Hadhinah bermaksud penjaga kepada anak atau anak-anak
iaitu sama ada ibu atau bapa atau orang lain selain ibu dan bapa. Saya
terpanggil untuk membincangkan topik ini setelah seorang kenalan mengirimkan
SMS meminta penjelasan tentang kes adiknya. Hadhanah atau hak jagaan anak pula bermaksud
pemeliharaan anak lelaki atau anak perempuan yang masih kecil dan belum boleh
berdikari, menjaga kepentingan anak, melindunginya dari segala yang
membahayakan dirinya, mendidik rohani dan jasmani serta akalnya supaya si anak
dapat berkembang dan dapat mengatasi persoalan hidup yang akan dihadapinya.
Setelah berlaku perceraian antara ibu bapa, persoalan
yang timbul ialah siapa yang berhak memelihara dan menjaga anak-anak tersebut?
Ramai wanita yang sanggup bertahan hanya kerana bimbang kehilangan anak tambah
bila diugut suami atau kerana wanita itu tidak bekerja.
Hakikatnya, Islam mengutamakan perempuan dalam hal
hadhanah kerana secara asasnya ibu lebih sayang kepada anaknya, lebih tahu
mendidiknya dan lebih sabar mengasuh anaknya daripada si ayah. Menurut satu
riwayat daripada Abdullah bin Umar r.anhu: “Seorang perempuan telah datang
menemui Rasulullah SAW dan bertanya: “Ya Rasulullah, bahawa anakku ini,
perutkulah kandungannya, susukulah minumannya dan ribaanku rumahnya tetapi
bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku”.
Selepas mendengar aduan itu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:,“Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak
itu selagi engkau belum berkahwin lain”. – hadis riwayat Abu Daud.
Menurut Undang-undang Keluarga Islam, sekiranya anak-anak di bawah usia mumaiyiz, mereka
berhak dipelihara oleh ibu mereka bererti hak jagaan diberikan kepada isteri. Berdasarkan maksud seksyen
84(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan: kanak-kanak lelaki
yang belum mumaiyiz ialah dari usia bayi hingga berumur enam tahun.
Kanak-kanak perempuan pula dari usia bayi hingga berumur lapan tahun. Ini
bermakna kanak-kanak lelaki yang telah mencapai umur tujuh tahun dan
kanak-kanak perempuan yang telah mencapai umur sembilan tahun dianggap mumaiyiz.
Mumaiyiz bermaksud berkemampuan untuk
membuat keputusan membezakan antara yang baik dan buruk.
Namun, si ibu
berhak memohon hak lanjutan penjagaan sehingga usia anak mencapai 11 tahun bagi
perempuan dan sembilan tahun bagi lelaki. Selepas usia tersebut, mahkamah akan
memberi pilihan kepada anak-anak untuk memilih sama ada ingin bersama ibu atau
bapa mereka. Namun,
ada masanya keputusan anak tersebut tidak diambil kira. Undang-undang Keluarga
Islam memperuntukkan: keputusan yang dibuat oleh anak tidak mutlak kerana mahkamah
boleh memerintahkan keputusan yang berlawanan dengan pilihan anak. Sebagai
contoh, jika si anak memilih untuk tinggal bersama bapa dengan alasan bapa
selalu bawa membeli belah atau bermain ‘game’ dan enggan tinggal bersama ibu
kerana ibu selalu suruh belajar atau mengaji, maka mahkamah akan menyerahkan
hak jagaan kepada si ibu.
Kelayakan yang perlu bagi seorang
ibu untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap anak-anaknya ialah seorang Islam, sempurna akal, berumur yang
melayakkannya memberikan penjagaan dan kasih sayang yang diperlukan oleh si
anak, berkelakuan baik mengikut akhlak Islamiyah dan tinggal di tempat anak itu
tidak mungkin terdedah kepada apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau
jasmani.
Ramai
isteri yang rasa bimbang dengan hak jagaan kerana mereka tidak bekerja. Jika
dilihat kepada kelayakan yang perlu, tidak mensyaratkan seorang ibu itu bekerja
bagi melayakkannya mendapatkan hak jagaan. Ini adalah kerana anak-anak adalah
di bawah tanggungan bapa sepenuhnya hinggalah anak tersebut mampu berdikari
(bagi lelaki) atau berkahwin (bagi perempuan).
Ada
beberapa sebab yang boleh menyebabkan kelayakan seorang ibu hilang antaranya
jika ibu itu bernikah dengan seorang lelaki yang tidak mempunyai pertalian
dengan anak itu. Namun, ada kes isteri berkahwin lain tetapi masih mendapat
hak menjaga dan memelihara anak-anaknya. Kenapa? Sebenarnya, kehilangan
kelayakan seorang ibu diputuskan oleh mahkamah. Sekiranya seorang bapa dapati
bekas isterinya berkahwin lain, si suami boleh mengemukakan permohonan untuk
melucutkan hak hadhanah yang diperolehi oleh bekas isterinya. Sekiranya
mahkamah dapati, perkahwinan baru bekas isteri tidak mengganggu kebajikan si
anak, hak jagaan akan tetap diberikan kepada si ibu.
Paling penting, dalam
menentukan hak jagaan ini, mahkamah menitikberatkan kebajikan dan kemaslahatan
anak-anak agar anak-anak dapat hidup berlandaskan ajaran Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan