06 September 2012

Bukan cinta atau harta asas bahagia


“Tak mau ah! Hang tak pi, aku pun tak mau pi!”

Meneliti ayat di atas, apakah yang terlintas di fikiran anda kini? Rasa-rasanya, siapa yang mengucapkan ayat tersebut? Seorang kanak-kanak? Atau seorang dewasa?

Sebenarnya, dua hari lepas (tika perbincangan ini disediakan) adalah hari ulangtahun kelahiran Mak saya yang ke 55, juga ulangtahun kelahiran adik kelima saya kali ke 26. Seperti biasa, setiap ulangtahun kelahiran ahli keluarga disambut dengan jamuan makan beramai-ramai. Bezanya kali ini sambutan untuk Mak diadakan di rumah baru saya di Bandar Laguna Merbok. Bagi menambahkan kemeriahan, saya mengajak Tok dan Wan (ibu dan bapa kepada Mak saya berusia sekitar 90an) untuk turut serta kebetulan rumah Tok tak jauh pun dari rumah saya, dalam 15Km sahaja.

Ayat di atas tadi dilafazkan oleh Wan saya ketika diusik oleh Tok; mintak Wan bersiap untuk ikut saya dan dia tak pergi sebab kena ada orang tunggu di rumah. Terus terang, nampak jelas kasih dan sayang antara pasangan yang masing-masing telah mengenakan tongkat bagi membantu mereka berjalan. Adik lelaki saya berusia 25 tahun sempat mengorek rahsia kasih sayang Tok dan Wan tak lama selepas itu bila Tok dan Wan ikut pula ke rumah Mak di Sik. Kata Tok: “Kahwin dulu sebab orang tua suruh. Tak tau pun sayang ka, kaya ka. Wan pun kerja tukang sapu sampah ja. Tapi sebab dah terima jadi suami, kena terima dengan ikhlas la….” Ringkas ja jawapan Tok tapi cukup untuk saya kongsi dengan pembaca semua rahsia utama kekalnya perkahwinan mereka yang dikurniakan 12 orang cahayamata, hampir 100 cucu dan dah berpuluh cicit dan ciut (anak cicit- ikut kata Tok la) sekarang ni.

Ya! Rahsia utama untuk kekal bahagia ialah ikhlas atau lebih tepat lagi niat yang ada ketika berkahwin seterusnya ketika menjalani hari-hari mendatang selepas perkahwinan tersebut. Saya yakin, ramai mengetahui mafhum hadis Rasulullah SAW: “Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat. Barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan rasul-Nya maka baginya Allah dan rasul-Nya. Barangsiapa berhijrah kerana harta dunia, dia akan memperolehinya dan jika kerana wanita maka dia akan dapat menikahinya. Maka setiap hijrah itu berdasarkan setiap apa yang diniatkannya!!”

Hadis ini menjelaskan bahawa di dalam setiap apa jua pekerjaan atau tindakan yang kita lakukan, asas utama yang menentukan halatuju dan keputusan pekerjaan atau tindakan tersebut ialah niat kita. Begitu jugalah halnya dengan perkahwinan. Jika seseorang berkahwin kerana rupa paras yang cantik, dia akan memiliki paras yang cantik tersebut dan bila tiada lagi paras yang cantik, maka perkahwinan mula goyah dan goncang lantaran usaha mendapatkan rupa cantik yang lain. Jika seseorang itu berkahwin kerana harta, dia akan memiliki harta idamannya tetapi bila harta tiada lagi, perkahwinan akan bermasalah disebabkan kecenderungan untuk mendapatkan seorang yang lain yang mampu memberikannya harta idamannya. Sama juga jika perkahwinan hanya kerana keinginan seks semata-mata, perkahwinan akan bermasalah bila keperluan seks tidak berjaya dipenuhi.

Ya! Saya akui, antara hikmah perkahwinan ialah untuk menghalalkan hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan tapi perlu diingat, bukan itu hikmah utama malah terdapat beberapa hikmah lain yang dah selalu sangat saya tegaskan melalui ruangan ini. Pokoknya, jika anda ikhlas menerima pasangan anda, berkahwin dengan niat untuk berkongsi hidup bersama-sama tak kira dalam suka atau duka asalkan di dalam redha-Nya, insyaAllah anda akan bahagia, sama seperti Tok dan Wan saya tadi. Sebabnya, bila anda ikhlas menerima pasangan anda dan mempunyai niat untuk setia tak kira apa jua situasinya, secara automatiknya anda akan berusaha memberikan yang terbaik kepada pasangan anda, berusaha menjalankan segala peranan dan tanggungjawab yang patut dan perlu di sepanjang tempoh perkahwinan anda malah anda boleh menerima segala kekurangan yang tiba-tiba hadir tanpa diduga serta bersedia memberi peluang agar pasangan kembali berubah. Paling utama, keikhlasan anda dan niat anda menerima pasangan anda di awal perkahwinan juga akan mampu mengubah sikap anda yang tersasar dan tersesat tika berdepan liku-liku perjalanan perkahwinan anda.

Paling penting, kedua-duanya kena ikhlas dan berniat yang serupa lah. Kalau anda seorang saja yang ikhlas dan berniat untuk setia dalam apa jua keadaan sebaliknya pasangan anda hanya pura-pura ikhlas dan punyai niat tersembunyi yang nyata bukan untuk kekal setia walau dalam apa juga situasi, memang sukarlah untuk kekal bahagia. Seperti yang selalu saya kongsikan dalam ceramah saya; suami dan isteri kena bertindak serupa Wonderpets; apa yang penting… kerjasama! Perlu kedua-duanya bekerjasama! InsyaAllah, biar bukan bermula dengan cinta, biar tiada harta asalkan ikhlas dan berniat baik, insyaAllah perkahwinan akan tetap bahagia!!

****Siaran Mac 2010