Semalam saya meraikan ulangtahun pertama anak ketiga saya mengikut kalendar hijrah. Seorang rakan sekerja lelaki pula menyambut ulangtahun perkahwinannya yang ketujuh. Yang mengharukan saya ialah luahan yang tertera pada status Yahoo Messenger: 7 happy years you’ve given me my dearest!!
Bergenang air mata saya membaca luahan tersebut. Jika saya yang tidak ada kena mengena boleh terasa…. mungkin terharu la, dengan luahan tersebut, bayangkanlah isterinya!!! Mungkin bagi anda, biasa la tuh. Tetapi, kes yang saya ketengahkan ini, bukanlah antara kes biasa sebabnya sepanjang tujuh tahun perkahwinan ini, pasangan bahagia ini masih belum dikurniakan cahayamata. Allah belum takdirkan rezeki mempunyai anak kepada mereka tetapi beberapa kali berkesemapatan menemui mereka, sungguh mereka adalah pasangan yang bahagia. Luahan hati si suami tambah meyakinkan saya.
Apa yang bukan biasanya? Ya lah, sepanjang lebih 10 tahun saya terlibat dalam bidang guaman syarie dan psikologi keluarga ini (bermula April 1998), rasanya dah ribuan kes jugak yang saya kendalikan sama ada menerusi pertemuan bersemuka atau pun melalui e-mel, kebanyakan suami hanya melafazkan sayang atau meluahkan rasa cinta pada awal perkahwinan. Ada yang bertahan setahun, ada dua tahun dan paling bertuah jika berjaya cecah lima tahun. Ada kes isteri yang hanya terima luahan kasih sayang suami tika sebelum perkahwinan. Bila dah kahwin, dah tak der lagi dah. Kalau isteri mintak suami lafazkan atau isteri tanyakan soalan: sayang ke tak?... ada tikanya si isteri menerima jawapan menyedihkan: awak ni buang tebiat ker?
Saya dah pernah bincangkan perkara yang hampir serupa pada Julai 2005. Namun, kes-kes serupa masih lagi saya terima. Ya lah, bukan semua orang terutama kaum lelaki yang membaca ruangan ini. Ada sesetengah tu yang mengambil sikap mengelakkan diri sekiranya terasa satu-satu perbincangan tersebut tepat mengena diri mereka. Saya cadangkan kepada para isteri yang berdepan dengan suami bersikap mengelak diri begini, buat fotokopi mana-mana perbincangan berguna, bukan sahaja daripada ruangan ini sebaliknya ruangan lain juga, serahkan kepada suami dan minta suami bacakan untuk anda. Kalau terus tunjuk buku atau majalah, sudah pasti suami akan syak. Tapi kenalah cari masa yang sesuai ye, bimbang nanti masalah lain pula yang timbul.
Anda juga boleh cakapkan pada suami mengenai fakta perbincangan yang and abaca. Masa sarapan ker atau dalam kereta nak ke tempat kerja. Bila-bila yang sesuai. Yang penting, anda usahakan juga agar suami anda mengetahui fakta perbincangan walau hakikatnya, perkara yang dibincangkan ini memang telah sedia ada di minda mereka. Kita yang dewasa pun ada tikanya perlukan pengulangan, sama seperti kanak-kanak. Paling penting pula, anda adalah isteri yang mempraktikkan perkara yang disarankan, bukan anda pun dua kali lima juga….
Namun, fakta kes membuktikan, kebanyakan wanita masih meluahkan ucapan sayang dan rasa kasih mereka kepada suami. Kebanyakan isteri akan usahakan untuk menyediakan sekurang-kurangnya kad ucapan untuk diberikan kepada suami. Yang sedihnya, ada suami yang bukan saja tidak meluahkan rasa kasih kepada isteri malah tak hargai ingatan isteri.
Seperti yang kerap kali saya jelaskan, cinta dan kasih sayang bukan sesuatu yang tegar dan keras seperti batu. Batu yang keras dan besar juga boleh pecah dan hancur hanya oleh titisan air yang berulang kali. Sama juga dengan cinta dan kasih sayang. Seorang lelaki dan seorang perempuan perlukan cinta untuk bersama sebagai suami isteri. Untuk terus kekal sebagai suami isteri juga perlukan cinta. Cinta bukan sekadar perasaan yang disimpan lama tetapi cinta perlu dihangatkan setiap masa dan ketika. Jika hanya mengharapkan luahan cinta sejati di awal percintaan atau di awal perkahwinan, memang tidak memadai. Lantaran itulah tidak pelik atau hairan kenapa pasangan yang berkahwin atas dasar cinta atau suka sama suka boleh berpisah akhirnya. Puncanya, cinta yang ada dibiarkan membeku dengan pendirian cinta tersebut akan tetap hangat dan mekar walau tanpa siraman kasih dan belaian sayang.
Sebagai suami malah isteri juga, rasa cinta perlu ditunjukkan setiap masa dan ketika. Pakar psikologi pernah mengatakan, pengucapan cinta satu kali sehari akan memanjangkan usia. Kenapa? Apa kaitan pengucapan cinta dengan panjangnya usia? Sebenarnya, maksud pendapat tersebut ialah dengan ucapan cinta akan membuatkan diri orang yang menerima ucapan tersebut rasa disayangi dan dihargai lantas akan membuahkan seribu rasa kegembiraan dan kebahagiaan. Rasa gembira dan bahagia pula membuatkan seseorang ingin terus hidup bagi terus menikmati kebahagiaan tersebut.
Teringat luahan Mike yang sedang menunggu ajalnya kerana penyakit kanser tahap kritikal di dalam rancangan reality Big Give tayangan ntv7: kegembiraan dan kebahagiaan orang tersayang adalah penawar segala penyakit. Tak kisahlah siapa yang mengucapkannya tetapi fakta dan pedoman daripada kata-kata tersebut yang paling penting untuk dipraktikkan bersama. Luahkanlah kasih sayang anda…. hanya kepada yang berhak!!!
**Tahniah kepada En. Bob Danial dan isteri, Puan Noorin Dahari. Moga kebahagiaan kalian kekal hingga ke syurga!!!
****Siaran Oktober 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan