Masih ingatkah lagi dengan topik perbincangan minggu
lepas, berkaitan kelayakan sebagai penjaga kepada anak-anak selepas berlakunya
perceraian? Persoalan yang sama telah ditanyakan kepada saya dalam siri ceramah
Hidup Bahagia Tanpa Keganasan anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Pahang.
Seorang peserta meluahkan, masih bimbang dengan perbelanjaan anak-anak walaupun
ada peruntukan yang menetapkan ibu tidak bekerja masih layak menerima hak
jagaan dan saran anak dipertanggungjawabkan kepada si bapa. Kebimbangan berlaku
disebabkan terlalu banyak kes yang didengar tentang kegagalan si bapa
melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Jawapan kepada persoalan tersebut, saya kongsikan bersama
pembaca semua di sini. Ya!! Seperti tajuk perbincangan saya kali ini, rezeki,
makan minum, segala peruntukan untuk perbelanjaan kita seharian bukan terletak
di tangan manusia; bukan di tangan suami atau juga di tangan isteri malah bukan
juga di tangan majikan. Setiap pemberian yang kita nikmati setiap saat: udara
untuk bernafas, air untuk diminum, makanan untuk dijamah, pakaian untuk
dipakai, rumah untuk tempat tinggal dan macam-macam lagi, segalanya itu adalah
pemberian dan rezeki yang diberikan oleh Allah SWT. Suami, isteri, majikan atau
siapa pun juga adalah sebagai perantara. Percaya? Kalau percaya, kenapa masih
bimbang?
“Ye lah, bukannya apa… kalau isteri bekerja tu lain la,
ada juga pendapatan tapi bagi isteri yang tak bekerja, takkan nak berserah ja?”
Persoalan yang amat menarik!! Ya lah, takkan nak berserah sahaja. Nak berserah
kepada Allah SWT pun ada syaratnya. Syarat paling utama ialah berusaha,
kemudian berdoa seterusnya barulah berserah atau bertawakkal.
Saya nak kongsi dengan pembaca semua tentang satu kisah
benar. Seorang klien saya yang dulunya tika masih bergelar isteri adalah
seorang suri rumah sepenuh masa, tidak melakukan sebarang bentuk pekerjaan dan
seluruh hidupnya diabdikan untuk suami dan anak-anak. Apa yang diberi suami,
itulah yang diterima. Pernah tak cukup dan terpaksa mengikat perut tapi si
isteri redha, paling penting perut anak-anak diisi. Hinggalah tiba satu hari,
si isteri dapat tau suami telah berkahwin lagi dalam keadaan si isteri dan
anak-anak sedia ada hampir merempat. Bukan sekali tapi dah banyak kali suami bersikap
sedemikian. Kali ini, si isteri dan serik dan tak percaya lagi.
Cuma satu masalahnya, isteri bimbangkan tentang
anak-anaknya nanti. Siapa yang nak suapkan makan? Dalam keadaan masih suami
isteri pun, suami boleh pandang sebelah mata. Si isteri pula tak bekerja. Sama
seperti klien-klien lain, saya mohon si isteri tadi berdoa mohon yang terbaik
untuk dirinya, suami dan anak-anak. Selepas dua minggu, si isteri menghubungi
saya dan memohon agar saya membantu kes tuntutan cerainya. Dalam masa yang
sama, si isteri nekad belajar membuat kuih dan kini, tika artikel ini
disediakan, klien saya tadi dah pun bergelar seorang peniaga, walau
kecil-kecilan tapi telah mampu menampung segala perbelanjaan anak-anak biarpun
telah bergelar ibu tunggal.
Fakta paling penting, rezeki kita semua ditentukan dan
diberikan oleh Allah SWT. Jangan merintih, jangan menangis dan jangan bersedih
bila lelaki yang selama ini diharapkan menjadi penjaga anda dan anak-anak,
enggan menjalankan tanggungjawabnya lagi setelah berlakunya perceraian walaupun
diperintahkan oleh pihak mahkamah. Biarkan perintah mahkamah dilanggar tetapi
anda perlu bertindak. Bukan bertindak membuat bising dan onar mencanangkan
kegagalan bekas suami menjalankan tanggungjawab tetapi bertindak mencari sumber
kewangan.
Banyak kerja yang boleh anda lakukan. Berniaga nasi
lemak, menjahit, menjaga anak orang, membuat kuih untuk jualan dan macam-macam
lagi. Dalam usaha anda, jangan lupakan Dia. Sentiasalah berdoa dan memohon
kepada-Nya agar setiap usaha dan ikhtiar anda membuahkan hasil. Doakan agar
anda mampu membiayai keperluan anda dan anak-anak. Berdoalah sepanjang masa dan
setiap ketika. Tak perlu tunggu waktu solat sahaja, malah anda boleh berdoa
bila-bila masa. InsyaAllah, aka nada jalan untuk anda. Mungkin ambil masa tapi
percayalah, aka nada pertolongan daripada-Nya. Yakinkan itu!!!
Paling penting, carilah pekerjaan atau sumber pendapatan
yang halal. Saya akui, sukar untuk memenuhi setiap keperluan dengan pendapatan
yang sedikit. Seperti kes yang pernah didedahkan di dalam akhbar tika musim
Aidilfitri yang lalu, seorang ibu menjual badan demi membeli baju raya untuk
anak-anak. Kenapa perlu sampai menjahanamkan diri sendiri? Ya!! Anak-anak nak
baju baru tapi percayalah, anak-anak takkan pakai baju baru tersebut jika tahu
dari mana sumbernya. Sama juga dengan keperluan lain. Jangan masukkan makanan
haram ke dalam diri anak-anak. Walaupun yang anda suap ke mulut anak adalah
nasi yang nyata adalah halal tetapi jika wang yang digunakan untuk membeli nasi
adalah wang dari hasil kerja yang haram, samalah dengan anda menyuapkan makanan
haram ke mulut anak anda.
Jangan patah semangat. Terus cekal dan tabah. Jangan
lupakan Dia kerana Dia tak pernah lupakan anda. Mintalah kepada-Nya kerana
Allah dah janji: “Mintalah, sudah pasti Aku akan beri….”
****Siaran November 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan