian yang dialami oleh si suami menyebabkan si suami terpandang kasih seorang wanita lain. Namun, disebabkan cinta yang menebal kepada si isteri, hubungan kasih dengan wanita lain hanya berjalan dalam tempoh yang amat singkat, kalau lah seorang wanita hamil, belum sempat pun menghabiskan trimester pertama. Si suami berterus terang dengan isteri, mengharapkan pemahaman dan perubahan sikap si isteri. Sebaliknya si isteri menjadikan kesilapan si suami sebagai alasan untuk mengizinkan dirinya mempunyai hubungan rapat dengan rakan kongsi perniagaannya malah ketika bertemu saya, si suami menyatakan isterinya itu meluahkan rasa tidak suka lagi kepada dirinya. Si suami juga menerima pengakuan rakan kongsi perniagaan si isteri, mengesahkan hubungan intim antara mereka dan hasrat untuk mereka bersatu selepas berlaku pembubaran perkahwinan.

Saya percaya, ada di kalangan pembaca yang merasakan, baru padan dengan muka si suami, siapa suruh buat hal. Mungkin juga ada yang berpendapat, kasih dan sayang tak boleh dipaksa, kalau dah tak suka, bercerai je lah jawapannya. Ya, bercerai memang ada di dalam Islam dan ia adalah halal walaupun tidak disukai oleh Allah SWT. Namun, perlu diingat, cerai juga boleh berubah menjadi haram apabila perceraian tersebut tidak berasaskan alasan dan sebab yang wajar dan munasabah di sisi hukum syarak. Bagaimana nak tentukan sebab dan alasan yang munasabah di sisi syarak? Seperti yang pernah saya tegaskan, perkahwinan di dalam Islam mempunyai prinsip dan hikmah yang tersendiri. Antara hikmahnya ialah bagi memupuk perasaan kasih sayang di antara suami dan isteri, kerana fitrah manusia inginkan kasih sayang dan belaian daripada orang yang tertentu. Hikmah perkahwinan yang paling penting juga adalah untuk melahirkan manusia yang bertanggungjawab dalam menjalankan amanah Allah SWT. Bermaksud, perkahwinan bukanlah satu keseronokan sebaliknya adalah satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap pihak, suami dan isteri.


Kembali kepada kes tadi, si isteri telah gagal di dalam merealisasikan hikmah perkahwinan berkaitan menjadi seorang yang bertanggungjawab, menjadikan si suami gagal menikmati hikmah perkahwinan berkaitan kasih sayang di antara suami dan isteri. Haiii!! Nak salahkan isteri juga? Kan ke si suami pun mempunyai rutin kerja yang sibuk dan ada tikanya tak menentu? Ya, saya akui tetapi dah itu tugas, peranan dan tanggungjawab suami, untuk bekerja dan mencari nafkah keluarga. Kalau semua orang nak kerja 9am hingga 6pm, apa akan jadi jika berlaku kes kecemasan dan membahayakan nyawa? Pekerjaan sebegini adalah juga tuntutan syarak asalkan tanggungjawab lain sebagai suami tidak diabaikan. Isteri pun bekerja dan perlukan berikan perhatian kepada kerjanya? Ya! Memang betul tetapi tidak tepat. Islam tidak melarang kaum wanita keluar untuk bekerja asalkan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan antaranya tidak mencuaikan tugas dan tanggungjawab terhadap suaminya atau tugas ibu terhadap anaknya dan menghindari pergaulan yang membawa kepada perkara maksiat.


Berdasarkan penerangan si suami, si isteri telah melanggar syarat-syarat tersebut. Maka, dalam keadaan sebegini, walaupun hikmah perkahwinan untuk kedua-dua pasangan suami isteri berkongsi kasih sayang telah tiada dek kerana kegagalan menjalankan tanggungjawab yang patut, hukum si isteri memohon cerai dalam kes sebegini adalah haram dan berdosa. Sebagai isteri, seseorang itu hendaklah menjaga batas pergaulan dan perhubungan agar tidak wujud kasih terhadap lelaki lain, selain si suami. Memang teman lelaki lebih memahami, lebih menyayangi dan lebih romantik namun jangan tertipu. Bak kata orang... dah belum dapat!! Kepada kaum lelaki, beringatlah!! Kalau teman wanita anda boleh curang kepada suaminya kerana anda, tak mustahil satu hari nanti... dia juga boleh curang dengan anda kerana lelaki lain pula!!

****Siaran Jun 2009

5 ulasan:

dairi ibu berkata...

Assalamualaikum.
Kisah sebegini amat lumrah sekarang ini, bila rasa 'dikhianati' isteri pun mengambil langkah konon membalas dendam, tapi mungkin terlupa yang akan terbakar akhirnya diri sendiri juga. Jarang sekali anak2 dapat menerima kecurangan ibu mereka walaupun atas dasar balas dendam.
Kita akan dapat balik apa yang kita invest itu yang kita sering terlupa, itu kat dunia, kat akhirat
lagilah terseksa.

K@sih berkata...

Yeah..sgt2 setuju dgn Puan Suzana..
Saya pernah jumpa isteri sebegitu..
Si suami bekerja siang dan malam untuk menampung kehidupan si isteri(tidak mahu bekerja lgsg) dan anak..

Si isteri yang mahukan kehidupan yg mewah, tetapi tidak menghargai suami bermatian2 bekerja siang dan malam..

Bertahun2 si isteri yg menuduh suami curang sedangkan suami tidak begitu.. dan mencabar suami berkali2 agar menceraikannya.. suami menjadi kurus kering sbb makan hati...

akhirnya... apa yg diminta dan didoakan oleh si isteri berlaku jua.. kata2 itu suatu doa...

suami tawar hati dgn sikap isteri kemudian suka pada perempuan lain dan mereka akhirnya bercerai...

kadang2 saya pun x faham dengan perempuan jenis ini... hmm..
harap2 saya selalu menjadi isteri yang menyenangkan hati suami hingga ke akhir hayat saya..

Che Gu Sham berkata...

Salam...
Saya setuju dengan apa yg puan katakan..sememangnya wanita dan isteri solehah akan menjaga batas2 yg telh islam gariskan..suami sibuk ke hape itu bukan alasan kerana zaman rasulullah saw po dah ada contoh suami keluar berniaga atau berjihad ke jalan Allah. ?adakah mereka mencari lelaki lain? Isteri memegang amanah bla suami tiada dirumah...sibuk bukan alasan...itu semua hasutan syaitan...

hadididin berkata...

as'salam ...

saya ingin bertanya, kenapa cerai itu halal tetapi tidak disukai Allah. adakah ianya bersangkutan kehidupan dialam akhirat ..?

terima kasih ...

hadididin berkata...

as'salam ...

saya ingin bertanya, kenapa cerai itu halal tetapi tidak disukai Allah. adakah ianya bersangkutan kehidupan dialam akhirat ..?

terima kasih ...