06 September 2011

Keluar rumah: minta izin atau beritahu suami?

Alhamdulillah, sejak kebelakangan ini, saya makin banyak menerima kes daripada klien lelaki. Bukannya seronok kerana berpeluang bertemujanji dengan lelaki tetapi bersyukur kerana saya diberikan kepercayaan untuk mendengar dan memberikan jalan penyelesaian terhadap kes-kes mereka. Terkini, seorang suami bertemujanji menerusi penggilan telefon, meminta kepastian tentang ketaatan yang wajib bagi seorang isteri terhadap suaminya termasuk tentang izin keluar rumah dan melakukan sesuatu tindakan. Menurut lelaki ini, isterinya selalu memberitahunya tentang sesuatu tindakan atau untuk keluar rumah tika perbuatan atau tindakan tersebut hampir berlaku. Contohnya: “I dah janji dengan kawan nak ke pecan jam 3 ni.” Masa tu, hanya beberapa minit ke jam 3 dan si isteri dah pun bersiap nak keluar. Nak larang? Mesti bergaduh besar la, katanya.

Saya yakin, bukan lelaki tersebut sahaja menghadapi masalah sedemikian kan. Ya! Tindakan dan perlakuan si isteri yang serupa kes tadi bukanlah satu tindakan yang dibenarkan oleh syarak. Hukum syarak menetapkan seorang isteri perlu mendapatkan izin suami untuk melakukan apa juga tindakan dan perbuatan termasuk untuk keluar daripada rumah walaupun untuk bekerja, ke pasar atau tika berdepan dengan kes-kes kecemasan. Diriwayatkan pada zaman Rasulullah SAW, seorang isteri diberikan pengiktirafan oleh baginda Rasul kerana tahap ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada si suami. Menurut riwayat, si suami terlibat dalam perang berjihad ke jalan Allah.

Dalam tempoh tersebut, si isteri yang ditinggalkan di rumah didatangi seorang saudaranya daripada kampung mengkhabarkan tentang ayahnya yang sakit tenat. Si isteri hanya menjawab: “Baliklah dahulu. Suamiku tiada di rumah.” Tak lama, saudara tadi berjumpa sekali lagi dengan si isteri, mengkhabarkan ayahnya telah meninggal dunia. Si isteri masih berikan jawapan yang sama: “Baliklah dahulu. Suamiku tiada di rumah.” Tidak lama, si suami pulang daripada berjuang. Si isteri memberikan sepenuh layanan kepada si suami termasuk layanan intimasi. Bila yakin si suami mendapat layanan sebaiknya, barulah si isteri mengkhabarkan berita tentang ayahnya. Saya yakin, anda boleh baca tentang kisah ini dalam banyak buku panduan wanita dan isteri solehah.

Dalam konteks perbincangan kali ini, kisah ini adalah sebagai panduan betapa seorang isteri perlukan izin daripada suami dalam setiap perkara hatta kes kecemasan sekalipun. Memang itu kehendak hukum syarak, bukan kata saya atau kata alim ulamak lainnya. Dapatkan izin ya dan bukan beritahu. Terdapat perbezaan yang besar antara dapatkan izin dan beritahu. Kalau anda beritahu dan suami tak izinkan, anda tak boleh lakukan perkara yang anda hajati tersebut. Lantaran, bagi memudahkan urusan dalam kehidupan seharian, saya selalu praktikkan meminta izin daripada suami secara umum: Saya mohon izin untuk keluar rumah bekerja dan lakukan perkara-perkara yang penting dan perlu untuk keperluan diri dan keluarga. Bukan bererti dengan izin umum tersebut, tak perlu lagi izin suami. Masih perlu tetapi izin umum tersebut jika dalam keadaan suami tiada di depan mata saya atau sukar nak hubungi suami.

Namun, dalam zaman serba mudah dan canggih ini, tiada erti susah dan sukar nak dapatkan izin suami. Sekelip mata, anda boleh maklumkan dan dapatkan izin suami. Paling penting, perancangan awal. Jangan pulak dah janji dulu dengan kawan kemudian baru minta izin dan cakap pulak, dah janji dengan kawan. Itu ertinya memaksa suami bagi izin. Kalau izin dalam keadaan terpaksa, sama lah seperti izin tanpa rela dan redha suami. Jika terjadi apa-apa kesan daripada izin terpaksa tersebut, anda boleh dinobatkan sebagai isteri nusyuz.

Walaupun begitu, terdapat pengecualian di dalam perkara tertentu iaitu hal keganasan rumahtangga, tika membelanjakan wang hasil pendapatan sendiri dan hal-hal keselamatan. Jika anda adalah mangsa keganasan rumahtangga, sering dipukul dan dibelasah oleh suami, tak perlulah dapatkan izin suami untuk keluar rumah nak buat aduan ke balai polis dan dapatkan pemeriksaan perubatan. Janganlah lurus bendul pulak. Jika anda adalah mangsa keganasan dan anda mula bimbang dengan keselamatan diri anda dan anak-anak, anda boleh keluar daripada rumah walau tanpa pengetahuan atau izin suami tetapi pastikan anda buat aduan ke balai polis berhampiran dahulu. Nyatakan tujuan anda keluar kerana bimbangkan keselamatan diri anda dan anak (jika ada) disebabkan tindakan suami yang bertindak membahayakan keselamatan dan nyawa anda. Kemudian, buat aduan ke pejabat agama pula. Ingat!! Hanya yang membahayakan keselamatan. Jangan merajuk ja dah keluar rumah kemudian buat laporan polis.

Dalam membelanjakan hasil pendapatan sendiri, tak perlukan izin suami tetapi suami boleh memantau dan campurtangan jika perbelanjaan yang dibuat bukanlah perbelanjaan yang perlu dan wajar menurut syarak. Dalam kes keselamatan berkaitan penyakit atau kelahiran, jika doktor mengesahkan anda perlu lakukan sesuatu demi keselamatan nyawa anda tetapi suami tidak izinkan, tika ini anda boleh mengenepikan izin suami. Dengan syarat, membahayakan nyawa. Bukannya kemaslahatan sosial atau kewangan ya...Perkahwinan adalah perkongsian, hormatilah pasangan anda dengan dapatkan izin untuk lakukan sesuatu, bukan hanya izin suami tetapi juga izin dan beritahu isteri... kerana isteri berhak ke atas anda, sama seperti anda juga berhak ke atas isteri anda...

**** Siaran Julai 2009

***Mulai 7 September 2011: Kunjungi Pejabat Perundingan Keluarga & Guaman Syarie beralamat di C205 Blok C, Kompleks Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya; untuk khidmat konsultansi bersemuka. Hubungi 03-79676117 untuk temujanji terlebih dahulu.

***Bagi mereka yang tidak dapat bersemuka, boleh gunakan temujanji melalui telefon atau chat YM. Hubungi 013-2545965 atau layari http://bersamasuzana.blogspot.com untuk maklumat lanjut.

1 ulasan:

Bawang Goreng berkata...

Assalamualaikum,

Rasanya masih belum terlewat untuk saya ucapkan “Selamat Menyambut Hari Raya AidilFitri 1432H, Taqabbalallahu minna waminkum, Minal ‘aidin walfaizin, kullu am waantum bi khair, taqabbal ya kareem” untuk Su sekeluarga.

Saya pernah dan masih tertanya-tanya persoalan yang dikupas dalam entry Hak isteri melawat ibu bapa tanpa izin suami. Jika Su ada masa, boleh cuba baca.

Saya petik sedikit sahaja di sini. Menurut Sumber 1 – Utusan menyebut :

Peruntukan dalam feqh Prof Dr. Mahmud Ali al-Syarthawiy di dalam kitab Syrah Qanun al-Ahwal al-Syaksiyyah menegaskan harus si isteri ziarah ibu bapanya walaupun tidak mendapat izin suami seminggu sekali, sekiranya kedua ibu bapanya sakit harus baginya menziarahi mereka setiap hari kalau dia mahu.

Harus juga bagi si isteri menziarahi sanak saudaranya dalam sebulan sekali, namun ditegaskan oleh para ulama itu sekiranya suasana aman, sekiranya suasana tidak aman maka tidak harus bagi si isteri keluar tanpa izin suaminya, yang demikian ialah demi menjaga keselamatannya
(hlm:162).

Menurut Sumber 2 – kias.edu.my pula menyebut :

Mengenai keluar rumah kerana menziarahi dua ibu bapa walau pun tanpa izin tidak termasuk dalam perbuatan nusyuz mengikut setengah pandangan, malah mereka berpendapat isteri mempunyai hak menziarahi dua ibu bapa lebih kerap sekiranya dua ibu bapanya sakit dan tidak ada orang lain yang menjaganya. Ini tanpa mengira samada di izin atau tidak oleh suami kerana manusia dituntut oleh Islam membuat kebaikan sedaya yang mampu kepada dua ibu bapa ,samada sebelum atau selepas kahwin dan samada ibu bapa Islam atau tidak.

Hanafi hanya membolehkan isteri menziarahi dua ibu bapa tanpa izin sekirnya mereka sakit sahaja. Dengan lain perkataan menziarahi dua ibu bapa tanpa izin tidak termasuk dalam perbuatan nusyuz sekiranya mereka sakit.

Ada pandangan lain menyatakan makruh suami tidak mengizin isteri menziarahi dua ibu bapanya. Alasannya membuat kebaikan kepada dua ibu bapa dan menghubung tali silaturrahim adalah kewajipan yang dituntut oleh agama. Menghalang mereka menziarahi dua ibu bapa menyebabkan berlaku kerenggangan hubungan dan mendorong mereka melaku perbuatan derhaka. Sedangkan melaku kebaikan dan menghubung silaturrahim adalah satu tuntutan Syara'. Firman Allah, (al-Isra’ : 24), maksudnya, “Allah telah memfardukan kepada kamu supaya kamu jangan mengabdikan diri melainkan terhadapNya dan kepada dua ibu bapa hendaklah kamu melaku ihsan.”

Saya sudah kemukakan persoalan ini kepada JAKIM dalam soal-jawab agama, namun mereka tidak mahu menyatakan apa-apa pendirian atas kenyataan ini.

Mungkinkan ada yang mahu menyorokkan atau menafikan 'peruntukan isteri'?