13 Oktober 2009

Rahsia kekal ceria

Saya masih senyum sendiri. Jangan risau yer, saya masih waras dan sedar. Sebentar tadi, saya tergelak sendiri hingga mengejutkan rakan sekerja di sebelah. Apa tidaknya, satu emel yang saya terima hari ini meminta petua atau rahsia saya kekal ceria. Sabar jer lah! Agaknya sebab gambar saya di ruangan ini sentiasa saja tersenyum. Tapi, soalan seperti ini pernah juga saya terima daripada rakan sekerja. Kata rakan tersebut: “Kak Su ni tak pernahnya masam muka, kes macam-macam pun asyik senyum ja. Apa rahsia Kak Su?” Saya masih ingat lagi jawapan saya: “Dah kalau rahsia, tak boleh la bagitau kan?” Kami sama-sama ketawa. Hari ini, saya akan jawab pertanyaan pengirim emel ini.

Sebenarnya, tidak ada rahsia atau petua yang khusus. Sentiasa senyum dan ceria bukanlah bermakna hidup saya sentiasa berjaya dan bahagia. Sama seperti orang lain, saya juga tidak dapat lari daripada ujian hidup. Jika anda peminat setia ruangan ini dan pernah membaca perbincangan saya mengenai ujian hidup adalah asam garam kehidupan, anda pasti tahu onak dan duri yang pernah saya lalui. Hingga kini, ujian masih bersama saya mendepani hidup. Namun, seperti yang selalu saya tegaskan, ujian adalah perkara biasa di dalam hidup kita. Ujianlah yang menentukan sama ada kita bersedia untuk terus menghadapi hari-hari mendatang atau pun tidak. Ujian jugalah yang mematangkan kita di dalam membuat sesuatu keputusan.

Namun, ujian bukan penghalang untuk kita kekal senyum dan ceria. Sebaliknya, dengan senyuman dan keceriaanlah kita akan mampu untuk menghadapi ujian hidup. Tidak percaya? Jika anda ditimpa masalah atau musibah, memang biasalah anda akan susah hati dan ada tikanya anda akan menangis kan? Persoalannya, apakah susah hati dan menangis itu akan menyelesaikan masalah anda? Sudah tentu jawapannya tidak kan? Malah, tangisan dan susah hati anda akan menambahkan bebanan masalah yang sedang anda hadapi. Sebaliknya, jika anda senyum dan ceria, insyaAllah segala bebanan yang sedang anda hadapi akan dapat dikurangkan secara perlahan-lahan. Kenapa? Anda tidak akan dapat berfikir dengan waras dan rasional dalam keadaan diri anda tidak tenang. Ketenangan masih boleh dirasai jika anda menerima segala ujian dan masalah dengan berlapang dada. Caranya adalah tetap kekal senyum dan ceria.

Paling penting, anda perlu menyediakan diri anda untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah tersebut. Masalah takkan selesai jika anda melarikan diri daripadanya. Masalah hanya akan selesai apabila anda berusaha menyelesaikannya. Memang susah. Memang payah. Ada tikanya perit dan mengecewakan malah melukakan. Tetapi percayalah, bila anda menerima setiap yang berlaku di dalam hidup anda sebagai ujian, anda akan tetap boleh kekal senyum dan ceria. Di bawah ini, saya senaraikan prinsip pegangan saya selama meniti ujian hidup ini, moga dapat membantu anda semua.

KENAPA AKU DIUJI?
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." -Surah Al-Ankabut ayat 2-3

KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." -Surah Al-Baqarah ayat 216

KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." -Surah Al-Baqarah ayat 286

KENAPA RASA KECEWA?
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." -Surah Al-Imran ayat 139

BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)." -Surah Al-Imran ayat 200

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" -Surah Al-Baqarah ayat 45

APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?
"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga utk mereka..... -Surah At-Taubah ayat 111

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP? "Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain daripada-Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." -Surah At-Taubah ayat 129

AKU DAH TAK DAPAT BERTAHAN LAGI!!!!! ".....dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." -Surah Yusuf ayat 12

****Siaran Februari 2008

1 ulasan:

Angin Selat Melaka berkata...

Assalamualaikum...
Ya, hidup memang begitu...penuh dgn dugaan dan cabaran. Kadang-kala, penderitaan tu lebih banyak dan banyak dari kebahagiaan...Sehingga ada yg tidak pernah berpeluang merasai apa itu 'bahagia'. Namun, begitulah dunia...Apa nak buat. Salah satu yg mampu kita buat adalah dgn memaksa wajah senyum penuh keceriaan. Sambil2 wajah dihiasi dengan sengihan paksa, bagi sengihan tidak asli tu supaya tak nampak ketara sgt dengan mempelajari ilmu kecantikan di sini:

Rahsia Kekalkan Kecantikan wajah

Bila wajah nmpak segar, sihat, kurang sikit nmpk mimik paksaan di wajah. Semoga ceria. Tq.