13 Februari 2009

Kahwin: Bukan keseronokan semata

Musim cuti perayaan dan musim cuti sekolah amat sinonim dengan berlangsungnya majlis kenduri kawin. Cuti sekolah baru ni pun, pening mengatur jadual untuk menghadiri majlis perkahwinan. Sekali fikir, tak dapat jemputan pun tak per… lebih lega daripada dapat jemputan tetapi tak boleh nak pergi, kesian kat kawan-kawan yang berharap. Namun, bukan isu menghadiri majlis perkahwinan yang nak saya bincangkan kali ini. Apa yang ingin saya sentuh kali ini ialah mengenai kata-kata seorang rakan sekerja ketika mengusik seorang rakan lain yang bakal mendirikan rumah tangga: Seronok ooo kawin, memang hari-hari mau laaa…Kata-kata itu disambut dengan deraian ketawa. Saya sempat menyampuk: Kalau hari-hari mau pun, tak elok untuk kesihatan tau…

Sampuk seorang yang lain: Haa… kalau Kak Su dah bersuara, baik kita diam jerr.. dan saya tergelak. Memang cam tuh, kalau saya mula bersuara, memang masing-masing cuba lari dari topik asal, bimbang penat telinga mendengar celoteh saya agaknya.

Saya nak sentuh tentang kata-kata kawin tu seronok. Memang la… tanyalah siapa pun, awal perkahwinan memang selalunya yang indah-indah dan membahagiakan sahaja. Bila dah lama, mula la terasa ‘panas’ dan ‘berangin’. Sebabnya matlamat asal perkahwinan dah lari. Kalau semua orang memegang prinsip seperti kata-kata rakan saya tadi yang, jelas sekali matlamat perkahwinan semata-mata kerana ‘keseronokan’ itulah. Hakikatnya, perkahwinan bukan keseronokan semata. Perkahwinan sebenarnya adalah satu tugas, amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dan dilaksanakan segala yang berkaitan dengannya. Bukan satu keseronokan tu jer semata-mata. Namun, inilah masalahnya…masih ramai yang gagal memahami maksud dan kehendak sebenar sebuah perkahwinan.

Ya, saya akui… salah satu tujuan dan hikmah perkahwinan ialah bagi membenarkan satu hubungan yang terlarang. Di dalam Islam, melalui perkahwinan ini, hubungan tersebut bukan saja dibenarkan malah pelakunya akan diberikan pahala sama seperti melakukan ibadat suruhan Ilahi. Namun perlu diingat, bukan itu sahaja tujuan dan hikmah perkahwinan. Malah, kalau dilihat kepada hikmah perkahwinan yang tersenarai, yang telah diajar sejak di bangku sekolah lagi, ‘keseronokan’ itu adalah tujuan terakhir.

Ini petikan daripada silibus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), telitilah sendiri:
Menyenaraikan hikmah perkahwinan:
- untuk melahirkan zuriat yang bersih
- memupuk perasaan kasih sayang antara suami dan isteri
- mengelakkan perbuatan maksiat
- melahirkan perasaan tanggungjawab dalam melaksanakan amanah Allah
- memenuhi tuntutan rohani dan jasmani yang menjadi fitrah manusia melalui jalan yang halal

Malangnya, pelajaran awal ini dengan sendirinya dikesampingkan dan difahami mengikut kehendak sendiri. Rata-rata individu hari ini meletakkan hikmah terakhir sebagai yang pertama. Bukan sahaja pertama tetapi ramai juga yang menjadikan hikmah tersebut sebagai matlamat utama nan satu. Lantas, bila kehendak batin sendiri tidak dipenuhi, berbagai macam kisah yang tidak patut terjadi, berlaku tanpa ada perbincangan dari hati ke hati. Realitinya, perkahwinan juga adalah sebagai jalan untuk memupuk kasih sayang antara suami dan isteri. Sebab itulah ada perkahwinan yang masih kekal utuh bertahan walaupun kehendak batin masing-masing tidak dapat ditunaikan. Kerana pasangan ini mengerti, perkahwinan bukan kerana seks semata-mata. Perkahwinan juga adalah satu bentuk tanggungjawab. Seperti yang telah saya tegaskan di awal tadi, perkahwinan adalah satu amanah. Seorang lelaki yang melafazkan ucapan qabul iaitu menerima seorang wanita menjadi isterinya bererti telah juga menerima satu amanah daripada wali wanita tersebut. Amanah untuk menjaga segala kebajikan wanita itu merangkumi makan minum, pakaian, tempat tinggal, sakit demam malah hal-hal berkaitan ilmu yang bermanfaat.

Berat kan? Sebab itulah pernah saya katakan kepada adik-adik lelaki sekerja, jangan ingat mudah jer mengenai perkahwinan. Kalau seseorang lelaki memahami betul-betul tanggungjawab yang perlu dipikul sebagai seorang suami, bukan sekadar fikir sampai masak malahan kemungkinan besar perlu difikir sampai hampir hangus, bersediakah anda memegang status seorang suami? Tanggungjawab anda bukan sahaja kepada isteri malahan kepada anak-anak bakal zuriat anda nanti. Walau Islam menggalakkan kesederhaan, bukan bererti anda boleh menyara isteri dan anak-anak sekadar cukup makan, memadai dengan pakaian sehelai sepinggang. Bukan begitu. Yang pasti, sebagai seorang suami, anda perlu memberikan sebuah kehidupan yang selesa dan wajar kepada isteri dan anak-anak anda.

Makanan yang berzat, pakaian yang kemas, tempat tinggal yang bersih dan selesa dan paling penting, ilmu untuk bekalan menghadapi kehidupan seharian di dunia dan di akhirat. Ya… jika seorang lelaki menerima seorang isteri yang tidak tau sembahyang, maka tanggungjawab si suami untuk mendidik dan mengajar si isteri. Jika suami juga tidak pandai atau sekadar ‘lepas untuk diri sendiri’ maka suami wajib mencari seorang guru untuk si isteri. Samalah juga jika isteri tidak pandai memasak. Tugas suami adalah untuk memberikan ilmu memasak tersebut kepada isteri, tak kiralah menghantar ke sekolah masakan atau membelikan buku-buku masakan. Bukan hanya pandai bising isteri tak pandai masak atau sering terlebih garam…

Kepada mereka yang bakal mendirikan rumah tangga, nasihat saya… perbetulkanlah niat anda untuk berkahwin. Begitu juga kepada mereka yang telah pun berkahwin, betulkanlah niat anda semula, kenapa anda berkahwin? Ingat ya, apa yang anda hajatkan ketika melakukan sesuatu, itulah yang anda akan dapat. Jika anda inginkan seks semata di dalam perkahwina, maka hanya seks yang anda akan dapat. Sebaliknya jika kebahagiaan berkasih sayang yang ingin diperolehi, walau apa juga ujian dan dugaan mendatang… kebahagiaan tetap milik anda… insyaAllah!!

****Siaran Disember 2006

Tiada ulasan: