08 Julai 2012

Kesan bersetubuh tika tempoh eddah


Memang cuti sakan saya raya kali ni. Seminggu sebelum raya dah mula bercuti. Bukan sekadar tak terima temujanji, e-mel dan blog juga tak sempat nak jenguk. Hinggalah hari ini, hari keempat Aidilfitri, itu pun sebab nak kena antar bahan untuk ruangan ini kepada pihak Mingguan Wanita. Daftar masuk e-mel, ada lebih 100 e-mel. Saya klik e-mel di takhta teratas: e-mel ringkas tanpa tajuk: Puan, saya dan suami telah bercerai pada pertengahan Julai lalu. Hari raya baru ni, kami telah terlanjur tika suami berkunjung untuk menziarah anak-anak. Selepas itu, suami kembali seperti biasa, tinggal berasingan seperti kami mula bercerai dulu. Semalam, saya sms tanyakan tentang hubungan kami. Suami balas: “Saya tak ada niat nak rujuk dengan awak. Dah awak suka, saya teruskan ja la.” Tolong saya Puan, apa kedudukan saya sekarang?

Syukur Alhamdulillah dan terima kasih kepada pengirim e-mel kerana memudahkan urusan saya. Mula tadi, rasa pening juga fikirkan topik untuk dibincangkan kali ini. Banyak kes saya terima tapi agak susah nak jumpa kes yang sesuai untuk perbincangan bersama.

Kembali kepada kes tadi: secara mudahnya, apabila seorang wanita melakukan hubungan seks dengan bekas suaminya tika masih di dalam tempoh eddah (rujuk perbincangan saya berkaitan tempoh eddah melalui ruangan ini pada Oktober tahun lepas), rujuk yang bermaksud mengembalikan isteri kepada nikah dalam waktu eddah yang bukan talak bain, boleh dikira telah berlaku. Ulama mempunyai beberapa pendapat berkaitan dengan rujuk. Ada yang menetapkan, rujuk hanya berlaku dengan perkataan iaitu lafaz yang menunjukkan kembali kepada isteri sama ada secara terang ataupun kiasan.

Ada pula yang menetapkan, rujuk juga boleh berlaku dengan perbuatan sebagai contoh melakukan persetubuhan secara rela tanpa paksaan walaupun tidak disertakan dengan lafaz rujuk terlebih dahulu. Amalan di Malaysia, mengambil kira kedua-dua pendapat ini dengan mengutamakan niat pihak suami untuk merujuk dan rujuk tersebut dipersetujui oleh bekas isteri. Lantaran itu, rujuk ditetapkan mempunyai tiga rukun iaitu lafaz rujuk, suami dan isteri. Suami hendaklah seorang yang berakal, baligh, tidak murtad dan ingin melakukan rujuk dengan kehendak dan kerelaan sendiri, bukan paksaan daripada sesiapa.

Mengambil kira syarat utama tersebut, bekas isteri yang melayan kehendak seks bekas suami dikira telah menerima ‘rujuk’ yang dimulakan oleh bekas suami tersebut. Dengan anggapan dan kepercayaan si suami ingin merujuk dan si isteri bersedia menerima maka hubungan seks yang berlaku adalah sama dengan kedudukan rujuk dengan perbuatan. Hubungan seks tersebut adalah halal. Namun, apabila anggapan dan kepercayaan si isteri tersalah dan tersasar, atau dengan kata mudah, si suami menyatakan tidak berniat untuk merujuk maka hubungan seks yang berlaku dikira sebagai persetubuhan syubhah. Jika ada anak yang lahir berpunca daripada hubungan seks tersebut, anak tersebut juga dikira sebagai anak syubhah.

Undang-undang Keluarga Islam memperuntukkan, “Jika seseorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan, dan kemudian perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu”. Peruntukan itu bermaksud, setiap anak yang lahir melalui persetubuhan syubhah tetap dianggap sebagai anak sah taraf dan anak kandung kepada bapanya sekiranya dilahirkan di antara tempoh enam bulan hingga empat tahun qamariah dikira bermulanya dari persetubuhan itu berlaku.

Bekas isteri atau wanita yang terlibat dalam hubungan syubhah ini perlu memulakan kembali tempoh eddah mereka bermula sejurus selepas hubungan seks tanpa niat rujuk tadi selesai. Wanita ini haram berkahwin dengan mana-mana lelaki selagi tempoh eddah baru tersebut belum tamat. Jika terjadi perkahwinan maka perkahwinan yang berlaku adalah tidak sah dan pasangan yang terlibat perlu difaraqkan. Bekas suami? Tak ada apa-apa kesan berkaitan malah dia boleh berkahwin dengan mana-mana perempuan yang halal dinikahi namun jika seorang lelaki bersetubuh dengan bekas isteri tanpa ada niat untuk rujuk maka si suami boleh dianggap sengaja bertindak untuk menganiayai bekas isterinya dan hukumnya adalah haram dan berdosa. Jika tika pada awalnya si suami berniat untuk rujuk tetapi kemudiannya menafikannya, ia boleh menambahkan jumlah talak yang berlaku.

Nasihat saya kepada para wanita yang telah diceraikan, elakkan tinggal serumah dengan bekas suami malah elakkan untuk berdua sahaja dengan bekas suami di ruangan tersembunyi. Paling penting, minta penjelasan suami tentang hakikat perhubungan anda sekiranya bekas suami mengkehendakkan layanan istimewa di ranjang. Pastikan, jika benar suami berniat untuk rujuk, minta suami lafazkan dengan jelas dan terang dan segeralah ke pejabat agama yang berdekatan untuk mendaftarkan rujuk tersebut. Jangan tertipu dengan ayat-ayat power bekas suami sedangkan anda tidak pasti, di mana kedudukan anda? Ingat!! Jangan terpedaya kelak nanti anda yang teraniaya!!

 **** Siaran Oktober 2009

Tiada ulasan: