Masih ingat lagi janji saya untuk
bincangkan tentang keganasan emosi dan psikologi beberapa minggu yang lalu? Kepada
yang terlepas isu berkaitan, saya ulang sedikit tentang maksud keganasan emosi
dan psikologi. Keganasan psikologi dan emosi meliputi perbuatan seperti
ugutan, penghinaan termasuk juga caci maki dan kata-kata sindiran serta sinis.
Walaupun mangsa tidak mengalami sebarang bentuk kesan luka yang boleh dilihat
namun mangsa boleh mengalami tekanan perasaan yang amat teruk. Mangsa juga boleh
hilang upaya untuk mengawal emosi secara normal yang kesan jangka pendek atau
jangka panjang boleh menyebabkan kemungkinan mangsa melakukan sesuatu yang di
luar kawalan.
Teringat satu kes yang pernah sampai ke pengaduan saya.
Seorang adik meminta tolong agar saya membantu kakaknya. Kakaknya seorang suri
rumah sepenuh masa, bersuamikan seorang pemandu lori dan mempunyai empat
cahayamata. Perkahwinan mereka berusia hampir 10 tahun. Malangnya hampir 10
tahun itulah juga, saban hari si kakak dihujani dengan kata-kata nista, caci
maki malah dipanggil babi oleh suaminya walaupun hanya disebabkan kesilapan
kecil yang tidak disengajakan. Si adik mengambil keputusan untuk bertemu dengan
saya setelah satu hari, dia perasan kakaknya mula berperangai pelik. Si kakak
menunjukkan ke arah anak ketiganya yang mirip rupa suaminya dan melafazkan: Aku
dengar ada suara suruh aku cekik budak ni sampai mati…
Ya!! Ngeri dan menyeramkan tapi itu adalah sebuah kisah
benar yang diadukan kepada saya. Jika anda masih ingat, ada banyak kes
melibatkan ibu membunuh anak sendiri yang berlaku sebelum ini, ada yang
mencekik leher, membelit dengan wayar seterika dan macam-macam lagi. Jika
difikirkan, mana mungkin seorang ibu yang waras sanggup bertindak sedemikian.
Seorang ibu yang waras akan mengorbankan nyawanya sendiri
demi anaknya yang tersayang. Tapi, dalam kes-kes disebutkan tadi, ibu yang
bertindak membunuh anaknya itu sedang berada dalam keadaan emosi tidak
terkawal. Dia gagal untuk mengawal dirinya sendiri menyebabkan dirinya
terpengaruh dengan kata-kata yang kononnya disampaikan kepadanya. Hakikatnya,
kata-kata itu terbit dari dalam dirinya sendiri yang tika itu bukan
membayangkan anaknya sebaliknya seseorang yang terlalu menikam perasaannya dan
kebanyakan kes, suami mereka sendiri.
Kenapa boleh jadi begitu? Kajian membuktikan, mereka yang
terlalu memendam perasaan terutamanya perasaan yang berbaur antara rasa sedih,
terluka dan marah, adalah mereka yang terlalu mudah menjadi mangsa keganasan
emosi. Jalan terbaik ialah luahkan segala kekusutan, tekanan perasaan, resah
gelisah malah rasa marah anda. Jangan pendam atau simpan. Takut? Tak boleh nak
luah sebab suami lebih garang? Anda boleh luahkan kepada teman rapat. Paling
tidak pun, luahkan di dalam diari atau blog. Hamburkan segala kekusutan,
tekanan dan amarah anda. Ada tikanya, anda tak perlukan seseorang untuk
memberikan maklumbalas terhadap luahan anda tetapi dah memadai apabila ada
orang lain yang mendengar luahan hati anda itu.
Jika keadaan semakin rumit dan anda rasa sukar mengawal
diri anda sendiri, cepatlah dapatkan rawatan pakar psikiatri di hospital
berdekatan. Ingat satu perkara: berjumpa pakar psikiatri bukan bererti anda
gila. Sebaliknya anda berusaha untuk kembali menjadi seorang manusia yang
normal dan waras sepenuhnya disebabkan kewarasan anda sebelum ini digugat oleh
ketidaktenangan hati anda menyebabkan anda mengalami kecelaruan emosi. Pakar
akan memberikan anda rawatan dan insyaAllah, anda boleh pulih sepenuhnya jika
anda berkehendakkan sedemikian.
Kepada
mereka yang menjadi mangsa keganasan psikologi dan emosi, sebagai seorang
isteri, anda boleh menggunakan peruntukan fasakh bagi melepaskan diri daripada
derita perkahwinan anda. Sebagai
contoh, seksyen 52, Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah-wilayah
Persekutuan memperuntukkan: seseorang
perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu
perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih
daripada alasan yang berikut, antaranya bahawa suami menganiayainya, iaitu,
antara lain: (i) lazim menyakiti atau
menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya.
Gunakan peruntukan yang ada, sertakan sekali dengan dokumen
pengesahan daripada pakar psikiatri
yang memperakui bahawa anda adalah mangsa keganasan psikologi dan emosi,
sertakan juga saksi-saksi bagi menyokong kes anda. Ingat! Tanpa pengesahan
pakar psikiatri, permohonan anda sukar diterima walau ramai saksi yang
menyokong kes anda. Paling penting dan harus diingat juga, pengesahan pakar
adalah untuk mengesahkan keadaan anda yang hilang kewarasan akal dan emosi
disebabkan perlakuan keganasan suami. Walau perakuan dah ada, anda tetap perlu
bangkit daripada kemelut tersebut, pulihkan diri agar anda tidak perlu bergantung
kepada ubat atau rawatan pakar psikiatri lagi. Anda perlu keluar dari masalah
ketidakwarasan emosi untuk pastikan anda mendapat hak-hak anda yang lain
terutamanya hak jagaan anak!! Tinggalkan kisah semalam, bukalah buku baru dan
terus bergerak ke depan….
**** Siaran November 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan