06 Februari 2009

Antara dua darjat

Jangan terkejut dengan tajuk topik kali ini. Saya bukan nak bincangkan tentang cerita hebat lakonan Allahyarham P.Ramlee dan Allahyarhamah Saadiah. Sekadar nak kongsi rasa seorang peminat ruangan ini. Sebentar tadi, sedang asyik meneliti kiriman kad raya, tiba-tiba telefon bimbit saya berbunyi memberi isyarat ada sms masuk. Nombor yang tak dikenali: Maaf jk gggu pn. Sy sdih sbb Ibu xnk trima bf sy. Bf nk dtg rya pun xblh. Ibu xsuka sbb bf sy keja biasa, sy lak bkl graduan. Ibu dh ckp akn buat apa sj utk pisahkn kami. Tlg la sy. Sy suka bf sy sbb dia baik sgt2. Sbb dia la sy knal solat & agama. Tlg la sy pn. (Maaf jika ganggu puan. Saya sedih sebab Ibu tak nak terima boy friend saya. Boy friend saya nak datang raya pun tak boleh. Ibu tak suka sebab boy friend saya kerja biasa, saya pulak bakal graduan. Ibu dah cakap akan buat apa saja untuk pisahkan kami. Tolong la saya. Saya suka boy friend saya sebab dia baik sangat-sangat. Sebab dia la saya kenal solat dan agama. Tolong la saya puan)

Bukan kes biasa kan? Saya pasti, ramai lagi gadis dan pemuda di luar sana yang menghadapi masalah yang sama. Kalau si gadis lebih taraf kedudukan atau pangkat daripada si lelaki, rata-rata inilah yang terjadi: mendapat halangan daripada keluarga si gadis. Ada juga kes si lelaki lebih taraf, pangkat dan kedudukan daripada si gadis, mendapat halangan daripada keluarga si lelaki pula. Memanglah ini ujian dan dugaan berkasih sayang. Yang peliknya, kenapa perlu ada halangan kerana perbezaan taraf? Apakah sama taraf, kedudukan, pangkat dan darjat itu satu jaminan terciptanya bahagia di dalam sesebuah perhubungan? Hina sangatkah mereka yang berpangkat rendah, tiada kedudukan dan pangkat hingga tidak layak mempunyai hubungan dengan anda yang berpangkat dan berkedudukan? Apa lebihnya anda kerana berkedudukan? Apa mulianya anda kerana berpangkat?

Hakikatnya kita manusia yang diberikan kesempatan menikmati hidup di atas muka bumi ini adalah sama. Darah kita semuanya merah walau daripada jenis yang berbeza. Walau berbeza pada nama, darah jenis A ada pada golongan yang berpangkat dan golongan biasa. Lantas, apa yang membezakan hingga perlu ada halangan kepada satu hubungan atas nama kasih dan sayang? Sebagai orang Islam pula, tiada yang membezakan kita kecuali tahap ketaqwaan seseorang individu itu kepada Allah. Ketaqwaan bukan diukur dengan latar belakang anda sebagai ustaz atau ustazah, berpendidikan syariah atau usuluddin. Ada tikanya orang asli yang baru memeluk Islam lebih tinggi taqwanya kepada Allah… sungguh, hanya Dia yang mengetahui. Jika kaum India tidak lagi mengambil berat mengenai perbezaan kasta, kenapa kaum Melayu yang majoritinya Islam masih keras membezakan antara individu? Pipit pun dah mula terbang bersama enggang, kenapa kita manusia masih nak membeza-bezakan?

Saya faham, setiap ibu bapa inginkan kebahagiaan anak-anak. Persoalannya, apakah sama pangkat dan sama kedudukan itu jaminan bahagia? Tak bolehkah kesenangan sebelah pihak dikongsi dengan sebelah pihak yang lain? Jika perkongsian ini dibenarkan dan hubungan antara pasangan yang tak sama pangkat dan kedudukan ini direstui, saya pasti hasrat pihak kerajaan untuk mengurangkan kadar rakyat miskin akan berjaya dicapai. Tak lah yang kaya bertambah kaya, yang miskin semakin melarat hidupnya. Laratkah semuanya nak dibantu melalui rancangan Bersamamu TV3? Apalah salahnya jika pendirian dan prinsip anda diubah, menerima mereka yang lebih rendah pangkat dan kedudukannya ke dalam keluarga anda. Bukan saja kadar kemiskinan dapat dikurangkan, kasih sayang akan lebih tinggi dan mendalam.

Teringat saya sebuah drama tayangan istimewa sempena Ramadhan, Qanaah. Seorang gadis menolak kehendak ibunya kerana ingin mengahwini pilihan hati biarpun dihalang keras oleh si ibu kerana tidak sama taraf dan kedudukan. Bukan sekadar dihalang, si gadis dan suaminya diherdik, diperli dan dicaci kerana hidup tidak semewah si ibu dan si adik yang mengahwini seorang lelaki kaya. Atas nama kasih sayang yang luhur dan ikhlas, pasangan suami isteri ini berdikit-dikit hingga akhirnya berjaya mencapai tahap kedudukan yang setaraf dengan si ibu.

Mungkin ada yang anggap, hidup takkan bahagia jika tidak mendapat restu ibu. Ya, restu Ilahi hanya ada setelah adanya restu ibu tetapi jangan lupa, Allah lebih tahu segala yang benar dan yang terbaik untuk kita. Yang penting, berdoa dan mohonlah kepada-Nya, pasti Dia akan mendengar suara hati anda. Jangan salah sangka, saya tidak menyarankan anda mengengkari atau melawan kata-kata ibu atau bapa anda. Cuma, pertimbangkan dengan akal yang waras dan jangan lupa, ibu dan bapa juga adalah manusia biasa yang tidak sempurna. Ingatlah juga, jika wujud kasih sayang di dalam diri, pasti akan ada sikap sanggup berusaha dan berkorban demi insan yang tersayang. Bila ada sikap mulia ini insyaAllah, perkara yang susah akan jadi senang, yang payah pula akan jadi mudah. Sebaliknya jika tiada kasih sayang, biarpun harta melimpah, walau sama pangkat dan kedudukan, belum tentu akan ada senyuman apatah lagi sebuah kebahagiaan.

Dan… apa yang dapat saya lakukan selepas membaca sms tersebut ialah pilih reply dan taip: Berdoalah moga hati Ibu adik akan lembut menerima pilihan adik. Walau bukan raya kali ni, insyaAllah akan tiba masanya nanti. Bersabar dan jgn lupa berdoa. Allah lebih mengetahui yg terbaik utk adik. Moga jawapan saya mampu mengurangkan kesedihan dan kecelaruan si gadis…aminnn!

****Siaran Nov 2006

Tiada ulasan: