17 November 2009

Bangunlah wanita!!!

Saya baru saja balik daripada makan tengahari. Masih terasa lagi panas… bukan panas lauk atau panas berjalan di bawah matahari tetapi panas hati… memang amat panas. Selepas makan, saya mengikut kawan masuk ke sebuah pasaraya yang agak terkenal namanya. Tika berdiri di tepi kaunter juruwang, terkejut saya melihat satu promosi: Jualan hebat dan potongan besar-besaran bagi pelbagai jenis kondom sempena Women International Week. Terus saja mulut saya bising dan kecoh, mengomel promosi tersebut. Kepada juruwang, saya ajukan soalan: Apasal teruk sangat ni? Ingat kaum wanita ni habuan lelaki jer ker? Juruwang yang merupakan seorang lelaki muda menunjukkan air muka risau, tergagap bersuara: Maaf Kak. Saya pun tak tau! Saya faham. Saya pun tak salahkan juruwang tersebut. Cuma harapan saya, omelan dan kemarahan saya disampaikan kepada bossnya, yang mungkin juga akan dipanjangkan kepada mereka-mereka yang lain yang terlibat.

Sungguh, saya betul-betul marah. Kawan saya juga marah. Bila sekejap tadi saya sampaikan cerita kemarahan saya kepada beberapa rakan sekerja wanita, mereka juga marah. Rakan sekerja lelaki ada yang hanya tersenyum, ada yang memberi respons: Aah kan, entah apa-apa lah kan? Tak kisahlah cuma bagi golongan wanita, siapa jua yang mengetahui berita ini, kalau tak ada rasa marah tu, memang sah ada yang tak kena lah tu. Mungkin ada yang menganggap, saya ni kecoh. Sungguh, saya mengaku saya kecoh sebab ianya melibatkan kaum wanita. Saya adalah wanita, jika bukan saya yang pertahankan hak wanita, siapa lagi?

Wanita adalah lambang sebuah keharmonian dan kemuliaan. Allah SWT ciptakan wanita pertama iaitu Hawa sebagai penghibur kepada manusia pertama, Adam alaihissalam. Melalui dua putera dan dua puterinya, Allah anjurkan perkahwinan bagi menunjukkan bahawa hubungan jenis antara lelaki dan wanita boleh berlaku tetapi hanya melalui ikatan yang sah. Islam malah ugama-ugama lain di dunia ini melarang keras hubungan haram kerana wanita bukan hamba lelaki. Wanita bukan hamba seks liar. Wanita bukan tempat lelaki melampiaskan nafsu serakah. Lelaki boleh mendapatkan wanita tetapi melalui hubungan yang sah dan halal. Islam meletakkan wanita di darjat dan kedudukan yang tinggi. Islam wajibkan lelaki membayar mas kahwin sebagai satu bentuk kemuliaan kepada wanita kerana sanggup menyerah diri kepada lelaki bernama suami. INGAT!!!! Duit yang dihulur bagi setiap perkhidmatan seks bukan mas kahwin.

Saya tahu, ada wanita yang terpaksa bekerja menjual diri. Alasan diberi, tak der dah pekerjaan lain yang boleh dibuat. Keadaan memaksa, dharurat. Nauzubillah! Pendapat itu semuanya salah dan tidak benar sama sekali. Perkhidmatan seks adalah sama dengan zina, hukumnya tetap haram biarpun rela terpaksa kecuali betul-betul paksaan seperti kes rogol dan perkosa. Sekarang ini banyak kerja lain yang boleh anda lakukan untuk menyara keluarga. Jual nasi lemak, jual goreng pisang. Macam-macam… yang penting anda bersabar dan teruskan berusaha. Memang perit, memang susah nak senang tapi percayalah, andai anda ikhlas berusaha demi menyara anak-anak anda, akan ada pintu rezeki yang terbuka. Jangan kejar kemewahan hidup, cukuplah sekadar dapat sebuah kehidupan yang sederhana.

Singkap semula sejarah zaman sahabat dulu. Seorang wanita berulang kali memberitahu anak-anaknya: Sabar nak! Makanan masih belum masak! Berulang kali hingga akhirnya anak-anak terlena. Bila terjaga, si ibu masih memberikan jawapan yang sama hingga anak-anak kembali terlena. Beberapa hari perkara yang sama berulang hinggalah bantuan daripada pimpinan tiba. Cerita ini bukan satu rekaan tetapi satu kisah benar. Bukan sekadar moral dan iktibar untuk mereka bernama pimpinan agar mengambil tahu tentang hal rakyat tetapi juga panduan untuk kaum wanita, lakukanlah apa juga demi anak-anak tetapi jangan sampai menggadai harga diri anda.

Wahai wanita! Anda adalah insan mulia. Anda bukan hamba nafsu serakah lelaki bersikap buaya. Wanita bukan kaum yang lemah. Wanita sebenarnya adalah kaum yang kuat dan tabah. Wanitalah penyambung generasi. Wanita juga penyejuk hati suami. Bangunlah! Jangan jadi hamba nafsu lelaki semata. Jangan juga jadi hamba suami yang tak sedar diri, asyik menagih hak sebagai suami tetapi gagal jalankan tanggungjawabnya kepada anda dan anak-anak. Hayati dan renunglah puisi ini. Terima kasih kepada pencetus idea keramat ini:

Wanita dan Kemuliaan
Wanita
Renung dengan mata hati
Bukan emosi
Adakah hadirmu menguntungkan
Atau sekadar mengisi kekosongan

Wanita
Seringkali engkau berduka
Kononnya engkau dipersenda
Kerana hakmu diperguna
Engkau seolah-olah insan yang hina
Hanya berada di belakang pemuda
Sehingga timbul pelbagai suara
Menurut hak sama rata

Wanita
Adakah engkau lupa?
Engkau sebenarnya sangat ISTIMEWA
Ayuh buka mata dan minda
Untuk merenung seketika
Agar engkau tidak alpa
Bahawa engkau terlalu mulia

Wanita
Engkau bukanlah dijadikan daripada kepala
Untuk dijadikan ketua segala ketua
Engkau juga bukan dijadikan daripada kaki
Untuk dihina dan dikeji
Tapi engkau dijadikan daripada tulang rusuk
Yang terletak dekat dengan hati
Untuk dikasihi dan disayangi


Wanita
Dari rahimmu yang sempit itulah
Lahirnya seorang perdana menteri
Lahirnya seorang ulama sejati
Lahirnya seorang mujahid berani
Lahirnya seorang rasul dan nabi
Tidak dari rahim lelaki
Tidakkah engkau mengerti?
Kedudukanmu terlalu tinggi

Wanita
Mentaatimu tiket ke syurga
Berbakti kepadamu petunjuk sifat taqwa
Mengasihimu lambang akhlak mulia
Mengabaikanmu membawa celaka
Mengetepikanmu seolah-oleh tiada makna

Wanita
Andai pena dijadikan perantaraan
Untuk membuat segala catatan
Untuk membuktikan segala keistimewaan
Nescaya tiada kemampuan
Kerana engkau terlalu diagungkan
Cukuplah jika engkau telah membuat persediaan
Berlandaskan ilmu dan Iman
Bukan emosi dan perasaan
Pasti engkau dapat menerima kenyataan
Bahawa engkau sebenarnya terlalu dimuliakan
Mempunyai kedudukan yang tinggi disisi Tuhan.

****Siaran April 2008

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

marah memang marah. tapi kadang marah kita tak ke mana kerana 'siapalah kita'. terlampau banyak isu ttg wanita cuba diketengahkan yang mana mula panas diperkatakan, lama2 jadi sejuk last2 tak ada apa2 perubahan pun. kalau adapun sangat minimal dan hanya menyentuh perkara tertentu yg berkaitan pihak berkepentingan.
hmmm....banyak benda nak marah, tapi lama2 rasa baik duduk diam2 jelah. sebab tu bukan kita taknak bangun tapi bangunpun, tak ada orang sedar kerana kita berdiri tak setinggi mana.

Tanpa Nama berkata...

salam
betul apa yg akak coretkan but zaman la nie kebanyakkan wanita ( bukan semua ) yg menyebabkan diri mereka sendiri rendah nilainya.Dari segi berpakaian sehinggalah kepada perhubungan antara lelaki dan wanita,jelas menunjukkan Wanita mudah untuk diperalat dan digunakan.So apa cara nk memperbetulkannya????

QeeLa berkata...

sy setuju dgn melor, karenah birokrasi membuatkan kita 'tenggelam,..
buat abuuwais..
kaum andalah sebenarnya paling layak untuk melindungi dan memartabatkan kaum hawa.. andalah kaum pemimpin yg Tuhan anugerahkan segala kelebihan dlm akal, kudrat,agama, harta, kerna anda wanita dijadikan, andlah pemimpin dan pembimbing kpd ibu, isteri, kakak, adik perempuan,ank perempuan, ank saudara perempuan sbb itu Tuhan angkat anda sbg pemimpin..bukan untk memperdayakan kaum hawa..