04 Februari 2009

Kisah lama bukan sekadar kenangan

Sedang asyik menaip satu kertas kerja, tiba-tiba masuk satu sms. Mmmm… nombor tak dikenali: Assalamualaikum. Kak Chaq ni. Lama dah akak duk cari jalan nak hubungi Hana. Tengok dalam majalah tapi tak dak internet. Sungguh saya terkejut tapi teruja. Kak Chaq ialah sahabat baik saya semasa di sekolah menengah dulu. Kami sentiasa berhubung tetapi selepas telefon bimbit saya dicuri hujung tahun 2002, saya langsung tak dapat nak hubunginya lagi. Kad jemputan kahwin yang dikirimnya ke alamat kampung pun hilang tanpa sempat saya mencatat alamat dan nombor telefonnya. Awal Ramadhan baru ni, saya nekad untuk cuba menghubunginya di alamat kampung. Alamat tu pun saya dah ingat-ingat lupa namun saya berdoa, sampailah hendaknya kad saya tu.

Betulkah ini orangnya yang dah lama saya cari? Tapi dah panggil Hana, (Hana ialah nama panggilan saya semasa sekolah menengah, hanya empat insan yang memanggil saya sedemikian: Kak Chaq, Iza, Shima dan Wati), betul lah agaknya? Tak sanggup lebih banyak bertanya sendiri, saya dail nombor tertera. Terdengar suara Kak Chaq di hujung sana. Hanya Allah yang mengetahui betapa gembiranya saya. Betullah, Kak Chaq menerima kiriman kad saya tetapi belum berpeluang melihatnya sendiri kerana Kak Chaq tiada di kampung. Abang Kak Chaq yang menyampaikan kandungan kad raya saya. Banyak yang nak dibualkan tetapi keadaan tidak mengizinkan. Namun paling penting, saya dah dapat hubungi semula Kak Chaq.

Moga lebih ramai kawan-kawan lama lain dapat saya hubungi selepas ni. Sungguh, walau ada kawan baru, kawan-kawan lama masih saya rindu. Kenapa? Kerana setiap daripada mereka pernah mencatat kisah di dalam hidup saya. Kisah-kisah itulah yang menggembirakan dan membahagiakan saya hingga kini. Seperti tajuk perbincangan saya kali ini …. kisah lama bukan sekadar kenangan tetapi boleh menjadi panduan untuk kita menjalani hari-hari muka.

Saya yakin, bukan saya sahaja tetapi anda juga mempunyai kisah lama yang tersendiri. Malah, semua insan yang ditakdirkan menikmati hidup di dunia ini mempunyai kisah lama yang tersendiri. Ada kisah lama yang lucu, ada kisah lama yang sedih dan ada juga kisah lama yang membahagiakan. Bila dikenang, ada kalanya anda akan rasa sedih tetapi ada juga yang akan rasa bahagia biarpun kisah lama yang dialami tika itu adalah sesuatu yang menyedihkan. Sebab itulah saya katakan kisah lama bukan sekadar kenangan. Kisah lama berperanan penting di dalam mencorakkan hidup kita hari ini dan hari-hari seterusnya terutama di dalam kehidupan berumah tangga.

Perkahwinan umpama sebuah pelayaran kapal di laut dalam. Ada masa tenang dan ada tikanya pula bergelora. Bila tibanya waktu gelora, jangan mengurung diri membiarkan perasaan terus berkecamuk. Tenangkan diri dan ingati detik-detik indah dan bahagia yang pernah anda dan pasangan anda alami satu masa dulu. Pasti dalam tangis sedih itu anda akan tergelak sendiri. Dengan cara itu, kesedihan dan kepedihan anda pasti terubat dan hubungan anda pasti akan pulih, insyaAllah. Sekiranya satu waktu dulu anda pernah tersalah maka sewajarnya lah kesalahan dan kesilapan tersebut tidak anda ulangi lagi. Seandainya satu masa dulu anda berjaya mencuri hati si dia dengan aksi atau tindakan tertentu maka kekalkan aksi dan tindakan tersebut.

Ya, saya tau zaman berubah, hati manusia juga berubah tetapi apa juga yang merubah hati manusia, pasti tetap ada perkara-perkara yang masih tetap sama, dulu, kini dan selamanya. Kesamaan inilah yang perlu anda cari dan teliti agar anda masih mampu memegang erat hati pasangan anda. Yang penting, anda perlu berusaha lebih sedikit. Jika anda tahu hati pasangan anda mula beralih kasih, takluki semula cinta dan kasihnya. Anda pernah berjaya menambat kasihnya dulu. Lantas, berusaha untuk menambat semula kasihnya. Jangan mudah menyerah kalah dengan alasan anda orang lama. Walau anda ‘orang lama’ tetapi anda adalah orang pertama dan jangan lupa, barang lama lebih berharga dan tinggi nilainya.

Ada juga kisah lama yang tak perlu anda ingati selalu. Sebagai contoh, kecurangan atau ketidaksetiaan pasangan anda. Walau kisah lama tersebut tidak membahagiakan jika tiba-tiba kenangan tersebut terusik, tidak semestinya anda perlu terus bersedih. Kisah lama sebegini perlu dijadikan panduan untuk anda menilik kekurangan dan kelemahan diri bagi meningkatkan penampilan dan personaliti. Mungkin juga kecurangan pasangan berpunca dari diri anda sama ada anda terlalu mempercayai atau terlalu bersikap terbuka. Jika pasangan anda telah sedar diri dan kembali ke pangkuan anda, jangan pula kisah lama tersebut anda ungkit dan sebut-sebut. Ingatlah, memang lumrah manusia pernah tersalah. Jika anda telah menerimanya semula bererti anda telah pun memaafkannya. Lantas, jalanilah hidup baru. Biarkan kisah lama menjadi satu catatan istimewa di dalam hidup untuk anda dan pasangan anda lebih menghargai antara satu sama lain.

Teringat satu kata-kata hikmah: Semalam yang berlalu jadikan kenangan dan panduan untuk menjalani hidup hari ini agar hari esok dan seterusnya akan memberikan sinar bahagia untuk anda.

****Siaran Nov 2006

Tiada ulasan: