Perbincangan Resipi Hidup, 2 Disember 2011:
Jumaat 2hb Disember, bertambah
satu angka lagi pada umur saya yang makin hampir mencapai usia 40-an. Ya Allah!
Alhamdulillah! Syukur kepada-Mu kerana masih memberi peluang untuk hamba-Mu ini
bernafas di atas muka bumi-Mu ini. Sememangnya saya sentiasa mendoakan agar
saya diberikan kesihatan yang baik dan umur yang panjang; bukan hanya kerana
takut mati disebabkan amalan yang masih terlalu sedikit untuk mengadap Ilahi
tetapi kerana saya mengharapkan peluang dan kesempatan agar saya mampu
membesarkan anak-anak saya seterusnya mendidik mereka menjadi anak-anak yang
soleh dan solehah; bermanfaat untuk mereka sendiri, masyarakat dan agama.
Andai ditakdirkan saya tiada lagi
di dunia ini, harapan dan doa saya juga agar anak-anak saya tika itu nanti
telah mempunyai iman, ilmu dan taqwa sebagai bekalan menjadi individu cemerlang
untuk kehidupan mereka di dunia membawa ke akhirat dan saya mampu menikmati
hasil didikan saya itu dengan aman di ‘alam sana’. Maaf andai ada yang kurang
senang dengan pilihan perbincangan kali ini namun mahu atau tidak, suka atau
sebaliknya; anda, saya, kita semua perlu mengakui hakikat bahawa hari demi hari
dan tahun demi tahun, usia kita makin bertambah. Paling penting juga untuk kita
sentiasa ingat dan faham bahawa pertambahan umur ini bukan sekadar bertambah
atau meningkatnya jumlah angka sebaliknya banyak perkara tersirat yang perlu
kita suratkan di sebalik ucapan selamat menyambut ulangtahun kelahiran atau
happy birthday atau apa saja ucapan selamat yang disampaikan oleh orang lain
kepada kita.
Perkara paling utama ialah PERLU
SEDAR DIRI bahawa umur kita telah meningkat. Mungkin ada yang beranggapan,
biarlah usia bertambah tapi hati tetap muda! Saya 100% bersetuju Cuma
pengaplikasian hati muda tersebut yang perlu diperjelaskan dan diperbetulkan.
Tak salah untuk tetap berasa muda, memiliki jiwa yang muda tetapi jangan sampai
lupa diri! Lupa bahawa hidup ini lawannya mati. Lupa dengan adab dan tatasusila
masyarakat yang menekankan kesantunan dan budi pekerti. Lebih menyedihkan lagi
bila sengaja lupa identiti diri sebagai Muslim/Muslimah yang mempunyai satu
tanggungjawab utama: melaksanakan segala suruhan Allah SWT dan meninggalkan
segala larangan-Nya. Maaf kerana saya perlu katakan; ramai orang Melayu kita
hari ini yang rata-ratanya dimaklumi beragama Islam semakin lupa mengenai
tanggungjawab utama ini.
Dalam satu kes yang saya
kendalikan; sepasang suami isteri berusia awal 40-an telah biasa melakukan
aktiviti seksual secara tukar suka sama suka dengan pasangan rakan
masing-masing. Kes diadukan kepada saya apabila si isteri mula meminggirkan
suami dengan melakukan seks bebas tanpa pengetahuan suaminya. Mungkin jika si
isteri masih setia bersama suami meneruskan hobi dan tabiat buruk masing-masing
masih dengan acuan yakni dalam pengetahuan pasangan sendiri; saya tak
berpeluang berkongsi kisah ini dengan anda. Seolah-olah hubungan seks bebas
tersebut ‘halal’ kerana dipersetujui bersama oleh si suami dan si isteri
sedangkan kedua-duanya adalah orang Melayu yang beragama Islam. Dalam satu kes
yang lain; saya menerima kejutan besar bila seorang isteri mengaku melanggan
pelacur untuk si suami sebagai hadiah hari jadi untuk menguji tahap
‘kejantanan’ si suami yang sudah semakin layu tika bersamanya.
Saya yakin, ramai pembaca yang
memikirkan betapa sakitnya sebahagian masyarakat hari ini. Kenapa? Kenapa lupa
diri dengan penambahan usia yang diberikan oleh Ilahi. Di samping perlu sedar
diri; kita juga perlu BERSIKAP SELAYAKNYA DENGAN USIA. Jangan pula dek kerana
hati muda, sengaja lupa umur dah cecah 50 tapi sikap macam anak remaja. Dalam
satu kes; seorang anak risau dengan sikap ibunya yang berusia 48 tahun tetapi
masih bergetah yang selalu berkunjung ke kelab malam dan bertukar-tukar
pasangan hampir setiap malam tika dihantar pulang pada jam dua atau tiga pagi. Mungkin
sebab tinggal di bandar, tiada yang peduli tetapi jika anda sedar diri, tabiat
buruk ini pasti anda jauhi.
Pamerkanlah ciri-ciri kematangan
anda sesuai dengan usia. Kalau umur 30-an atau 40-an, bersikaplah bagai orang
dewasa. Kalau usia dah 50-an ke atas tu, sedarlah diri bahawa anda kini
tergolong dalam usia tua. Warga emas yang diberikan kepada anda bukan untuk
anda berbangga tetapi sebagai satu cara untuk anda sedar diri bahawa rumah
bukan sudah kata ‘pergi’ dan kubur pula dah panggil ‘mari’! Saya bukan nak
takut-takutkan pembaca semua cuma bertindaklah atas dasar kematangan usia dan
kematangan minda. Bergembiralah! Berusahalah seolah-olah kita akan kekal hidup
di dunia ini tetapi dalam masa yang sama, pertingkatkan amal ibadat kita
kepada-Nya seolah-olah esok adalah hari terakhir kita. Bukan kata saya tetapi
pesanan penuh hikmah dan rahsia besar daripada sahabat junjungan besar Nabi
Muhammad SAW bernama Sayyidina Umar al-Khattab.
Khusus buat Mak saya; Hajjah Che
Su Md Isa dan Bapa saya; Haji Ghazali bin Ebramsa, ribuan terima kasih atas
segala jasa dan pengorbanan kalian berdua membesarkan dan mendidik anakmu ini
serta sentiasa menyokong setiap usaha yang saya lakukan. Ya Allah! Aku
mengharapkan agar Kau panjangkan usia Mak dan Bapa, berikan mereka kesihatan
yang baik kerana aku masih memerlukan mereka dalam hidupku ini. Panjangkan juga
usiaku dalam iman dan taqwa kepada-Mu sebagai peluang untuk aku membesarkan dan
mendidik anak-anakku sekurang-kurangnya hingga mereka mampu berdikari dan
menjaga diri sebagai hamba-Mu yang soleh dan solehah, amiiiiinn!!
1 ulasan:
Great sharing =)
Catat Ulasan