13 April 2010

Cinta bukan sekadar ucapan

Baru-baru ni, saya berdepan dengan seorang wanita yang memegang status isteri sejak hampir 10 tahun lalu. Wanita tersebut mempunyai lima orang anak, bekerja dengan sebuah agensi kerajaan tetapi dalam masa yang sama menjalankan perniagaan bagi menampung keperluan keluarga. Si suami juga bekerja di sebuah agensi kerajaan dan berpendapatan lebih daripada si isteri tetapi si suami hanya melibatkan diri di dalam urusan kewangan rumahtangga dengan membayar bil-bil elektrik dan air. Selebihnya adalah ditanggung oleh isteri. Bukan isteri tak pernah minta tetapi si suami memberi alasan, duitnya digunakan untuk keperluan lain. Bila ditanya keperluan apa? Suami hanya diam.

Lebih kurang empat tahun yang lalu, si isteri menerima pesanan ringkas yang pelik daripada suami. Si isteri yakin, suaminya tersilap menghantar pesanan ringkas sebab sepanjang enam tahun perkahwinan, tak pernah sekali pun si suami membahasakan dirinya ‘sayang’. Bila diselidik, sah lah suami mempunyai hubungan dengan wanita lain. Si isteri merajuk diri, keluar daripada rumah dan menumpang di rumah seorang rakan. Si suami berjaya mengesan si isteri melalui anak-anak. Si suami meminta maaf tetapi si isteri berkeras kerana terlalu terluka. Sikap si isteri membuatkan suaminya mengugut untuk membunuh diri. Si isteri mula sejuk hati dan percaya, suaminya betul-betul berubah.

Seminggu sebelum berjumpa saya, si isteri dapat mengesan hubungan si suami dengan wanita lain. Yang mengejutkan, wanita tersebut adalah wanita yang sama sebelum ini. Si isteri berang lalu bertindak mengajukan kes ke pejabat agama. Bila mengetahui tindakan si isteri, si suami menangis sambil memohon maaf dan meluahkan rasa cinta yang tidak berbelah bahagi kepada si isteri. Bila isteri buat tidak peduli, sekali lagi si suami mengugut untuk membunuh diri. Pisau diletakkan di leher sambil meminta isteri berjanji menarik balik kes di pejabat agama. Si isteri terkejut dan berjanji akan menarik balik kes mereka.

Walau telah berjanji, si isteri masih tidak tenang dan dia berjumpa saya untuk mengetahui, apakah yang perlu dilakukannya?

Apabila mendengar luahan wanita tersebut, saya bertanya: Puan masih sayangkan suami? Jawapannya; Entah lah, sayang lagi kut. Saya hanya senyum. Puan yakin suami sayangkan Puan? Wanita tersebut diam seketika: Ini yang susah nak jawab ni. Dia selalu ja cakap sayang tapi tu la...” ayatnya terputus di situ. Saya faham, wanita tersebut ragu-ragu dengan luahan sayang daripada si suami. Mengikut ceritanya pun, saya yakin semua pembaca sepakat dengan saya, luahan sayang si suami hanya sekadar ucapan lisan.

Ada juga kes, di mulut terucap sayang dan cinta tetapi tiap-tiap hari seronok membelasah isteri hingga bengkak seluruh badan. Pernah seorang isteri datang berjumpa saya dalam keadaan mulut yang muncung membengkak dan terdapat lebam hitam di pipi kanan. Dia dipukul oleh suaminya seminggu sebelum itu kerana cemburu bila seorang rakan memuji isterinya. Bila si isteri meminta penjelasan kenapa suami bertindak demikian, si suami memberi jawapan: kan ker cemburu tu tandanya sayang??

Memang jawapan gila. Memang la cemburu tandanya sayang tetapi sayangkah hingga memukul isteri sebegitu? Apakah ertinya sayang jika tanggungjawab asas seorang suami tidak dilaksanakan? Jika benar sayang, seseorang sanggup bersusah payah dan berkorban apa sahaja demi insan yang disayangi. Bukannya mengorbankan insan yang anda sayangi. Saya yakin, anda semua sudah masak dengan kata-kata: cinta sahaja tak cukup. Saya setuju, memang cinta yang dilafaz di mulut sahaja tanpa mengaplikasikan cinta dan sayang tersebut di dalam kehidupan, tidak akan memberikan apa-apa makna.

Jika anda benar sayang, buktikan kasih sayang anda dan bukannya meminta pasangan anda yang membuktikannya sahaja. Sebagai seorang suami yang ikhlas dan jujur menyayangi isteri, anda perlu tunaikan tanggungjawab yang wajib iaitu menyediakan segala keperluan hidupnya. Jika anda mempunyai anak, keperluan anak-anak juga adalah tanggungjawab anda, bukan isteri anda. Bukan tak boleh jika isteri membantu tetapi bukannya hingga kebanyakannya isteri yang tanggung. Sebagai seorang isteri pula, buktikan kasih sayang anda dengan memberikan kesenangan hati dan tidak menyusahkan suami. Bukanlah bererti bila perlu memberikan kesenangan hati dan tidak menyusahkan suami itu, anda pula yang menanggung segala tanggungjawabnya.

Ada kes yang saya kendalikan: isteri terlalu lurus dan jujur serta terlalu bimbang gagal menjadi seorang isteri yang baik hingga sanggup melakukan apa sahaja demi suami tercinta sedangkan hakikatnya, si isteri sedang membiarkan suaminya lalai dan mengabaikan tanggungjawabnya. Itu bukan bukti cinta, bukan juga bukti sayang.

Cinta dan sayang yang ikhlas, jujur dan suci tidak akan mensia-siakan penerima cintanya. Pecinta yang jujur akan membuktikan cintanya tanpa mengorbankan penerima cintanya. Fikirkanlah….apakah benar anda menyintai dan dicintai selayaknya??

****Siaran Oktober 2008

4 ulasan:

sWeEt 'N LoVeLy berkata...

salam ustazah...
sebenarnya, apekah seorang perlu lakukan jika berdepan dengan suami yg berkelakuan sebegini:tidak memberi nafkah dgn pelbagai alasan tetapi dgn wanita lain dgn senang memberi/lelaki kaki pukul/suami curang berkali2?

NurEfa berkata...

Salam, pn, saya sbnrnya pernah menjadi salah seorang perserta kursus puan semasa d grand continantal t'ganu pada 2009...

sebenarnya saya nak minta pndtpt dari puan. saya ada seorang kawan, dia mempunyai hubungan dengan suami org, sebenarnya kawan saya dah pun mempunyai hubungan istimewa dengan lelaki nie semenjak lelaki nie bertunang lagi. menurut kawan saya, mereka masing2 bersetuju untuk memutuskan hubungan sebaik sahaja lelaki ini berkahwin. tetapi setelah berkahwin hubunga mereka tetap terjalin. kawan saya mengatakan yang lelaki ini tidak mahu melepaskannya. sebenarnya, saya rasa kasihankankan kawan saya ini, dia berusaha untuk melepaskan diri dari masalah ini, tetapi lelaki ini masih jugak mencarinya. sehinggakan timbul lagi perasaan cinta d antara mereka.

lelaki ini berjanji akan berkahwin dengan kawan saya, puas saya memberi nasihat supaya berfikir panjang sblm membuat keputusan.

akhirnay apabila mereka sepakat untuk bersua muka, akhirnya lelaki ini mengatakan yang dia memilih isterinya, tetapi di hadapan kawan saya dia memilih kawan saya.

apa lagi yg harus saya perkatakan pn?

secangkir madu merah berkata...

salam..., wanita mempunyai sekeping hati yg sangat lembut...sekali teraniaya sampai kemati tak dilupa walaupun kemaafan tetap diberikan..

anyssma_80 berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.