Syawal sudah pun hampir ke penghujungnya. Ramadan juga
sudah ditinggalkan. Alhamdulillah juga, sejak hari pertama puasa, anak-anak
saya kekal bertahan berpuasa penuh setiap hari hinggalah ke hari ini. Syukur
juga, anak-anak saya kekal kuat dan bersemangat setiap minit meniti hari-hari
puasa mereka. Tidur siang? Jangan haraplah, ada sajalah aktiviti yang nak dilakukan
oleh mereka.
Ada rakan-rakan yang terkejut bila dapat tahu mengenai
prestasi anak-anak saya. Ya lah, Ayuni berusia enam tahun dan Suhail pula baru
lima tahun. Saya tak nak ceritakan tentang bagaimana anak-anak saya mampu
bersabar dan bertahan, anda boleh masuk ke blog saya, ada ceritanya di sana.
Kali ini saya nak bincangkan tentang kenapa saya melatih anak-anak saya
berpuasa, bersembahyang, melakukan beberapa kerja rumah yang ringan dan
beberapa rutin hidup yang lain.
Bak kata pepatah yang memang ramai telah maklumi,
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Begitu juga dengan tajuk perbincangan
kali ini, jika kita nakkan hasil yang menarik dan disukai ramai, tugasan
mencanting perlulah dilakukan dengan penuh tekun dan sabar agar nampak cantik.
Setiap ibu dan bapa pastinya mengharapkan agar anak atau anak-anak mereka mampu
menggembirakan hati mereka bila mereka sudah berada di usia emas kelak. Tak
kisahlah siapa anak mereka tika dewasa asalkan anak tersebut mampu
membahagiakan mereka. Kegembiraan dan kebahagiaan paling penting bagi setiap
ibu bapa. Tak guna ada anak atau anak-anak yang berpelajaran tinggi, berpangkat
dan berharta tetapi gagal memberikan kebahagiaan dan kegembiraan kepada ibu
bapa.
Namun, nak jadikan anak atau anak-anak sebagai pemberi
kegembiraan dan kebahagiaan tika usia emas bukanlah kerja mudah. Tugasan
tersebut terletak di bahu ibu dan bapa bermula dari ubun si anak masih lagi
lembut. Tugasan paling penting ialah memberikan didikan agama khususnya didikan
akhlak kepada si anak, insyaAllah anak-anak yang terdidik dengan didikan mulia
ini akan membesar menjadi anak-anak yang mampu memberikan kebahagiaan dan
kegembiraan kepada ibu bapa.
Teringat satu kes yang pernah saya kendalikan, seorang
ayah meluahkan rasa sedih dan kecewa juga kesal dengan sikapnya yang tersilap
di dalam mendidik anak-anak. Pak Cik yang hampir sebaya dengan Bapa saya
bercerita: Dia mempunyai empat orang anak, tiga lelaki dan seorang anak
perempuan. Alhamdulillah, keempat-empat anaknya berjaya di dalam pelajaran masing-masing
hingga mampu menyambung pelajaran ke luar negara dan tiga daripadanya telah
menjawat jawatan tinggi bila kembali ke Malaysia (yang bongsu masih lagi
belajar di luar negara). Sudah pasti ada antara pembaca yang teruja dengan
prestasi anak-anak Pak Cik tersebut, sama seperti saya tika itu.
Namun, apabila tiba-tiba Pak Cik tersebut menangis, buat
saya dan rakan saya terkejut. Bila disoal, Pak Cik menyoal semula: “Camana Pak
Cik nak gembira kalau tiga daripada empat anak Pak Cik tu dah mula panggil Pak
Cik, babi?!” Pak Cik terus menangis, air mata saya mula mengalir deras, sungguh
saya teringatkan Bapa saya tika itu. Tak lama Pak Cik menyambung: “Pak Cik lupa
nak ajar anak-anak Pak Cik ilmu agama, Pak Cik tak ajar tentang akhlak mulia.
Pak Cik hanya tumpukan kepada prestasi akademik, Pak Cik abaikan tanggungjawab
mengajar anak-anak tentang solat, puasa dan macam-macam lagi kewajipan sebagai
seorang Islam….”
Itu kisah lebih 10 tahun lalu, tika baru setahun saya
berada di dunia kerjaya. Saya masih ingat dengan jelas tangisan Pak Cik
tersebut. Jauh di sudut hati, saya tak nak Bapa juga Mak saya menangis
sedemikian. Paling penting juga, saya sendiri tak nak menangis sama seperti Pak
Cik tersebut tika saya sudah berusia sepertinya. Lantaran, bila saya menerima
anugerah dengan darjah kebesaran bernama ‘Ummi’ pada awal tahun 2003, saya
bertekad untuk mendidik dan memberikan yang terbaik kepada Ayuni dan
adik-adiknya selepas itu.
Kepada ibu bapa di luar sana, jangan terus menuding jari
kepada anak-anak yang gagal memberikan kegembiraan kepada anda. Tak mustahil,
kegembiraan tersebut tidak berjaya anda perolehi kini disebabkan sikap anda sebelum
ini. Walaupun begitu, bukan bererti anda perlu terima saja natijah kesilapan
lalu. Buktikan sesalan anda dengan berdoa agar anak-anak anda berubah sikap dan
berubah menjadi anak-anak yang mampu menggembirakan anda. Kepada anak-anak
pula, mungkin ada kesilapan ibu bapa dalam mendidik anda tetapi sebagai seorang
yang berakal dan waras, anda boleh bezakan yang baik dan yang buruk dan satu
perkara yang baik ialah menggembirakan ibu bapa tika hari tua mereka.
Gembirakanlah mereka, insyaAllah anak-anak anda juga akan gembirakan anda bila
anda dah tua kelak…
****Siaran Oktober 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan