04 Ogos 2011

Tak semua orang layak berkahwin

Semalam, sesi terakhir temujanji menerusi klinik saya melibatkan seorang wanita yang baru memegang status sebagai isteri tak sampai enam bulan dan sudah pernah diceraikan ketika perkahwinan berusia empat bulan hanya gara-gara si isteri merajuk dan merayu mintak dipujuk. Menjawab soalan saya semalam, peratusan kasih sayang si isteri kepada suami hanyalah 50%, bukan 100% atau 90% yang biasanya dirasai oleh kebanyakan pasangan suami isteri. Seperti perbincangan saya sebelum ini, sayang boleh hilang bila satu pihak gagal menyemarakkan kasih sayang tersebut.

Seperti kes wanita ini, berkahwin suka sama suka namun dek sikap suami yang tidak menghargai kasih sayangnya, sesenang hati mencaci maki si isteri depan khalayak hanya kerana si isteri inginkan penjelasan tentang satu mesej pesanan ringkas, masih menagih najis dadah, gagal menjalankan tangungjawab sebagai suami, bukan sahaja nafkah zahir tetapi juga nafkah batin malah paling menyedihkan, wang simpanan si isteri sejak sebelum kahwin, dah hampir kosong sebab selalu dikeluarkan bagi menampung perbelanjaan dalam usaha memberikan layanan terbaik kepada si suami.

Saya tak nak jelaskan dengan terperinci tentang nasihat saya kepada si isteri, tetapi bertepatan dengan tajuk perbincangan saya kali ini, tidak semua orang layak berkahwin dan suami si wanita adalah tergolong dalam kumpulan yang tidak layak ini. Syariat Islam menetapkan terdapat lima hukum asas bagi seseorang lelaki yang berhasrat untuk melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya.

Kenapa hanya lelaki? Kerana lelaki adalah ketua keluarga dan bila ketua adalah seorang yang betul-betul layak, insyaAllah ketua ini akan mampu melayarkan bahtera rumahtangganya berlandaskan kehendak syariat dan mampu merealisasikan perkahwinan menepati prinsip dan hikmahnya.

Lima hukum tersebut ialah wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Seseorang lelaki dikategorikan sebagai wajib berkahwin apabila mereka mampu dari segi fizikal dan kewangan malah dibimbangi sekiranya tidak berkahwin, takut terjerumus kepada maksiat zina. Lelaki yang sunat berkahwin ialah mereka yang mampu dari segi fizikal dan kewangan dan mempunyai keinginan untuk berkahwin. Bezanya mereka tidak bimbang akan terlibat dengan zina sekiranya tidak berkahwin.

Lelaki yang haram berkahwin pula ialah mereka yang tidak mampu dari segi nafkah zahir dan batin. Haram juga bagi lelaki yang berkahwin dengan tujuan untuk memudaratkan isterinya. Lelaki yang tergolong dalam senarai makruh berkahwin ialah mereka yang tidak mampu memberi nafkah kepada isterinya tetapi berkeinginan untuk berkahwin. Lelaki yang harus berkahwin pula ialah mereka yang tidak mempunyai sebab yang mendesak untuknya berkahwin dan tidak pula mengharamkan dia berkahwin.

Dah jelas? Mungkin ada yang tidak tahu namun, tak kurang juga yang tahu tetapi menafikan hakikat tersebut. Malah, ada lelaki yang berpendirian, sekarang belum mampu sara isteri, lepas kahwin nanti, ikhtiar la cari rezeki. Bercakap senang namun praktikalnya? Terlalu banyak kes yang saya kendalikan kebelakangan ini melibatkan suami yang gagal menjalankan tangungjawab sewajarnya sebagai suami terutama sekali di dalam urusan nafkah. Pelik? Tak pelik. Jika sejak awal dah tak mampu nak suap mulut sendiri, bagaimana nak suap mulut orang lain?

Tak mengapa, carilah isteri yang bekerja atau berpendapatan lebih tinggi. Bukan itu penyelesaiannya kerana tanggungjawab seorang suami berkaitan nafkah zahir adalah sama dan tidak berubah sedikit pun walaupun si isteri bekerja: suami WAJIB memberi nafkah untuk isteri dan anak-anaknya berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan segala keperluan isteri yang munasabah dan tidak bercanggah dengan syarak. Dalam perkara ini, bakal isteri juga perlu sedar dan mengambil berat kewajipan ini. Ada bakal isteri yang mengambil jalan mudah, tak apa tak bekerja atau tak mampu menyara isteri lepas perkahwinan asalkan dapat hidup bersama, dah kahwin nanti, pandai-pandailah ikhtiar.

‘Pandai-pandai’ yang dikatakan tersebut selalunya hanya pandai-pandai si isteri sebaliknya suami, masih dalam keadaan yang sama malah banyak kes, menjadi semakin teruk. Alasannya, kalau dulu boleh terima dirinya seadanya, kenapa selepas perkahwinan, nak suruh berubah pulak? Kan dah janji nak berubah?? Itu lah yang selalu dijadikan sandaran dengan keengganan mempercayai, suami mungkin boleh engkar janji. Saya tak salahkan lelaki 100% kerana kaum wanita juga bersalah. Nasihat saya, jangan jadi buta, pekak dan tuli hanya kerana cinta kerana cinta itu boleh ada dan boleh tiada. Pertimbangkan sewajarnya mengikut akal yang waras dan mohon petunjuk-Nya agar anda tidak menyesal di belakang hari.

**** Siaran Jun 2009

****Kunjungi Klinik Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie bermula 7hb September 2011 bertempat di Aras 1, Blok C, Akademi Pengajian Islam, Uni. Malaya. Maklumat terperinci hubungi talian 013-2545965 atau layari http://bersamasuzana.blogspot.com

1 ulasan:

Sizzling Suzai berkata...

wow..nice blog for a family counselling..amazed ^^

http://sizzlingsuzai.blogspot.com/