13 Mac 2010

Anakku bukan anakku siri2

Minggu lalu, saya dah bincangkan tentang hak suami untuk menafikan anak yang dikandung atau dilahirkan oleh isterinya menerusi li’an. Namun, seperti yang saya jelaskan pada akhir perbincangan, jangan terlalu mudah menggunakan hak yang diberikan oleh syarak ini kerana kesannya amat berat. Bak kata pepatah: terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Minggu ini, saya akan bincangkan pula kes yang agak serupa tapi tak sama iaitu mengenai anak tak sah taraf. Kes-kes kehamilan luar nikah bukan perkara luar biasa lagi tika ini. Memang menjijikkan, menakutkan dan merisaukan banyak pihak termasuk pasangan yang terlibat. Masalahnya, terlalu ramai yang mencari jalan penyelesaian selepas berlaku perkara yang tidak diingini berbanding mereka yang berusaha untuk mengelakkan diri daripada terjerumus ke lembah maksiat ini. Ya! Terlajak kata buruk padahnya tetapi terlajak perbuatan lagi parah akibatnya.

Saya mendapat banyak emel yang bertanyakan beberapa perkara berkaitan kehamilan luar nikah ini? Antaranya: sah atau tidak perkahwinan yang dilakukan ketika wanita telah hamil? Benarkah pendapat yang mengatakan perkahwinan perlu diadakan semula selepas wanita itu melahirkan? Apakah benar anak yang dilahirkan selepas enam bulan perkahwinan, boleh dibin atau dibintikan dengan nama suami si wanita? Bagaimana kalau suami si wanita itu bukan bapa biologi kepada anak yang dilahirkan sebaliknya hanya seorang pak sanggup atau seorang yang lurus dan tidak tahu status sebenar isterinya?

Berkaitan soalan pertama: sah atau tidak perkahwinan yang dilakukan ketika wanita telah hamil? Jawapannya: perkahwinan adalah sah dan bolehlah didaftarkan mengikut prosedur yang ada. Ada pendapat yang mensyaratkan pasangan tersebut perlu insaf dan bertaubat namun menurut pendapat kebanyakan ulama termasuk pendapat sahih dari Mazhab Shafie, tak perlu disyaratkan bertaubat. Perkahwinan adalah sah sekiranya wanita hamil tersebut bukan isteri kepada mana-mana lelaki lain, bukan dalam tempoh eddah dan bukan dalam keadaan menunaikan haji atau umrah.

Malah perkahwinan yang dilakukan ketika wanita hamil dikira sah selamanya dan tak perlu lagi diadakan akad nikah yang baru. Pendapat yang mengatakan perlu diadakan akad baru adalah pendapat yang tidak benar. Kenapa perlu nikah semula selepas bersalin? Bukannya ada apa-apa tempoh eddah yang menyebabkan perlu dilakukan semula akad nikah selepas bersalin. Tempoh eddah hanya ada di dalam perkahwinan dan bersalin hasil hubungan luar nikah tidak dikira sebagai menamatkan eddah. Maka, tidak perlu dilakukan akad nikah semula kerana akad yang dilakukan sebelum ini adalah sah.

Persoalan, apakah benar anak yang dilahirkan selepas enam bulan perkahwinan, boleh dibin atau dibintikan dengan nama suami si wanita? Ada dua perkara berbeza. Fatwa ulama membenarkan anak yang dilahirkan selepas tempoh enam bulan dibin atau dibintikan kepada suami ibu anak tersebut sekiranya lelaki itu adalah bapa anak itu. Namun, fatwa ulama ini BUKAN UNTUK MEMBENARKAN HUBUNGAN SEBELUM NIKAH SEBALIKNYA DEMI KEMASLAHATAN DAN KEBAJIKAN ANAK yang dilahirkan. Semua sedia maklum, Islam menitikberatkan kemaslahatan anak-anak kecil yang tidak berdosa dan nasab keturunan. Mengikut peringkat kejadian manusia (bayi), roh hanya akan ditiup kepada janin selepas kandungan berusia tiga bulan. Mengambil alasan tersebut, fatwa ini dikeluarkan.

Sebaliknya, jika suami wanita bukanlah bapa sebenar kepada anak yang dilahirkan maka anak tersebut tidak boleh dibin atau dibintikan kepadanya. Perkahwinan mereka masih dikira sah bezanya lelaki pak sanggup atau ‘tertipu’ itu tidak boleh melakukan hubungan suami isteri hinggalah wanita tersebut selamat bersalin. Sekiranya dilakukan juga, hubungan mereka adalah haram walaupun perkahwinan adalah sah.

Pendapat ini berdasarkan sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidaklah halal bagi sesiapa yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, untuk menyiram benih kepada tanaman lelaki lain ( iaitu jika wanita sedang mengandungkan benih lelaki lain)" -( Riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi)

Bagi anak-anak tidak sah taraf dan tidak boleh dibin atau dibintikan kepada bapa biologi mereka, bolehlah dibin atau dibintikan kepada ibu mereka ataupun kepada Abdullah.

Saya pohon, jangan sesekali menipu tentang bab penamaan ini sebab kesannya amat besar. Sudahlah anda berdosa kerana terlanjur, kemudian berdosa pulak kerana masih tetap bin atau bintikan anak kepada orang yang dilarang oleh agama, anda juga akan turut menanggung dosa apabila anak anda berkahwin kelak terutamanya jika anak anda perempuan sebab anda tidak berhak mewalikan anak tersebut.

Memang agak sukar untuk menjelaskan kepada anak anda tetapi bertaubatlah dan berdoalah agar anak anda menjadi anak yang soleh dan solehah dan boleh menerima hakikat tersebut. Manusia tersalah dan Allah bersedia mengampunkan sekiranya anda benar-benar bertaubat!!

****Siaran Sept 2008

1 ulasan:

dewicinta berkata...

sesungguhnya manusia selalu menjatuhkan hukum..segala kesilapan masa lalu menjadikan ukuran sampai mati..setiap kesalahan yang dilakukan pasti ada jalan kembali..janganlah menghina atau membisik benci perbuatan yang buruk memang menjadi buah mulut org sampai mati tetapi pandang dan bimbinglah mereka yang melakukan kesalahan ke pangkal jalan semoga kesilapan lalu tidak berulang lagi..