Seorang suami mengadakan temujanji bersama saya menerusi telefon dari sebuah negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Suami berusia 40-an ini meluahkan rasa tidak selesa dengan penampilan si isteri, berusia hampir sebaya tetapi sering berpakaian dan bergaya lagak bagai anak dara. Tambah meresahkan si suami yang juga seorang yang dihormati di kejiranannya, apabila si isteri semakin berani bergaya seksi, langsung tidak mempedulikan usia yang makin bertambah sebaliknya semakin seronok bila digiat oleh rakan-rakan ‘nampak macam anak dara’. Bukan tak pernah menegur tetapi si isteri buat tak peduli. Si suami juga pernah membelikan pakaian-pakaian yang lebih baik tetapi langsung tidak diendahkan oleh si isteri. Malas nak gaduh, si suami mendiamkan diri dan menyimpan rasa tidak puas hati di dalam hati hinggalah baru-baru ini, segala yang terbuku diluahkan kepada saya, memohon bantuan dan nasihat, bagaimana nak dibuat dengan si isteri. Kali ini, saya tak nak ceritakan pesanan dan nasihat saya kepada si suami. InsyaAllah, saya akan kongsikan dalam perbincangan yang lain.
Fokus saya dengan topik minggu ini ialah setiap individu memang berhak untuk tampil menarik, menawan dan bergaya namun perlu diingat, biarlah kena pada tempat dan betul caranya. Ya! Bukan jalan raya sahaja ada peraturan. Berpakaian dan tampil di kalangan khalayak juga ada undang-undang dan peraturannya. Malah, Islam menetapkan seseorang individu, bukan sahaja wanita tetapi lelaki juga, perlu tampil dalam pakaian yang menutup aurat. Islam tidak melarang anda tampil menarik dan menawan tetapi pastikan setiap larangan yang dinyatakan dipatuhi. Sebagai contoh, Islam mewajibkan seorang gadis dan wanita berpakaian yang hanya boleh menampakkan tapak tangan dan muka. Bahagian badan selain muka dan tapak tangan yang didedahkan kepada lelaki bukan muhrim bererti anda mendedahkan aurat anda. Maka jika larangan tersebut tidak diendahkan, anda telah meletakkan diri anda dalam keadaan berdosa. Apa ertinya bergaya memikat mata syaitan yang bertopengkan manusia jika setiap inci tubuh anda bakal dihisab dan menerima pembalasan neraka? Menutup aurat juga bukan bererti membalut seluruh tubuh dalam keadaan setiap bentuk badan jelas kelihatan. Kalau berpakaian dah nampak sama macam tidak berpakaian, sah sudah anda sebenarnya berpakaian yang menelanjangkan diri anda sendiri.
Ingat!! Islam malah ugama lain juga tidak melarang sesiapa juga bergaya. Malah Islam dan ugama-ugama lain juga amat menitik beratkan setiap individu agar tampil menarik dan bergaya tetapi seperti yang saya jelaskan di awal tadi, biarlah kena pada tempat dan betul caranya. Kalau nak melayan pelanggan di kedai dengan memakai kain ketat berbelah sampai ke paha bersama dengan ’tube’ yang sudah pastinya ketat dan menjolok mata, bukankah dah hampir sama dengan wanita-wanita murahan yang mencari pelanggan di tepi jalan? Bukan saja agama malah adat ketimuran kita tidak menyukai kaum gadis dan wanita berpenampilan seksi dan mengghairahkan lelaki yang memandang. Saya tak cemburu jika anda berbadan cantik dan nak pamerkan kecantikan tubuh anda itu. Terus terang, saya sendiri sukakan wanita yang cantik dan berpenampilan menarik tetapi mestilah kena caranya. Ingatlah!! Kecantikan tubuh badan anda hanyalah untuk tontotan suami anda, bukan orang lain. Teringin nak tampil seksi? Tampillah di depan suami, biar hanya suami ‘melapah’ seluruh kecantikan milik anda. Nak uji kasih sayang suami? Bukan berpakaian seksi dan menjolok mata caranya. Suami dan bapa wajib mempastikan anak dan isteri berpakaian yang sewajarnya.
Ambillah panduan:
- Rasulullah SAW telah bersabda: "Bahawa anak perempuan apabila cukup umurnya, maka mereka tidak boleh dilihat akan dia melainkan mukanya dan dua tapak tangannya hingga pergelangan." (H.R Abu Daud)
- Rasulullah SAW bersabda: "Hai Asma', sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah baligh (cukup umur), tidak boleh dilihat daripadanya kecuali ini dan ini sahaja," sambil Rasulullah menunjukkan muka dan kedua belah tapak tangannya.- H.R Abu Dawud, Baihaqy dan Thabrany.
- "Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasanmu seperti orang jahiliyah yang terdahulu" - bersolek atau sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahiliyah.
- "Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutup dada-dada mereka."
- "Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata itu adalah zina." (H.R. Nasa'i, Ibn Khuzaimah dan Hibban)
- "Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan." surah an-Nur ayat 31 - menampakkan kaki, menghayunkan atau melenggokkan mengikut hentakan kaki.
****Sertai Seminar Wanita Perkasa pd 1 April, info layari http://seminarwanitaperkasa.blogspot.com/.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan