23 Mei 2012

Fahami konsep keganasan terhadap wanita

Minggu ini, saya nak bincangkan tentang konsep keganasan yang saya kongsikan bersama ramai peserta Seminar Menangani Keganasan Terhadap Wanita anjuran Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Pengalaman memberikan lebih daripada 15 siri ceramah tersebut memberikan saya satu maklumbalas: masih ramai lagi kaum wanita khususnya isteri yang belum memahami erti dan maksud keganasan rumahtangga. Rata-rata wanita memahami keganasan berlaku apabila seorang isteri dipukul, ditempeleng, disepak, diterajang dan pelbagai lagi bentuk keganasan melibatkan fizikal.

Hakikatnya, menurut psikologi, keganasan ialah sebarang bentuk perlakuan yang mendatangkan bahaya, bukan sahaja dalam bentuk fizikal tetapi melalui apa juga cara atau teknik yang boleh menyebabkan gangguan mental dan emosi kepada mangsa. Berasaskan definisi ini, apa-apa perlakuan yang boleh mendatangkan bahaya kepada mangsa adalah suatu keganasan. Malah, mana-mana perbuatan yang menyekat dan menafikan hak dan kebebasan seseorang itu juga dianggap sebagai keganasan.

Secara ringkasnya, keganasan terhadap seorang wanita atau isteri boleh diklasifikasikan kepada lima jenis iaitu:
1.    Keganasan Fizikal merangkumi perbuatan seperti memukul, menumbuk, menampar, menggigit, menendang, melukakan, mematahkan tulang, membaling barang dan menggunakan senjata kepada mangsa. Juga perbuatan menghalang keperluan manusia seperti makan, minum, tidur dan juga tempat perlindungan;

2.    Keganasan Seksual iaitu sesuatu yang merangkumi apa juga perlakuan atau pertuturan secara berulangan, dilakukan sama ada secara fizikal, gerak isyarat atau ucapan berunsur seks seperti di tempat kerja. Termasuklah menyentuh tubuh, diajak berulang-ulang untuk memenuhi temujanji secara paksa dan pujuk rayu supaya melakukan seks serta menggunakan gambar-gambar lucah di tempat kerja;

3.    Keganasan Sosial berlaku apabila wanita sering didorong untuk bergantung kepada pasangan masing-masing dan diasingkan dari mendapatkan sokongan luar. Malah wanita ini akan dikongkong serta dilarang daripada keluar untuk bekerja atau mengetahui dunia luar;

4.    Keganasan Kewangan melibatkan seseorang wanita yang dihalang dari mencari pekerjaan atau tidak dibenarkan untuk membuka akaun bank atau menyimpan wang pendapatannya sendiri. Termasuk juga wanita yang bekerja tetapi ditahan daripada menggunakan haknya sendiri malah hak tersebut diambil secara paksa atau paksa rela oleh orang lain, menyebabkan wanita tersebut bergantung sepenuhnya kepada orang lain untuk mendapatkan wang walaupun untuk keperluan asas sendiri. Serta tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk kes-kes kecemasan:

5.    Keganasan Psikologi dan Emosi (yang jarang diketahui oleh wanita) meliputi perbuatan seperti ugutan, penghinaan termasuk juga caci maki dan kata-kata sindiran dan sinis. Walaupun mangsa tidak mengalami sebarang bentuk kesan luka yang boleh dilihat namun mangsa boleh mengalami tekanan perasaan yang amat teruk juga hilang upaya untuk mengawal emosi secara normal yang kesan jangka pendek atau jangka panjang boleh menyebabkan kemungkinan mangsa melakukan sesuatu yang di luar kawalan.

Saya yakin, ramai pembaca masih lagi ingat dengan kisah ibu yang menjerut leher anak-anak, ibu yang membakar diri bersama anak-anak dan beberapa kes lain. Kajian mendapati si ibu atau wanita tadi mengalami kemurungan yang tinggi yang punca asalnya adalah disebabkan tertekan dengan sikap suami atau saudara sekeliling. Jika anda berdepan dengan situasi tekanan perasaan disebabkan sikap suami atau isteri (ada juga kes suami menjadi mangsa keganasan ya) yang kasar, keras, baran, sering mencaci maki, bercakap dengan kasar dan suara yang tinggi hingga mengganggu ketenangan fikiran anda, bermaksud anda telah pun menjadi mangsa keganasan.

Ada yang tanya saya ketika sesi ceramah: Kalau dah tinggi suara boleh jadi keganasan, takkanlah tak boleh nak marah langsung? Saya tak nafikan, dalam melayari bahtera perkahwinan, ada tikanya berlaku pergaduhan yang menyebabkan berlakunya tinggi suara. Ya! Kalau sesekali bergaduh tu, memanglah adat berumahtangga tapi jika selalu dan setiap kali itu juga ayat-ayat bisa yang tak sepatutnya dilafazkan kepada isteri atau suami dikeluarkan sebagai contoh mencaci pasangan dengan perkataan babi, pelacur, setan dan sebagainya, itu bukan lagi pergaduhan sebaliknya satu penderaan: anda telah terlibat dalam kes keganasan melibatkan emosi dan psikologi.

Bagaimana pula nak buktikan kes keganasan emosi dan psikologi ini? Tungguuuu!!!

****Siaran Oktober 2009.
**** Seminar Perkasa Wanita pada 30 Jun (RM100 sahaja) dan Bengkel Pengendalian Kes di Mahkamah Syariah pada 7 Julai (RM150) sahaja. Diskaun istimewa untuk penyertaan kedua-duanya sekali. Maklumat lanjut hubungi talian 013-2545965 atau layari http://seminarwanitaperkasa.blogspot.com/.



1 ulasan:

cilipadi berkata...

Penderaan psikologi dan emosi : memang perlu diwar-warkan.Saya yang tahu kewujudannya juga boleh tertipu dan tidak menyedari bahawa saya dan keluarga telah terjerumus di dalamnya selama >15 tahun...Keresahan hati dan perasaan selama ini telah terjawab...saya hilang keyakinan diri/hilang diri selama >15tahun ini.Dalam pada saya cuba membaiki diri kerana saya telah disogokkan dgn ide yang saya yg bersalah/kurang macam2,saya menjumpai bukti2 yang sebaliknya dan seterusnya kembali yakin dengan diri kerana saya tetap dgn Allah.Subhanallah...nasib baik saya tidak hilang akal,Puan harus sebarkan ilmu ini supaya tiada lagi wanita2 jadi mangsa.Wallahualam.