03 Disember 2011

Usah gadai hak sendiri

Dalam sejarah kerjaya saya sebagai Peguam Syarie seterusnya sebagai Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, minggu lepas, rasanya dah untuk lebih 10 kali, saya terpaksa mengecewakan harapan kaum sejenis saya, kaum hawa. Saya ditetapkan untuk bersemuka dengan sepasang suami isteri dan pada masa yang dijanjikan, pasangan ini muncul bersama sepasang anak kecil mereka, hampir sebaya dengan anak kedua dan ketiga saya. Setelah menolak kau-aku untuk memulakan sesi, akhirnya si isteri bersuara: “suami saya dah kahwin lagi.” Tak mengejutkan saya sebab ini bukan kes pertama yang serupa. Saya pandang si suami, si suami mengaku.

“Bila?”

“ Dah hampir dua tahun.”

“Ikut prosedur?”

“Tak!”

“Nikah di mana dan siapa wali?”

“Nikah di Bangi, ayah pengantin perempuan yang jadi saksi.”

“Dah daftar kat mahkamah?”

“Belum.”

“Sebab?“

“Memang itu perjanjiannya. Saya kahwin dengan janda. Dia memang nak buat senyap-senyap. Dia juga pesan jangan bocorkan kepada isteri pertama saya. Dia sanggup tak terima hak sepenuhnya sebagai isteri.“

“Macamana boleh terbongkar?“

“Haa! Ini yang saya tak faham ni, dia sendiri telefon isteri pertama saya ucap Selamat Hari Ibu. Bila isteri saya tanya, dia mengaku dia isteri kedua saya dan suruh isteri saya tanyakan selebihnya kepada saya. Saya marah dan tak faham sungguh sebab saya kahwin dengan dia pun, setelah dia setuju nak rahsiakan perkahwinan ni...“

Panjang lagi ayat-ayat antara kami yang kesimpulannya, isteri pertama terpaksa terima bila saya nyatakan, perkahwinan kedua suaminya perlu didaftarkan sebab walau sejuta janji pun diberikan oleh si isteri kedua, isteri kedua tersebut tetap berhak mendapat hak yang sama sebgai seorang isteri, sama seperti dirinya. Tujuan saya membincangkan kes menyayat hati (sebab suami memang tak mampu, isteri pertama dan anak-anak dah dua kali dihalau keluar dari rumah sebab suami gagal jelaskan sewa dan si isteri pula, tidak bekerja – perkahwinan kedua tetap perlu disahkan dan didaftarkan sebab perkahwinan telah wujud dan si suami perlu berusaha keras untuk menampung kedua-dua isteri dan anak-anak) kerana saya nak ingatkan entah untuk ke berapa kali, kepada semua wanita dan gadis di luar sana, jangan sesekali anda menggadai hak anda sendiri.

Maksudnya? Seperti kes tadi, isteri kedua berjanji macam-macam hingga menggadai haknya sendiri asalkan dapat berkahwin dengan lelaki pilihannya. Janji sebelum dapat, boleh laaa... kalau dah dapat, dah jadi isteri yang sah, berapa lama anda boleh bertahan untuk menyembunyikan identiti diri anda yang sebenar? Kes tadi, tak sampai dua tahun. Banyak kes lain yang serupa, ada yang bertahan dua-tiga bulan ja. Sebabnya? Dah anda adalah isteri yang sah, yang mempunyai pelbagai hak yang boleh anda dapat daripada suami tetapi dek kerana identiti tersembunyi tersebut, anda tidak boleh menikmati segala hak tersebut. Bak kata setengah orang, daripada ada suami cam tak der suami, lebih baik tak perlu ada suami.

Ya lah, bermalam tak macam suami isteri yang lain. Nak bermesra makan-makan angin kat luar pun tak boleh. Beraya atau sakit demam, selalu sahaja seorang diri. Itu belum bab nafkah zahir makan minum pakai segala. Kadang-kadang terasa diri bagaikan perempuan simpanan dan bukan isteri yang sah, berapa lama anda dapat bertahan? Ada kes isteri kedua yang bocorkan rahsia, ada kes terjadi pergaduhan bila isteri baru memaksa suami mendedahkan identiti sebenar hubungan mereka dan ada kes, isteri yang kesepian ini mencari ‚ ’makan lain’ kat luar, nauzubillah!!

Paling penting untuk anda fahami, jika perkahwinan anda sah mengikut syarak dan dirahsiakan tanpa apa-apa pengesahan dan pendaftaran oleh Mahkamah Syariah dan Pejabat Agama berdekatan, hak anda sebagai isteri tidak mungkin diperolehi sekiranya terjadi kematian suami ataupun perceraian. Hatta, jika tidak ada surat nikah yang sah di Malaysia ini, anak anda tak mungkin dapat didaftarkan.

Ingat ya!! Setiap hak anda sebagai isteri di dalam perkahwinan ditetapkan oleh syarak dan undang-undang. Jika hanya nikah sah ikut syarak tetapi tiada rekod dalam undang-undang, belum melayakkan anda untuk menerima hak-hak tersebut. Seperti topik saya minggu lepas, tolooonnnnggggg lah sayangi diri anda lebih daripada menyayangi orang lain dan walau apa juga keadaan dan situasi, jangan sesekali menggadaikan hak anda sendiri sebab ia amat sukar ditebus semula.

**** Siaran Julai 2009

***Bagi mereka yang perlukan khidmat konsultansi daripada saya, boleh bersemuka, bercakap melalui telefon atau chat YM. Temujanji bersemuka diadakan di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

***Seminar WANITA PERKASA: Perkasa Diri, Perkasa Minda dan Perkasa Kewangan pada 1hb Februari 2012.

Maklumat lanjut hubungi talian 03-7967 6117 atau 013-2545965 atau layari http://bersamasuzana.blogspot.com

2 ulasan:

masitah berkata...

Salam puan, pagi ni kak tengok tv3, alhamdulillah kak pun cari puan dlm intnet. Syukur dapat ikuti blog puan.

Ya puan, ILMU sangat penting.

Kayu Manis berkata...

salam kenal..