Tahun baru datang lagi. Terasa macam baru sangat saja
menyambut tahun baru kan! Apa nak dikatakan, masa beredar tanpa menunggu kita.
Biarlah masa berlalu sebab setiap detik itu mempunyai ertinya juga untuk kita,
tak gitu? Bila tahun baru, dua perkara yang tak boleh dipinggirkan iaitu azam
dan diari. Bercakap tentang azam, saya tak nak bincang tentang azam baru
sempena tahun baru, sebaliknya saya lebih berminat untuk memperkatakan tentang
azam tahun lalu. Dah tercapai? Saya pernah wujudkan perbincangan mengenai pencapaian
azam 2009 ini melalui Facebook saya dan beberapa komen yang diterima,
kebanyakannya meluahkan masih belum dicapai sepenuhnya.
Saya sendiri, tika perbincangan ini disediakan, masih ada
sebulan saja lagi untuk tibanya tahun baru. Alhamdulillah, beberapa hasrat saya
untuk tahun 2009 telah pun terlaksana dan saya akui, masih ada lagi yang belum
mampu saya capai. Antaranya, untuk mempunyai lesen kereta, ibu saya memarahi
kerana sudah banyak kali bercadang untuk mengambilnya tapi masih juga belum
melakukannya. InsyaAllah, janji saya kepada diri sendiri, saya akan
cuba usahakan jugak hasrat tersebut berjaya saya capai sebelum tibanya 2010. Doa
saya, Allah SWT memudahkan segala urusan untuk saya memenuhi azam dan tekad
awal tahun ini.
Saya masih ingat lagi, pada keluaran pertama tahun lalu, melalui
majalah kesayangan ramai ini, dibincangkan tentang azam; ada yang mencadangkan
azam perlu setiap hari. Saya setuju sebab sebagai seorang yang ingin berjaya,
kita perlu lebih baik daripada hari sebelumnya. Bermaksud, kita perlu sentiasa
‘up grade’ diri sendiri. Persoalannya, apakah itu yang dilakukan oleh
kebanyakan daripada kita? Paling penting juga, berapa ramai antara kita yang
menanam azam untuk menjadi seorang yang lebih baik kepada orang lain? Maksud
saya; menjadi seorang isteri atau suami yang lebih bertanggungjawab, menjadi
seorang ibu atau ayah yang lebih prihatin dan penyayang, menjadi seorang anak
yang lebih bertimbangrasa, menjadi seorang pekerja yang lebih produktif,
menjadi majikan yang lebih bekerjasama malah macam-macam lagi.
Kita perlu ingat, kita hidup bukan hanya untuk diri
sendiri tetapi juga untuk orang lain. Dalam rumahtangga, kita mempunyai
tanggungjawab dan peranan yang tersendiri kepada insan di sekeliling kita:
pasangan, anak-anak, ibu bapa dan saudara mara. Bukan hanya hak yang perlu kita
tuntut daripada mereka. Ada tikanya kita terlupa malah sengaja buat-buat lupa
tentang tanggungjawab tersebut semata-mata kerana azam yang kita tanam, untuk
dicapai bagi kepentingan diri sendiri. Ya!! Saya pernah sarankan, sayangilah
diri sendiri lebih daripada sayangkan orang lain tapi bukan bermaksud, anda
perlu menafikan terus hak orang lain yang sewajarnya anda sayangi dan penuhi
haknya.
Satu contoh mudah; saya kongsi kisah saya sendiri. Jika
anda melayari weblog saya, anda pasti dah ketahui satu rahsia besar mengenai
diri saya yang saya kongsikan bersama pelayar setia tika ulangtahun kelahiran
saya awal Disember baru ni. Saya tak nak ulangi cerita tersebut. Yang saya nak
kongsikan ialah keputusan saya untuk menarik diri daripada menjadi panel di
slot Awani Pagi, Astro Awani yang sebelum ini disiarkan pada setiap Jumaat
bermula April lalu. Bermula minggu saya menyediakan perbincangan ini, saya
tidak lagi bersama Awani Pagi semata-mata saya mempunyai masalah mendapatkan
penjaga anak-anak saya tika saya perlu meninggalkan mereka untuk ke Kuala
Lumpur pada hujung minggu. (Kepada yang belum tahu, saya dah pun berpindah ke
Sungai Petani, Kedah).
Saya ada tekad dan azam untuk berjaya dalam kerjaya
tetapi bukan sampai mengenepikan keluarga. InsyaAllah, pengorbanan tersebut
berbaloi! Malah, ada para isteri yang mengadu kepada saya, sukar nak beribadah
sepenuhnya kepada Allah, berwirid panjang, bersolat jemaah dan macam-macam lagi
disebabkan kekangan masa kerana perlu tumpukan kepada kebajikan suami dan
anak-anak. Jangan bimbang sebaliknya bersyukurlah kerana pahala yang anda
perolehi ketika sibuk menyediakan sarapan pagi untuk suami dan anak-anak hingga
perlu memendekkan wirid subuh anda, adalah lebih besar berbanding anda berwirid
panjang di tikar sembahyang dan mengabaikan kebajikan suami dan anak-anak. Itu
baru sikit...
Saya tahu, ramai wanita khususnya para isteri yang
mempunyai azam tertentu untuk dicapai. Ada yang nak teruskan pelajaran. Ada
yang nak jadi usahawati berjaya. Ada yang nak pegang pangkat tertinggi.
Teruskan! Berazamlah dan usahakanlah agar azam tersebut berjaya diperolehi.
Namun, satu pesanan saya, jangan sesekali lupakan insan sekeliling. Jika belum
berkahwin, anda punya ibu bapa untuk dikongsi segalanya. Bila telah berkahwin,
tanggungjawab anda bertambah-tambah lagi. Paling penting, dapatkan sokongan
daripada insan tersayang, insyaAllah, bila anda direstui, segala azam, hasrat,
impian dan cita-cita anda akan mudah diperoleh, insyaAllah!!
Kepada insan tersayang; ibu bapa, pasangan (suami atau
isteri) malah anak-anak juga, bantulah insan tersayang anda merealisasikan azam
dan cita-citanya kerana bantuan dan sokongan anda amat diperlukan. Saling bekerjasama,
azam dapat dilaksana, hidup kan lebih bahagia dan ceria.
Bagaimana dengan diari baru? Apa kaitannya dengan
perjalanan hidup? InsyaAllah, saya akan bincangkan minggu depan!!
****Siaran Januari 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan