Seorang suri rumah meluahkan tentang kegagalan suami memberikan nafkah yang cukup untuk dirinya. Bila saya tanyakan tentang perbelanjaan rumahtangga, si isteri menjelaskan, segalanya disediakan oleh suami. Segala bil berkaitan termasuklah sewa rumah, duit kereta dan keperluan anak-anak. Nafkah tak cukup yang dimaksudkan oleh si isteri ialah si suami hanya mampu berikan dia RM250 sebulan dan jumlah tersebut tidak mencukupi disebabkan si isteri mempunyai kehendak yang pelbagai. Menurut si isteri, suaminya mampu sebab bergaji besar cuma agak kedekut.
Saya tak nak ulas panjang mengenai kes di atas. Tujuan saya memulakan perbincangan kali ini dengan kes tadi sebagai bukti bahawa masih ramai ahli masyarakat kita yang masih tidak faham tentang maksud nafkah. Nafkah yang menjadi tanggungjawab suami ialah untuk memberi isteri dan anak-anaknya makan minum, pakaian, tempat tinggal dan segala keperluan isteri dan anak-anak yang munasabah dan tidak bercanggah dengan syarak.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” – surah al-Nisa’ ayat 34.
Melihat kepada definisi sendiri iaitu KEPERLUAN ISTERI DAN ANAK-ANAK, maka terkeluarlah segala bentuk kemewahan. Sebagai contoh, seorang suami mampu menyediakan makan minum yang mengenyangkan untuk isteri dan anak-anak berupa nasi dan lauk yang sesuai, itu dikira telah menyediakan nafkah yang cukup walaupun hari-hari makan ikan dan sayur dan hanya sekali dalam sebulan makan daging atau ayam. Apabila suami telah menyediakan rumah yang sesuai dan munasabah, menyediakan pakaian yang sesuai dan menutup aurat, memberikan pendidikan kepada anak-anak atau secara mudahnya, segala keperluan harian telah disediakan dan tidak mengganggu perkembangan hidup isteri serta pembesaran anak-anak, bererti si suami telah menjalankan kewajipan nafkah yang patut dan munasabah dari hukum syarak.
Suami tak diwajibkan untuk menyediakan hidangan ayam goreng setiap hari atau hidangan ayam rending setiap kali waktu makan. Sama juga jika seorang suami memberikan isterinya telefon bimbit yang boleh digunakan untuk menelefon atau mengirimkan SMS, maka sekiranya si isteri berkehendakkan telefon bimbit yang boleh kirimkan MMS atau 3G, ia bukan lagi tanggungjawab suami dan suami boleh untuk tidak menunaikan kehendak tersebut walaupun suami berkemampuan. Sama dengan kes yang saya utarakan di awal tadi. Suami dah sediakan segalanya termasuk berikan duit poket untuk isteri bererti suami dah pun jalankan tanggungjawab yang patut dan perlu kepada isteri dan anak-anak.
Wang poket walaupun tidak termasuk di dalam kewajipan nafkah tetapi tetap perlu diberikan kepada isteri dalam kadar yang sesuai dan munasabah untuk tabungan dan simpanan bagi menghadapi kes-kes kecemasan. Seorang suami yang tidak memberikan duit poket yang sesuai dan munasabah adalah dikira telah melakukan keganasan kewangan kepada si isteri sekiranya si isteri adalah seorang suri rumah yang tidak mempunyai apa-apa hasil pendapatan selain daripada wang yang diberikan oleh si suami. Sekiranya si isteri bekerja atau pun suri rumah yang mempunyai pendapatan dari hasil kerja sampingan seperti menjahit, menjaga anak orang atau apa sahaja, suami boleh tidak berikan wang poket kepada isteri dengan syarat segala keperluan isteri dan anak-anak telah disediakan sepenuhnya oleh si suami.
Hukum juga menetapkan, kadar pemberian nafkah adalah mengikut kemampuan seorang suami dan suami tidak wajar membebankan dirinya melebihi dari kemampuannya yang sebenar. Maksud membebankan diri di sini ialah melakukan sesuatu yang melebihi kemampuan atau di luar upaya suami. Sebagai contoh berhutang dengan mana-mana pihak bagi merealisasikan kehendak isteri yang melampau.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Orang yang mampu memberi nafkah hendaklah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka dia hendaklah memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu). Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” – surah al-Talaq ayat 7.
Kemampuan juga bererti atas segala daya dan usaha suami, bukannya sekadar usaha setapak mengharapkan rezeki sebukit. Paling penting, tanggungjawab ditunaikan secara sedaya upaya sebab setiap suami akan disoal di akhirat nanti atas kegagalannya menyediakan segala keperluan tersebut.
****Siaran Ogos 2009
***Seminar WANITA PERKASA: Perkasa Diri, Perkasa Minda dan Perkasa Kewangan pada 1hb April 2012 dengan empat perbahasan: 1-Wanita Bagaikan Permata oleh Ustaz Pahrol Juoi, 2-Wanita sebagai Isteri: Hak vs Tanggungjawab oleh Dr Raihanah Abdullah, 3-Wang Dicipta Bukan Dicari oleh Hjh Rohani Dato Syahir, 4-Tangani Keganasan Nikmati Kebahagiaan bersama saya sendiri. Maklumat lanjut layari http://seminarwanitaperkasa.blogspot.com/.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan