Alhamdulillah, saya diberikan peluang oleh Kem. Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk bertemu dengan orang ramai khususnya wanita menerusi siri Seminar Menangani Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-kanak. Bermula Mei, hampir setiap minggu saya berpeluang berkongsi sedikit ilmu yang ada beserta pengalaman mengendalikan kes-kes berkaitan dengan para peserta dari beberapa daerah di negeri Selangor, Kedah, Pahang dan Johor. Pelbagai kes baru juga diadukan kepada saya. Dalam ribuan peserta yang telah saya temui, ada beberapa peserta yang mengadukan masalah dan setelah diberikan jalan untuk penyelesaian, jawapan yang saya terima amat menghampakan saya.
Ada satu kes, seorang isteri yang sering sangat dipukul oleh suami hanya disebabkan kesilapan kecil. Pernah beberapa kali, si isteri perlu mendapatkan rawatan di klinik kesan daripada pukulan tersebut. Dalam kes lain, seorang isteri yang baru berkahwin enam bulan, sudah mula dicekik oleh suami ketika perkahwinan berusia dua bulan gara-gara ketidakpuasan suami dengan cara isteri menguruskan rumahtangga. Kes lain, seorang isteri yang dah 12 tahun berkahwin dan punya empat orang anak, tidak pernah menerima walau satu sen pun daripada suami. Semua ditanggung sendiri termasuk keperluan anak-anak dan si suami hanya bertindak memberikan nafkah batin semata-mata (yang dah pastilah mengutamakan haknya sendiri).
Terlalu banyak kes lagi dan antara jawapan yang mengecewakan saya: “susahla Su…. nak kena buat itu ini, nak kena jumpa orang tu orang ni… nak kena pergi sana pergi sini….” Terlau banyak yang susah, yang payah, yang negatif…. ! Amat mengecewakan saya…seperti yang selalu saya tegaskan, saya dan mereka yang lain yang dalam bidang yang sama dengan saya, hanya mampu memberikan jalan menuju penyelesaian. Jika anda sebagai orang yang menghadapi masalah tersebut tidak mahu berusaha mencari jalan keluar, keadaan akan tetap sama dan tidak akan mengubah apa-apa.
Ya..!! Memanglah payah! Nak uruskan apa juga kes, perlu ada bukti dan sokongan. Nak ada bukti dan sokongan, perlulah lakukan sesuatu atau berjumpa dengan mereka yang perlu. Hanya perlu ikhtiar dan usaha. Tidak ada perkara yang senang dalam dunia ini. Nak makan, aktiviti mudah yang setiap hari kita lakukan pun akan jadi payah kalau tak nak ikhtiar. Letak ja makanan di depan anda, tenung dan duduk diam ja, bolehkah anda kenyang? Nak kena ikhtiar cuci tangan atau ambil sudu, suapkan ke mulut, kunyah-kunyah kemudian telan… haaa, barulah namanya makan!! Nak ‘buang’ pun payah, nak kena kerut dahi meneran dulu baru nak keluar… semuanya perlukan usaha dan ikhtiar. Kenapa terlalu malas nak usaha dan ikhtiar untuk diri anda sendiri?? Ya!! Untuk diri anda sendiri, bukan untuk saya atau untuk orang lain.
Seperti tajuk perbincangan saya, pilihan di tangan anda. Jika anda nak keluar dari penderitaan, anda boleh keluar dan usahakanlah ke arah tersebut. Jika anda berhasrat untuk keluar tapi enggan berusaha, takkan ada orang lain yang boleh tolong usahakan untuk anda. Gunakan peguam pun masih dikira usaha anda sebab anda perlu keluarkan wang untuk khidmat tersebut. Secara mudahnya, segalanya bermula dari diri anda. Malah Allah SWT dah jelas menyebut di dalam surah al-Ra’du ayat 11 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.” Kaum yang dimaksudkan di sini juga termasuklah keadaan seseorang individu.
“Susah la Pn Su jadi ibu tunggal ni, nak hadapi masyarakat. Nak teruskan hidup. Anak-anak lagi...” “ Saya ni masih sayang lagi dengan suami. Walaupun suami saya suka pukul tapi saya yakin dia masih sayangkan saya...” Antara luahan mereka yang pernah berurusan dengan saya. Saya hormati pendapat dan pandangan anda namun sebagai seorang manusia yang waras dan terlibat dalam bidang kerjaya ini, saya tidak boleh terima pendapat dan alasan tersebut. Perhatika sekeliling anda, berapa ramai wanita yang menjadi ibu tunggal tetapi berjaya meneruskan kehidupan malah ternyata hidup mereka lebih baik daripada sebelumnya.
Kerenah masyarakat? Ada tikanya sikap anda sendiri yang menimbulkan kerenah masyarakat yang pelbagai. Jika sebaliknya pun, berpegang dengan satu prinsip, tak der kehidupan yang dapat lari dari umpat keji masyarakat. Buat baik pun dikata, buat jahat memang lah lagi teruk umpatnya. Jika hidup dengan tujuan mengelak kata-kata masyarakat, anda memang tak boleh hidup selesa. Jika anda yakin setiap tindakan anda tidak menyalahi kehendak syarak, pedulikan apa juga kata orang. Anak?? Baca semula perbincangan saya yang berkaitan dalam tiga siri sebelum ini. Sayang?? Apa ertinya sayang jika yang diberikan kepada anda adalah ketakutan dan penderitaan dan paling penting, sayangilah diri anda lebih daripada menyayangi orang lain.
Tolooongg lah!! Saya bukan menggalakkan perceraian. Perceraian walau tidak disukai Allah tetapi ia halal sebagai jalan keluar terbaik jika prinsip dan hikmah perkahwinan yang digariskan oleh syarak, gagal mencapai tujuan. Saya hanya menyarankan... anda tentukan!!
****Siaran September 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan