17 Mei 2012

Selarikan luahan sayang dengan tindakan



Tika masih sibuk mengemas rumah minggu lepas, saya menerima satu mesej pesanan ringkas, mesej daripada seorang klien lelaki yang ditujukan kepada isterinya yang juga klien saya (mereka telah beberapa kali mendapatkan khidmat rundingcara dengan saya dan satu kata putus telah dibuat lebih kurang tiga bulan lalu). Usai membaca mesej tersebut, saya simpan semula telefon bimbit saya, belum ada ‘kudrat’ untuk memberikan maklumbalas. Pagi berikutnya, ketika menunggu waktu subuh, saya balas mesej tersebut. Agak panjang tetapi satu perkara yang ingin saya kongsikan dengan pembaca kali ini ialah terma yang sama dengan tajuk perbincangan saya kali ini iaitu: perlu selarikan kata-kata sayang dengan tindakan.

Saya tak nak ulas panjang kes suami isteri yang menjadi klien saya tadi. Fokus dan sasaran saya untuk perbincangan kali ini ialah semua pembaca tak kira suami atau isteri malah termasuk juga setiap ibu bapa dan anak-anak. Saya yakin, setiap ahli masyarakat pernah mengucapkan sayang malah mengerti dan memahami erti sayang. Ibu bapa sayangkan anak dan sebaliknya, suami sayangkan isteri dan sebaliknya dan jika dalam konteks global, sayang sesama saudara dan rakan taulan juga. Saya masih ingat lagi, satu ayat ‘berhantu’ ketika saya di MPPUM dulu: Tiada yang lebih indah di dalam hidup ini selain melihat kebahagiaan insan yang kita sayangi.

Saya yakin ramai yang memahami makna tersirat di sebalik ayat tersebut. Ya!! Pengorbanan demi insan yang disayangi. Sanggup melakukan apa saja asalkan orang yang disayangi rasa gembira dan bahagia. Jangan salah faham, saya tak suruh anda berkorban hingga ke tahap melampau seperti lirik lagu P.Ramlee di dalam filem Hang Tuah: Berkorban apa saja, harta ataupun nyawa, itulah kasih mesra, sehati dan sejiwa…

Satu perkara yang pasti, jika anda benar-benar sayangkan seseorang dan tumpuan saya dalam perbincangan kali ini adalah kasih sayang suami isteri, anda perlu selarikan kata-kata sayang tersebut dengan tindakan anda. Maksudnya? Seorang suami yang meluahkan sayang kepada isteri perlulah bertindak merealisasikan maksud kasih sayang tersebut dalam bentuk tanggungjawab yang perlu dan wajar sebagai seorang suami. Sama juga, seorang isteri yang meluahkan sayang kepada suami perlulah bertindak merealisasikan maksud kasih sayang tersebut dalam bentuk tanggungjawab yang perlu dan wajar sebagai seorang isteri.

Jika benar sayang, takkan ada suami yang lalai, abai atau enggan tunaikan tanggungjawab memberikan nafkah yang patut untuk keperluan isteri dan anak-anak. Jika benar sayang, takkan ada suami yang sesuka hati membelasah isteri hingga lebam-lebam dan bengkak-bengkak. Jika benar sayang, takkan ada suami yang menempik, mencaci maki atau menyakitkan emosi isteri. Sama juga, jika benar sayang, takkan ada isteri yang memperbodohkan suami dengan ilmu guna-guna. Jika benar sayang, takkan ada isteri menyalahgunakan keizinan yang diberikan oleh suami untuk bekerja dengan keluar mencari cinta lama waktu remaja.

Untuk para isteri, satu pesanan saya, jangan salah faham luahan kasih sayang suami kepada anda dan juga luahan kasih sayang anda kepada suami. Pengalaman saya lebih 11 tahun dalam bidang psikologi keluarga dan guaman syarie, terlalu ramai isteri yang sanggup pejam mata bila suami enggan membiayai keperluan rumahtangga atau bersikap baran dan garang hingga naik tangan, disebabkan yakin dengan luahan sayang si suami. Tapi bila saja dapat tahu si suami ada teman wanita atau isteri lain, barulah biji mata terbeliak bagai nak terjojol lagaknya. Masa ni, barulah nak ungkit itu ini, nak marah itu ini dan macam-macam lagi.

Seperti yang saya tegaskan di awal tadi, seorang suami yang benar-benar sayangkan isterinya, akan berusaha untuk menjalankan segala tanggungjawab yang patut dan wajar termasuklah membiayai keperluan rumahtangga dan melayani si isteri dengan baik. Seorang suami yang benar-benar sayangkan isterinya juga takkan biarkan isterinya berhempas pulas berusaha dan bekerja bagi menggantikan peranannya dalam menampung keperluan rumahtangga.

Ya!! Rumahtangga adalah perkongsian namun lelaki tetap yang utama, suami tetap di takhta pertama, pemula segala perkara, penyelesai segala masalah yang tiba. Bukannya diam berteleku di belakang isteri atau menyerahkan segalanya untuk ditangani oleh isteri. Kalau makan pakai isteri dicari sendiri oleh isteri, makan pakai anak-anak pun tanggungjawab isteri hatta makan pakai suami pun dibiayai isteri, apa lagi bukti kasih sayang suami? Sekadar sebagai teman tidur isteri kala malam hari? Bila isteri penat nak layan, sesenang hati pula membelasah isteri? Itu namanya sayang? Itu buktinya sayang? Sayang apa kalau taraf isteri lebih hina daripada taraf seorang pelacur. Ya lah, sekurang-kurangnya pelacur dibayar untuk ditiduri tapi anda sebagai isteri?? Anda membayar untuk ditiduri? Tunggu perbincangan saya tentang kehendak batin suami isteri: siapa sebenarnya memberi dan siapa sepatutnya menerima?

****Siaran Oktober 2009

**** Seminar Perkasa Wanita pada 30 Jun (RM100 sahaja) dan Bengkel Pengendalian Kes di Mahkamah Syariah pada 7 Julai (RM150) sahaja. Diskaun istimewa untuk penyertaan kedua-duanya sekali. Maklumat lanjut hubungi talian 013-2545965 atau layari http://seminarwanitaperkasa.blogspot.com/.


2 ulasan:

ForestOrchid berkata...

"Sayang apa kalau taraf isteri lebih hina daripada taraf seorang pelacur. Ya lah, sekurang-kurangnya pelacur dibayar untuk ditiduri tapi anda sebagai isteri?? Anda membayar untuk ditiduri? " ini yang banyak berlaku dalam kehidupan bersuami isteri,

dee berkata...

betul tu.itu la yang saya alami.berhempas pulas mencari rezeki.wujud untuk diambil kesempatn,jadi teman tidur,etc.kata sayang.tapi...tak jalankan tanggungjawab.sedih.sekarang saya dalam proses kaunselling di pejabat agama.