Dua hari lagi (21hb September), genaplah setahun usia anak ketiga saya: Afkar Sulaim. Sejak bayi ketiga saya ini dinamakan, pelbagai reaksi yang saya terima daripada orang yang mengetahui nama anak saya itu. Keadaan sama ketika saya menamakan anak kedua saya: Azfar Suhail. Ada yang memuji malah ada yang mengkritik: susah nak sebut, macam nama Arab dan macam-macam lagi. Saya hanya tersenyum. Bagi saya, tak kisahlah apa orang nak cakap, yang penting saya berusaha memberikan yang terbaik untuk ketiga-tiga anak saya. Ya, walaupun hanya nama tetapi nama yang anda berikan kepada anak-anak anda itu sebenarnya bukan sekadar nama.
Sebagai ibu bapa, anda wajib memberikan nama yang baik kepada anak-anak anda. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya di antara hak anak ke atas ayah ialah mengelokkan namanya dan mengelokkan adabnya.” (Hadis riwayat al-Bazzar). Nama yang elok bukan bererti yang sedap didengar sahaja tetapi memberikan maksud dan makna yang baik. Saya menamakan anak sulung saya Ayuni Syafiqah bermaksud ‘cantik lagi penyayang’; anak kedua dinamakan Azfar Suhail bermaksud ‘berjaya dengan mudah’ dan anak ketiga dinamakan Afkar Sulaim bermaksud ‘daya fikir yang tinggi menyempurnakan orang lain’.
Tak taulah nama anak-anak saya tu sedap didengar atau tidak, mungkin agak sukar dilafazkan tetapi ketika memberikan nama-nama tersebut, maksud yang terdapat di sebalik nama yang menjadi keutamaan saya. Kenapa nama perlu mempunyai makna? Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu akan diseru pada hari qiamat nanti dengan nama-nama kamu, oleh itu perelokkanlah nama kamu”.
Ramai juga yang tidak sedar, mungkin juga tidak faham, nama yang kita berikan kepada anak-anak malah nama yang kita bawa dan guna sehari-hari turut berperanan sebagai doa. Lazimnya, sekiranya kita sering mengucapkan sesuatu yang baik sudah pastilah perkara yang baik akan berlaku. Sebaliknya jika kita sering mengucapkan sesuatu yang tak elok, pastilah juga kesudahannya tidak elok. Paling penting, nama-nama yang mempunyai makna yang baik tersebut digunakan.
Selain mempunyai makna yang baik, nama yang diberikan juga perlulah mempunyai sifat jantina yang sesuai. Teringat ketika saya mengendalikan satu kursus kaunseling melibatkan pelajar sebuah sekolah menengah, seorang pelajar perempuan ditempatkan sebilik dengan pelajar lelaki kerana namanya yang mengelirukan. Menjadi kegemaran masyarakat hari ini menamakan anak masing-masing dengan nama yang banyak perkataannya. Memang benar, undang-undang kita tidak menghadkan ibu bapa atau sesiapa sahaja untuk meletak berapa banyak atau berapa panjang nama untuk anak-anak kita.
Cuma satu perkara yang perlu kita ambil peduli iaitu nama tersebutlah yang akan digunakan sepanjang hayatnya. Mengikut Akta Jabatan Pendaftaran Negara, anda dibenarkan menukar nama anak dalam masa setahun dari tarikh pendaftaran. Selepas itu, anda dibenarkan membuat tambahan ataupun alias (@) tanpa membuang nama asal anak anda.
Banyangkanlah jika anak anda mempunyai nama yang panjang hingga tiga atau empat perkataan dan panjang pula suku katanya, tentulah menyukarkan mereka sendiri nanti untuk mengisi borang-borang peperiksaan, pekerjaan atau sebagainya. Selalunya juga, nama-nama yang panjang ini tidak dipanggil habis semua sebaliknya dipanggil ringkas yang masih boleh menimbulkan masalah di belakang hari.
Teringat satu kes yang saya kendalikan: kakak dan adik menyintai lelaki yang sama. Masing-masing tak tau sebabnya nama panggilan yang digunakan berbeza disebabkan si lelaki mempunyai nama yang panjang. Ya lah, takkan lah nak berkenalan pun nak kena tengok kad pengenalan. Ataupun, mungkin ada yang akan mempraktikkannya selepas ni? Terpulang...
Nama panjang mungkin juga glamour tetapi jangan lupa, nama ini juga boleh meresahkan pengantin lelaki ketika akad nikah, sukar untuk bakal suami menyebut nama bakal isteri ketika majlis akad nikah nanti. Jangan salahkan bakal menantu anda ataupun jurunikah sekiranya akad nikah anak gadis anda diulang beberapa kali!
Mungkin kedengaran seperti kelakar tetapi hakikatnya, nama yang anda berikan kepada anak-anak, bukanlah sekadar nama. Fikirkanlah masa depan anak-anak ketika menamakan puteri atau putera kesayangan anda. Boleh nak namakan anak-anak anda sempena sesuatu keramaian atau hari bermakna tetapi biarlah nama tersebut tidak menimbulkan rasa rendah diri anak anda untuk berhadapan dengan masyarakat.
Nama saya? Menurut kata Ustazah yang mengajar saya ketika di KISAS dulu, nama Suzana berasal daripada sejenis bunga bernama ‘susan’ iaitu bunga yang hanya terdapat di Israel. Masyarakat Eropah menjadikan nama bunga tersebut sebagai nama seorang perempuan iaitu Susan atau Suzanne dan masyarakat Melayu menjadikannya Suzana. Itulah pendapat Ustazah berkenaan. Wallahua’lam.
****Siaran September 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan