Apabila rasa sayang yang sepatutnya wujud dan terus mekar di antara pasangan suami isteri, berubah menjadi benci, sudah tentulah ia petanda yang tidak baik. Mana mungkin sepasang suami isteri dapat hidup bersama apabila tiada lagi kasih sayang, paling ditakuti rasa kasih dan sayang tersebut bertukar menjadi kebencian dan dendam yang mendalam, nauzubillah!! Saya yakin, jika anda sentiasa mengikuti perbincangan demi perbincangan menerusi ruangan Resipi Hidup ini, anda akan dapati betapa kerapnya saya menegaskan tentang betapa perlunya setiap individu, suami dan isteri; kedua-dua nya, bukan satu pihak sahaja- terus menerus menyemarakkan hubungan kasih dan sayang. Sebab? Kasih dan sayang bermula daripada tiada maka bila ia telah ada dan tidak ada usaha untuk mengekalkannya, maka ia akan hilang.
Saya tak pasti apa punca kebencian yang wujud di hati si isteri pengirim sms tadi namun berdasarkan kes-kes yang pernah saya kendalikan, kebanyakan isteri akan sanggup bertahan, terus menyimpan dan mencurahkan rasa sayang sekiranya yakin si suami masih ikhlas menyayangi mereka. Tanda ikhlas menyayangi? Memang sukar nak dibuktikan namun mengikut telahan hati dan perasaan masing-masing, selagi percaya bahawa suami tidak menipu mereka, si suami tidak mempunyai orang ketiga dan si suami pandai menjaga hati dan perasaan mereka, biarpun terpaksa mengambil alih 100% tugas dan tanggungjawab suami menguruskan perbelanjaan rumahtangga- cinta, kasih dan sayang mereka tetap unggul dan ampuh di takhta teratas. Namun, bila kesetiaan dan pengorbanan dikhianati, cinta teratas tadi boleh runtuh serta merta dan bertukar menjadi benci.
Tak perlulah nak bercerita panjang tentang kebencian dan sebabnya. Sekadar peringatan, jangan izinkan kasih sayang yang ada bertukar menjadi benci. Jika kebencian tetap wujud dan hadir menggantikan kasih sayang tersebut, perlu ada tindakan yang diambil. Paling penting, kenal pasti punca wujudnya kebencian tersebut. Kemudian, berbincanglah dengan pasangan anda bagi menangani permasalahan yang berlaku agar kebencian boleh hilang dan kasih sayang boleh bertapak dan mekar semula. Ada sesetengah pasangan yang sukar untuk berbincang, saya nasihatkan carilah orang yang boleh dipercayai untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah anda. Apa juga caranya, selesaikan punca permasalahan yang menyebabkan kebencian itu wujud.
Anda tak boleh biarkan kebencian tersebut berterusan, tak baik untuk pasangan anda, tak baik juga untuk anda, anak-anak anda, rumahtangga anda dan mereka yang lain yang terlibat dengan perkahwinan anda dan pasangan anda. Asas mudah, perkahwinan adalah untuk pasangan suami isteri saling sayang menyayangi. Bukan itu sahaja, seorang isteri wajib mempunyai rasa hormat terhadap suaminya. Jika hanya ada kebencian, sudah tentulah hormat pun dah hilang. Keadaan ini tidak dibenarkan oleh syarak. Dek kerana itulah juga, Islam menghalalkan perceraian walau hakikatnya perceraian adalah perkara yang amat dibenci oleh Allah SWT.
Meneliti kupasan sebuah akhbar harian semalam (tika perbincangan ini disediakan), perceraian bukan lagi perkara yang memalukan sekarang ini. Saya akui kebenaran tersebut, memang dah banyak kes cerai melibatkan pasangan yang berumur bawah 30-an, ada jugak yang berusia awal 20-an. Seperti yang kita semua sedia maklum, perkahwinan yang dianjurkan oleh syarak mempunyai prinsip dan hikmah yang tersendiri antaranya untuk saling berkongsi kasih dan sayang di samping memenuhi keperluan hidup masing-masing. Apabila peranan dan tanggungjawab yang digariskan oleh syarak, gagal dipenuhi dan dijalankan sebaiknya oleh masing-masing pihak, maka kasih dan sayang akan bertukar benci dan dendam, yang semestinya tidak wajar ada di dalam sebuah perkahwinan dan institusi kekeluargaan maka jalan terbaik ialah keluar daripada perkahwinan, agar masing-masing pihak tidak berterusan membenci dan melakukan dosa kepada-Nya lantaran kegagalan memenuhi tanggungjawab yang patut.
Jangan salahkan kebencian atau kesan kebencian tersebut tetapi koreksilah diri, atasi masalah yang berlaku agar kasih sayang terus bersemarak mekar hingga ajal menggamit. Panjatkan doa kepada-Nya, agar kasih sayang anda dan pasangan anda terus kekal mekar dan bahagia hingga ke syurga....
**** Siaran Mei 2009
***MULAI MEI 2011, temujanji bersemuka akan diadakan di KL Sentral, Kuala Lumpur sahaja bermula Isnin hingga Jumaat pada setiap minggu dan Sabtu (minggu kedua dan keempat sahaja). Bagi mereka di luar Kuala Lumpur, boleh gunakan temujanji menerusi panggilan telefon atau chat Yahoo Messenger.
***26hb Jun: Santai Ilmiah 6; Jagaan Anak: Ibu lebih berhak bila... - Setiap ibu sayangkan anak, begitu juga bapa. Bila berlaku perceraian, anak turut terpisah tapi bukan halangan berkasih sayang biar ibu lebih berhak tapi ada syaratnya.
Maklumat lanjut, hubungi talian 013-2545965 atau layari http://bersamasuzana.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan