18 Disember 2011

Bertindak wajar dan tepat demi anak-anak

Tidak lama dulu, dalam tiga tahun sebelum ini, saya menerima mesej melalui sistem pesanan ringkas daripada seorang remaja berusia 16 tahun, mengkhabarkan mengenai ketidakselesaannya untuk belajar dan untuk hidup dengan ceria di dalam rumah sendiri disebabkan kelakuan ibu bapanya yang sering bertengkar dan bergaduh tanpa mengira masa dan keadaan. Awal Mei yang lalu, PA saya memanjangkan satu kiriman SMS yang hampir sama: “Assalamualaikum Kak Su. Nama saya A####. Saya umur 12 tahun dan akan periksa UPSR tahun ni. Saya nak minta tolong Kak Su. Ibu dan ayah saya selalu bergaduh. Saya tak boleh nak belajar. Rasa macam nak keluar dari rumah......” Panjang lagi mesejnya tapi cukup sekadar itu.

Kenapa saya bincangkan tentang luahan rasa remaja kecil ini? Sepanjang lebih 11 tahun dalam kerjaya saya mengendalikan pelbagai kes rumahtangga, bermula tahun-tahun pertama dulu hinggalah tahun-tahun kebelakangan ini, satu fakta yang tidak pernah berubah walau ayatnya berbeza: tak boleh nak bercerai atau sanggup bertahan dalam perkahwinan yang menyeksakan demi fikirkan anak-anak. Jika benar anda fikirkan anak-anak, kenapa ada anak-anak yang menyimpan rasa sedih, tidak selesa dan tidak gembira di dalam hidup mereka? Bukan dua SMS ini sahaja, saya juga pernah menerima beberapa e-mel serupa. Mungkin tak banyak namun satu perkara yang masih enggan diakui hakikatnya oleh kebanyakan orang ialah ada tikanya perceraian ibu bapa adalah lebih baik untuk pembesaran anak-anak.

Ya!! Memang ada kajian yang menunjukkan ada di kalangan anak-anak pasangan yang bercerai mempunyai gangguan emosi. Jangan tak tahu, ada juga kajian yang membuktikan, kehidupan anak-anak lebih selesa dan ceria setelah ibu bapa mereka bercerai. Yang penting, seperti tajuk perbincangan saya kali ini, sebagai ibu dan bapa, kita perlu bertindak tepat dan wajar demi kebajikan anak-anak kita, bukan hanya kebajikan hari ini tetapi kebajikan anak-anak kita di belakang hari. Apa erti kebajikan untuk anak-anak jika setiap hari anak-anak melihat ibu bapanya bergaduh dan bertengkar? Kalau tak bergaduh pun, bermasam muka seolah musuh ketat yang amat dibenci. Atau pun ibu bapa tidak bertegur sapa, masing-masing dengan urusan sendiri dan ada tikanya anak-anak menjadi posmen menyampaikan mesej antara mereka. Malah ada kes, anak-anak menjadi benci dan dendam dengan ayah sendiri yang berterusan memarahi dan memukul ibu mereka dan paling ditakuti, sikap buruk ayah atau ibu dicontohi anak-anak seterusnya mereka mempraktikkan sikap serupa dalam perkahwinan mereka.

Kajian membuktikan juga, kebanyakan suami atau isteri yang bersikap keras dan kasar dengan isteri atau suami, atau ibu atau bapa yang bersikap keras dan kasar dengan anak-anak adalah disebabkan mereka membesar dalam persekitaran yang serupa. Ada individu yang memberikan alasan, anak-anak masih kecil, tunggu dah besar sikit barulah berpisah. Hakikatnya, kecil atau besar, bukanlah alasan untuk bertahan. Paling penting, apabila prinsip asas perkahwinan telah gagal diaplikasikan di dalam perkahwinan tersebut, setelah pelbagai usaha dilakukan maka jalan terbaik adalah keluar daripada perkahwinan.

Jangan salah anggap atau silap faham. Saya bukan menggalakkan perceraian tetapi kembali kepada fitrah, konsep semulajadi dan hikmah utama diadakan perkahwinan ialah supaya setiap individu iaitu suami dan isteri, bukan suami sahaja dan bukan isteri sahaja, merasai ketenangan dan kebahagiaan di dalam perkahwinan tersebut. Hikmah perkahwinan juga menyebut, setiap individu iaitu suami dan isteri, bukan suami sahaja dan bukan isteri sahaja, mempunyai peranan dan tanggungjawab yang tersendiri. Antara tanggungjawab tersebut ada juga tanggungjawab bersama iaitu memberikan kasih sayang dan didikan serta bimbingan untuk membesarkan anak-anak dalam persekitaran yang sihat.

Persekitaran yang sihat tidak termasuk suasana pergaduhan ibu bapa yang perlu dihadapi oleh anak-anak.

Jika anda dah berusaha sebaiknya bagi menyelamatkan perkahwinan namun tidak berjaya mengubah keadaan atau jadi semakin teruk, jalan terbaik ialah keluar dari perkahwinan tersebut. Gangguan emosi anak-anak selepas perceraian boleh dielakkan sekiranya anda masih menjalankan peranan dan tanggungjawab yang perlu kepada anak-anak. Ingat!! Perceraian hanya memisahkan suami dan isteri dan tidak memutuskan langsung hubungan ibu bapa dan anak-anak. Berterus terang dengan anak-anak, anda dan pasangan anda tidak boleh tinggal bersama lagi dan anak-anak akan tinggal dengan salah satu pihak dan pihak yang satu lagi masih boleh berjumpa dan bermesra dengan anak-anak. Untuk keputusan terbaik dan lebih tepat dan wajar, mintalah petunjuk daripada-Nya. Jangan lupakan Dia kerana Dia tak pernah lupakan kita cuma Dia takkan beri jika kita enggan minta daripada-Nya.

**** Siaran Ogos 2009

**** Seminar Wanita Perkasa: Perkasa Diri, Perkasa Minda, Perkasa Kewangan pada 1 Februari membincangkan empat topik - 1) Wanita bagaikan Permata oleh Ustaz Pahrol Juoi; 2) Wanita sebagai Isteri: Hak vs Tanggungjawab oleh Dr Raihanah Abdullah; 3) Wang Dicipta Bukan Dicari oleh Hjh Rohani Dato Shahir dan 4) Tangani Keganasan Nikmati Kebahagiaan oleh Suzana Ghazali, info layari http://seminarwanitaperkasa.blogspot.com/. Turut disediakan Klinik Guaman Syarie dan Klinik Kewangan PERCUMA buat para peserta!!

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam

saya bukan pakar hal rumahtangga tapi agak berpengalaman bervolunteer mengendalikan kes2 serupa. seperti Puan saya juga tidak menggalakkan perceraian.

my finding: antara sebab ramai suami takut bercerai bukan atas sebab2 hukum atau sayangkan anak2. perceraian hari ini involves tanggungan kewangan yang besar, lebih besar dari waktu masih dalam perkahwinan.

isteri pula takut hilang tempat bergantung walhal selama ini suami2 mereka kurang bertanggungjawab.

lalu mereka bertahan tanpa keikhlasan lantas mengabaikan emosi anak2. pasangan sebegini lebih mementingkan emosi dan ego mereka sendiri.

ForestOrchid berkata...

saya setuju dengan pn.suzana sayangi dulu diri sendiri..

Suhaila Mohd Shukor berkata...

Byk info berguna kat sini...terima kasih suzana