03 Mac 2012

Kahwin bukan seks semata-mata

Hari terakhir Syaaban adalah hari umat Islam bersedia untuk menyambut kedatangan Ramadan al-Mubarak, bulan diwajibkan semua umat Islam berpuasa. Sewajarnya juga hari terakhir Syaaban tersebut tidak ada lagi kaum wanita yang terpaksa bercuti puasa ataupun lelaki yang mengambil cuti puasa tahun lepas, sibuk menggantikan puasa. Seharusnya hari tersebut adalah hari yang ditunggu-tunggu sebab pada malamnya, semua umat Islam dijanjikan dengan keampunan segala dosa sekiranya mengerjakan solat terawih. Namun, bagi pembantu saya, hari terakhir Syaaban baru-baru ini adalah hari yang merisaukannya apabila menerima satu mesej pesanan ringkas: Kak Suzana, saya baru ja berkahwin. Saya nak tau camana cara untuk mandi junub? Adakah suami juga perlu mandi atau saya sahaja? Tolong saya sebab esok dah nak puasa.

Saya yakin, ada pelbagai reaksi dari para pembaca semua berkenaan mesej pesanan ringkas tersebut. Reaksi saya? Saya hanya mampu menggeleng kepala dan beristighfar. Dalam masa yang sama, pelbagai perasaan menerjah emosi manusia saya: sedih, geram malah marah juga. Ikutkan emosi marah, memang saya tak nak layan mesej tersebut. Namun sebagai insan yang dipertanggungjawabkan untuk memberikan khidmat yang sesuai dengan ilmu yang dimiliki, saya khabarkan jawapan yang perlu kepada pembantu saya termasuk satu persoalan kepada si penyoal: kalau tak pernah mandi junub, camana dengan solat?

Demi Allah, saya bukan berniat untuk menyindir apatah lagi untuk mengeji atau memperlekehkan wanita yang bertanya atau mungkin anda juga yang berada dalam situasi serupa. Cuma saya sedih dan juga geram, kenapalah perkara yang paling penting iaitu mandi junub, tidak diketahui atau dipelajari lebih dulu sebelum melakukan perbuatan junub tersebut? Junub atau seks dalam perkahwinan bukannya macam merasa sesuatu hidangan. Rasa sikit kemudian makan sampai kenyang, baru teringat nak tau nama hidangan ataupun resipi menyediakan hidangan tersebut.

Terus terang saya katakan, sejak kebelakangan ini terlalu banyak persoalan yang dikemukakan kepada saya adalah persoalan-persoalan asas dalam perkahwinan yang sewajarnya dan sepatutnya diketahui dan dimaklumi oleh semua orang. Tapi, persoalan tersebut tetap disoal untuk mendapatkan jawapan sedangkan hakikatnya, segala ilmu berkaitan segala persoalan tersebut telah diluahkan sebelum ini. Kenapa? Sebab kebanyakan masyarakat hari ini salah menilai erti perkahwinan. Perkahwinan bagi kebanyakan ahli masyarakat kini adalah untuk memenuhi keperluan seks semata-mata. Ada yang tidak layak berkahwin antaranya sebab tidak mempunyai pendapatan untuk menyara isteri malah bakal isteri tahu tentang kedudukan kewangan bakal suami namun dek kerana tuntutan nafsu seks, mereka menjadikan alasan untuk mengelakkan diri daripada melakukan zina (walaupun ada kebanyakan pasangan dah pun berzina) maka mereka perlu segera berkahwin.

Apabila matlamat perkahwinan adalah untuk memenuhi kehendak seks semata-mata, timbullan soalan-soalan membodohkan diri sendiri seperti soalan menerusi sistem pesanan ringkas tadi. Bukan itu saja, timbul juga masalah kegagalan pihak-pihak di dalam menjalankan tanggungjawab yang patut dan perlu sebagai suami isteri dan klimaksnya, seperti hasil kajian yang pernah dijalankan dan dihebahkan kepada umum awal April dulu, kadar perceraian meningkat tahun demi tahun dan umur pasangan bercerai yang paling tinggi ialah pasangan berusia antara 30-an hingga 40-an. Apabila seks yang menjadi keutamaan tika pra perkahwinan dan di awal perkahwinan tidak lagi menjadi nikmat disebabkan kegagalan pelaksaaan peranan dan tanggungjawab yang lain seperti keperluan nafkah dan komunikasi maka jalan dipilih ialah keluar daripada perkahwinan.

Saya akui, antara hikmah perkahwinan ialah untuk menghalalkan hubungan yang terlarang. Tapi itu bukan hikmah yang utama. Malah alasan perlu juga berkahwin walau jelas di sisi syarak, anda tidak layak berkahwin (rujuk perbincangan saya edisi keluaran 5hb Jun 2009), bagi mengelakkan anda terlibat dengan zina, bukanlah satu alas an yang wajar dan bijak. Anda tak mungkin terlibat dengan zina jika anda tidak mendekati setiap perkara dan perlakuan yang boleh menyebabkan berlakunya zina. Malah agama Islam menyarankan umatnya yang tidak layak berkahwin tetapi mempunyai keinginan untuk melakukan seks supaya berpuasa yang sebenar-benar puasa, bukan sekadar tak makan dan tak minum sahaja bagi membantu menahan diri daripada tunduk kepada kehendak nafsu.

Kepada bakal pengantin, pengantin baru malah pengantin lama juga, baca-bacalah buku-buku ilmu yang berkaitan, bukan sekadar baca tentang cara nak lakukan hubungan intim yang menarik sahaja. Kepada penceramah kursus perkahwinan dan penganjur, pastikan peserta anda balik sarat dengan ilmu untuk memasuki gerbang perkahwinan dan bukan hanya balik membawa sehelai sijil buta demi kemaslahatan generasi pewaris kita…

****Siaran September 2009

2 ulasan:

Atta Rehman berkata...

Incidentally, I like the way you have structured your site, it is super and very easy to follow. I have bookmarked you and will be back regularly. Thank you
diabetic rice

Unknown berkata...

Excellence entry. After all, Life is not for ' sex' only and sex is not a purpose of living. Thre are more into it.
Visit : jomwalkabout.blogspot.com.