Tika masih sibuk mengemas rumah minggu lepas, saya
menerima satu mesej pesanan ringkas, mesej daripada seorang klien lelaki yang
ditujukan kepada isterinya yang juga klien saya (mereka telah beberapa kali
mendapatkan khidmat rundingcara dengan saya dan satu kata putus telah dibuat
lebih kurang tiga bulan lalu). Usai membaca mesej tersebut, saya simpan semula
telefon bimbit saya, belum ada ‘kudrat’ untuk memberikan maklumbalas. Pagi
berikutnya, ketika menunggu waktu subuh, saya balas mesej tersebut. Agak
panjang tetapi satu perkara yang ingin saya kongsikan dengan pembaca kali ini ialah
terma yang sama dengan tajuk perbincangan saya kali ini iaitu: perlu selarikan
kata-kata sayang dengan tindakan.
Saya tak nak ulas panjang kes suami isteri yang menjadi
klien saya tadi. Fokus dan sasaran saya untuk perbincangan kali ini ialah semua
pembaca tak kira suami atau isteri malah termasuk juga setiap ibu bapa dan
anak-anak. Saya yakin, setiap ahli masyarakat pernah mengucapkan sayang malah
mengerti dan memahami erti sayang. Ibu bapa sayangkan anak dan sebaliknya,
suami sayangkan isteri dan sebaliknya dan jika dalam konteks global, sayang
sesama saudara dan rakan taulan juga. Saya masih ingat lagi, satu ayat
‘berhantu’ ketika saya di MPPUM dulu: Tiada yang lebih indah di dalam hidup ini
selain melihat kebahagiaan insan yang kita sayangi.
Saya yakin ramai yang memahami makna tersirat di sebalik
ayat tersebut. Ya!! Pengorbanan demi insan yang disayangi. Sanggup melakukan
apa saja asalkan orang yang disayangi rasa gembira dan bahagia. Jangan salah
faham, saya tak suruh anda berkorban hingga ke tahap melampau seperti lirik
lagu P.Ramlee di dalam filem Hang Tuah: Berkorban apa saja, harta ataupun
nyawa, itulah kasih mesra, sehati dan sejiwa…
Satu perkara yang pasti, jika anda benar-benar sayangkan
seseorang dan tumpuan saya dalam perbincangan kali ini adalah kasih sayang
suami isteri, anda perlu selarikan kata-kata sayang tersebut dengan tindakan
anda. Maksudnya? Seorang suami yang meluahkan sayang kepada isteri perlulah
bertindak merealisasikan maksud kasih sayang tersebut dalam bentuk
tanggungjawab yang perlu dan wajar sebagai seorang suami. Sama juga, seorang isteri yang
meluahkan sayang kepada suami perlulah bertindak merealisasikan maksud kasih
sayang tersebut dalam bentuk tanggungjawab yang perlu dan wajar sebagai seorang
isteri.
Jika benar sayang, takkan ada suami yang lalai, abai atau
enggan tunaikan tanggungjawab memberikan nafkah yang patut untuk keperluan
isteri dan anak-anak. Jika benar sayang, takkan ada suami yang sesuka hati
membelasah isteri hingga lebam-lebam dan bengkak-bengkak. Jika benar sayang,
takkan ada suami yang menempik, mencaci maki atau menyakitkan emosi isteri. Sama
juga, jika benar sayang, takkan ada isteri yang memperbodohkan suami dengan
ilmu guna-guna. Jika benar sayang, takkan ada isteri menyalahgunakan keizinan
yang diberikan oleh suami untuk bekerja dengan keluar mencari cinta lama waktu
remaja.
Untuk para isteri, satu pesanan saya, jangan salah faham
luahan kasih sayang suami kepada anda dan juga luahan kasih sayang anda kepada
suami. Pengalaman saya lebih 11 tahun dalam bidang psikologi keluarga dan
guaman syarie, terlalu ramai isteri yang sanggup pejam mata bila suami enggan membiayai
keperluan rumahtangga atau bersikap baran dan garang hingga naik tangan,
disebabkan yakin dengan luahan sayang si suami. Tapi bila saja dapat tahu si
suami ada teman wanita atau isteri lain, barulah biji mata terbeliak bagai nak
terjojol lagaknya. Masa ni, barulah nak ungkit itu ini, nak marah itu ini dan
macam-macam lagi.
Seperti yang saya tegaskan di awal tadi, seorang suami
yang benar-benar sayangkan isterinya, akan berusaha untuk menjalankan segala
tanggungjawab yang patut dan wajar termasuklah membiayai keperluan rumahtangga
dan melayani si isteri dengan baik. Seorang suami yang benar-benar sayangkan
isterinya juga takkan biarkan isterinya berhempas pulas berusaha dan bekerja
bagi menggantikan peranannya dalam menampung keperluan rumahtangga.
Ya!! Rumahtangga adalah perkongsian namun lelaki tetap
yang utama, suami tetap di takhta pertama, pemula segala perkara, penyelesai
segala masalah yang tiba. Bukannya diam berteleku di belakang isteri atau
menyerahkan segalanya untuk ditangani oleh isteri. Kalau makan pakai isteri
dicari sendiri oleh isteri, makan pakai anak-anak pun tanggungjawab isteri
hatta makan pakai suami pun dibiayai isteri, apa lagi bukti kasih sayang suami?
Sekadar sebagai teman tidur isteri kala malam hari? Bila isteri penat nak
layan, sesenang hati pula membelasah isteri? Itu namanya sayang? Itu buktinya
sayang? Sayang apa kalau taraf isteri lebih hina daripada taraf seorang
pelacur. Ya lah, sekurang-kurangnya pelacur dibayar untuk ditiduri tapi anda
sebagai isteri?? Anda membayar untuk ditiduri? Tunggu perbincangan saya tentang
kehendak batin suami isteri: siapa sebenarnya memberi dan siapa sepatutnya menerima?
****
Seminar Perkasa Wanita pada 30 Jun (RM100 sahaja) dan Bengkel
Pengendalian Kes di Mahkamah Syariah pada 7 Julai (RM150) sahaja. Diskaun
istimewa untuk penyertaan kedua-duanya sekali. Maklumat lanjut hubungi talian 013-2545965
atau layari http://seminarwanitaperkasa.blogspot.com/.
2 ulasan:
"Sayang apa kalau taraf isteri lebih hina daripada taraf seorang pelacur. Ya lah, sekurang-kurangnya pelacur dibayar untuk ditiduri tapi anda sebagai isteri?? Anda membayar untuk ditiduri? " ini yang banyak berlaku dalam kehidupan bersuami isteri,
betul tu.itu la yang saya alami.berhempas pulas mencari rezeki.wujud untuk diambil kesempatn,jadi teman tidur,etc.kata sayang.tapi...tak jalankan tanggungjawab.sedih.sekarang saya dalam proses kaunselling di pejabat agama.
Catat Ulasan