15 September 2011

Biar susah dahulu asal senang kemudian

Tika bercuti yang tak serupa bercuti baru-baru ini (seperti cerita dalam perbincangan saya minggu lepas), saya menerima satu ‘mms’ daripada seorang klien, memaparkan wajahnya yang penuh dengan kesan lebam akibat dibelasah teruk oleh suaminya sendiri. Saya nasihatkan agar klien saya membuat aduan kepada pihak polis dan kemudian dapatkan rawatan doktor. Semua laporan berkaitan dilakukan namun, masih ada satu masalah, klien saya tadi sukar nak bawa tuntutan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi atau mempertahankan hak dirinya sendiri disebabkan perkahwinan yang telah dilalui kurang seminggu akan genap lima tahun (tika perbincangan ini disediakan), tidak dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang Malaysia.

Jika anda dah baca buku saya BUATMU WANITA atau pernah menonton slot psikologi keluarga dan guaman syarie yang disiarkan pada setiap Jumaat dalam Awani Pagi, Astro Awani, anda tentu maklum tentang nikah yang tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang Malaysia, ada tikanya menjadi nikah di sempadan yang boleh disahkan dan terlalu banyak kes pula adalah nikah sindiket yang menyalahi hukum syarak, perkahwinan tidak sah dan tidak boleh disahkan menurut undang-undang Malaysia.

Mungkin ada yang berpendapat, tak penting dan tak perlu mengikut prosedur undang-undang Malaysia asalkan menepati tuntutan syarak. Ya! Pendapat tersebut memang tepat. Persoalannya, apakah jaminan perkahwinan yang anda jalani itu mengikut hukum syarak? Sekarang ni, kalau anda kahwin di sempadan Thailand pun, belum tentu perkahwinan anda sah mengikut syarak. Ada kajian yang dilakukan menunjukkan, urusan nikah dah sama seperti menjual simkad, penjual berebut mempromosikan urusan nikah yang baik yang disediakan oleh mereka.

Dah tu, ada pula perkahwinan yang khabarnya dijalankan mengikut hukum syarak ini dan tidak mengikut prosedur undang-undang, tidak mempunyai sebarang dokumen bagi mengesahkan telah wujud pernikahan yang sah antara mereka. Kalau yang ada dokumen menyatakan berlaku perkahwinan pun, masih memberikan masalah, dah tentulah tambah bermasalah jika tiada dokumen. Masa perkahwinan baik, mudah la. Bukan mendoakan tapi ujian adalah lumrah dalam hidup. Bukan sekadar bimbang suami buat hal tetapi sekiranya anda ditangkap atas alasan tinggal bersama, apakah bukti yang ingin anda kemukakan bagi membuktikan bahawa anda dan pasangan anda adalah suami isteri?

Boleh dikatakan dalam semua kes perkahwinan sempadan atau sindiket ini, berpunca daripada hubungan terlarang. Sebagai jalan penyelesaian, pasangan terdesak ini memilih untuk nikah jauh daripada pengetahuan mereka yang melarang dan tanpa mengikut peruntukan undang-undang. Kebanyakan kes juga, perkahwinan tersebut tidak disahkan dan didaftarkan di Malaysia. Ada kes yang pernah saya kendalikan, perkahwinan bahagia hanya seminggu, kemudian terus porak peranda dan mengalami pelbagai masalah. Bila nak cari jalan keluar, sukar nak putuskan di Mahkamah Syariah Malaysia sebab perkahwinan tidak disahkan dan didaftarkan.

Paling penting dan perlu diingat, perkahwinan sempadan atau sindiket ini paling memberikan kesan kepada kaum wanita. Dek kerana percayakan kejujuran dan ketulusan kasih bakal suami, si gadis atau wanita tadi mengikut. Natijahnya, bila timbul masalah, si isteri yang cedera parah. Ada suami yang asyik memberikan alasan untuk mendaftarkan perkahwinan. Hari demi hari hinggalah akhir si ditinggalkan begitu sahaja setelah isteri berbadan dua. Nak kemukakan kes dah payah. Nak daftarkan sendiri perkahwinan pun boleh jadi susah kalau suami dah tak nak bagi kerjasama.

Ingat ya… bagi wanita yang berkahwin tanpa menepati prosedur yang undang-undang Malaysia tetapkan, anda tidak direkodkan sebagai telah berkahwin. Jika anda hamil kemudian melahirkan, anak anda tak boleh didaftarkan menggunakan dokumen pengesahan nikah selain yang dikeluarkan mengikut undang-undang Malaysia. Kalau tak ada dokumen, lagi lah bermasalah. Bukan sahaja hal anak, hal-hal lain seperti tuntutan nafkah hatta jika suami anda meninggal, anda sukar untuk menuntut pusaka.

Saya bincangkan persoalan ini bukan untuk mengajar anda menjadi materialistik. Yang paling penting ialah hak anda terjamin. Saya faham, anda memilih untuk jalan mudah ini bagi mengatasi masalah hubungan terlarang. Percayalah, penyelesaian mudah yang anda harapkan tersebut boleh memberikan masalah yang lebih besar kepada anda di belakang hari. Seperti kata orang, bukan susah nak susah dan bukan senang nak senang. Lantas, biarlah susah dahulu asalkan senang kemudian hari…

****Siaran Julai 2009

***Mulai September 2011: Temujanji bersemuka diadakan di Pejabat Perundingan Keluarga & Guaman Syarie beralamat di C205 Paras 2 Blok C, Kompleks Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Bagi mereka yang tidak dapat bersemuka, boleh gunakan temujanji melalui telefon atau chat YM. Hubungi 013-2545965 untuk tetapkan temujanji terlebih dahulu atau layari http://bersamasuzana.blogspot.com untuk maklumat lanjut.

2 ulasan:

Unknown berkata...

setuju betol dgn tajuk tu.. tapi kebanyakkan kite.. selesa dgn kehidupan skang dan tak nak usaha lebih utk majukan diri.

Unknown berkata...

assalamualaikum,, mba numpang copas, ya, renungannya...