Seperti yang saya janjikan, minggu ini saya akan bincangkan isu berkaitan kes seorang anak lelaki yang berusaha menjejak ibu dan adik-adiknya yang terpisah selepas berlakunya perceraian, yang disiarkan oleh TV1. Hakikatnya banyak kes yang serupa berlaku. Beberapa minggu sebelum ini, rancangan Kes Syariah siaran TV9 membincangkan tentang Hak Lawatan. Saya setuju dengan paparan rancangan tersebut. Memang terlalu banyak kes penerima hak lawatan yang tidak berjaya menggunakan hak tersebut dengan sebaiknya malah lebih banyak kes lagi melibatkan mereka yang mempunyai hak lawatan ini, tidak menggunakan hak tersebut.
Mungkin masih ada yang kurang jelas tentang maksud hak lawatan. Saya terangkan sikit. Hak lawatan ialah hak yang diberikan oleh Mahkamah Syariah kepada pihak yang tidak mendapat hak penjagaan ke atas anak atau anak-anak hasil daripada perkahwinan selepas berlakunya perceraian. Pihak tersebut boleh jadi seorang bapa, malah boleh juga seorang ibu sebab ada tikanya ibu gagal mendapatkan hak penjagaan ke atas anaknya. Perlu diingat, hak lawatan diberikan kepada pihak yang tidak mendapat hak jagaan, bukan sekadar satu pujukan atau simpati sebaliknya sebagai satu usaha agar pihak tersebut mampu menjalankan kewajipan dan tanggungjawabnya yang wajib ke atas anak-anak.
Seperti yang selalu saya tegaskan, perceraian hanya memisahkan hubungan antara sepasang suami isteri. Perceraian tidak memisahkan hubungan antara ibu dan anak atau hubungan antara bapa dan anak walaupun ibu dan anak atau bapa dan anak tersebut tidak tinggal bersama. Tidak memisahkan di sini bermaksud, setiap ibu dan bapa yang menerima hak lawatan adalah tetap perlu dan wajib menjalankan kewajipannya yang patut dan wajar menurut syarak. Seorang bapa tetap wajib memberikan peruntukan nafkah merangkumi segala keperluan si anak hingga si anak mampu berdikari (bagi anak lelaki) atau berkahwin (bagi anak perempuan).
Bukan sekadar memberikan wang untuk belanja keperluan malah perlu dan wajib juga memberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang. Tanggungjawab untuk mendidik dan membesarkan anak-anak tidak akan terhenti hanya kerana anda tidak mendapat hak jagaan ke atas anak tersebut. Sebab itulah ada peruntukan untuk hak lawatan. Bukan sekadar melawat atau memandang daripada jauh tetapi perlu gunakan hak lawatan ini dengan sebaik-baiknya bagi menunaikan tanggungjawab anda sebagai ibu atau bapa di dalam membesarkan dan mendidik anak-anak.
Bagi mempastikan matlamat dan objektif hak lawatan tercapai, kedua-dua pihak (penerima hak jagaan dan penerima hak lawatan) perlu bekerjasama dan jangan bermusuh. Jangan juga tanamkan rasa benci atau tidak suka kepada pihak lawan di dalam diri anak-anak. Paling penting, seperti tajuk perbincangan kali ini, jangan jadi pemutus kasih sayang. Seorang anak tetap perlukan kasih sayang daripada kedua ibu bapanya walau setelah berlakunya perceraian. Jangan ego mengatakan itu anak anda seorang kerana anda melahirkannya atau itu anak anda kerana anda yang mendapat hak jagaan.
Tindakan anda menghalang pihak bekas suami atau bekas isteri menjalankan tanggungjawabnya kepada anak kalian (tak mungkin ada anak yang lahir hanya sebab satu pihak kan) adalah tindakan yang salah, bukan sahaja di sisi undang-undang sebaliknya di sisi hukum syarak juga. Pengecualian bagi kes anak tidak sah taraf, seorang bapa memang tidak berhak mendapat apa-apa hak ke atas si anak malah si ibu tidak boleh menuntut wang belanja daripada si ayah kerana anak sah taraf tidak ada apa-apa hubungan dengan si ayah.
Peringatan penting ya… termasuk dalam istilah menghalang hak lawatan juga ialah anda yang mendapat hak jagaan si anak berpindah tempat tinggal tanpa memaklumkan kepada pihak yang menerima hak lawatan. Jika keadaan ini berlaku, pihak yang mendapat hak lawatan berhak memohon kepada Mahkamah agar hak jagaan yang diberikan kepada pihak satu lagi, ditarik balik. Pengecualian jika pihak tersebut kembali tinggal di kampung asalnya yang sedia diketahui oleh pihak satu lagi.
Ada kes hak lawatan terhalang disebabkan pihak ketiga sama ada ibu bapa bekas pasangan atau pasangan baru bekas pasangan. Saya merayu kepada anda yang terlibat dalam isu ini, jangan ikutkan emosi sendiri. Pertimbangkan sewajarnya kebajikan anak-anak yang tetap memerlukan kasih sayang daripada ibu dan bapa kandungnya. Bagi anda yang mendapat hak lawatan sahaja, anda masih boleh jalankan tanggungjawab anda sepenuhnya walau hak lawatan hanya pada hujung minggu. Gunakan sepenuhnya kemudahan teknologi yang ada, peruntukan masa khusus untuk bertanyakan khabar diri, perkembangannya dan berkongsi cerita hidup anak anda.
Izinkanlah kasih anak anda tetap bersatu dengan ibu atau bapanya kerana anda akan tetap dipersalahkan satu hari nanti kerana memisahkan kasih tersebut walaupun perceraian antara anda dan pasangan anda adalah yang terbaik tika ini.
****Siaran Mei 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan