Pertama sekali, saya mohon maaf andai ada dari kalangan
pembaca yang merasakan topik perbincangan saya kali ini agak melampau. Hakikatnya,
perbincangan mengenai hubungan seksual suami isteri bukan sesuatu yang melampau
atau lucah sebaliknya perlu juga diberikan perhatian agar keharmonian hidup
bersuami isteri berjaya dicapai. Saya terpanggil untuk membincangkan topik ini
setelah berhadapan dengan satu kes gangguan kebahagiaan dan ketenangan dalam
hidup berumahtangga yang berpunca daripada masalah seksual. Walaupun sebelum
ini saya dah pernah berhadapan dengan banyak kes serupa namun kali ini,
kedua-dua pasangan suami isteri bermasalah dalam hubungan seksual yang berpunca
daripada kehendak istimta’ yang berbeza menyebabkan hubungan yang sepatutnya
berjalan dengan aman dan penuh kasih sayang bertukar menjadi satu pergaduhan
dan kebencian yang berlarutan hingga lebih 10 tahun.
Hakikatnya, istimta’ atau foreplay memang diharuskan di dalam Islam, bertujuan untuk
memberikan ketenangan dan keselesaan kepada kedua-dua pihak iaitu suami dan
isteri ketika melakukan hubungan intim. Diulangi, untuk memberikan ketenangan dan keselesaan kepada kedua-dua pihak bererti bukan sahaja suami malah
bukan sahaja isteri tetapi kedua-duanya perlu merasa selesa dan merasai nikmat
dan kepuasan daripada hubungan intim yang dilakukan. Malangnya, ramai yang
berpendapat, kepuasan di dalam hubungan intim hanyalah hak suami sebaliknya
isteri dibiarkan memujuk kepuasan sendiri. Seperti topik kali ini, hubungan
intim suami isteri adalah satu kewajipan toleransi antara suami dan isteri.
Kenapa toleransi? Kan
ke ada hadis yang menegaskan, kalau suami nak, isteri perlu melayan walau tika
itu berada di atas bonggol unta?! Saya masih berusaha mencari matan dan perawi
yang tepat bagi hadis tersebut. Namun, ada juga hadis lain yang serupa tetapi
jarang diambil peduli: Menurut Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w telah
bersabda: “Jika seseseorang antara kamu
melakukan hubungan kelamin dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh.
Apabila dia hendak menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan
isterinya belum sampai klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (untuk
menamatkan persetubuhan tersebut) sehingga hajat isterinya diselesaikan pula.”
- hadis riwayat al-Suyuthi.
Hadis ini meminta agar para suami menjaga perasaan isteri
ketika berjimak dan melakukannya dengan niat agar kedua-dua belah pihak
mencapai kenikmatan. Janganlah para suami hanya memikirkan kepuasan diri
sendiri tanpa memastikan isteri mereka juga sudah mencapai klimaks. Termasuklah
aktiviti-aktiviti istimta’ yang dikehendaki oleh setiap pasangan. Tak perlulah
saya jelaskan satu persatu tentang aktiviti-aktiviti tersebut. Jika ada yang
belum tahu, belajarlah dari sumber-sumber yang sahih dan benar dan paling
penting, perlakuan istimta’ tersebut bukanlah sesuatu yang dilarang di dalam
Islam.
Biarpun istimta’ adalah harus dan digalakkan namun, masih
sama dengan kepuasan hasil hubungan intim yang perlu dialami dan dirasai oleh
kedua-dua pihak, maka istimta’ yang dilakukan juga mestilah disenangi dan
dipersetujui juga oleh kedua-dua pihak, bukan sebelah pihak sahaja. Perlu
ditegaskan tentang satu hakikat, setiap lelaki dan wanita mempunyai keinginan
untuk memenuhi kehendak seks mereka namun kehendak dan kepuasan setiap individu
adalah berbeza. Samalah juga halnya dalam hal istimta’ ini. Ada jenis suami yang sukakan aksi-aksi yang baginya
adalah panas, hangat dan membangkitkan keinginannya untuk berhubungan namun ada
aksi-aksi tersebut yang tidak disenangi oleh isteri.
Dalam keadaan seperti ini, sewajarnya si suami berunding
dan berbincang dengan isteri. Seperti yang selalu saya tegaskan, hubungan
perkahwinan bermaksud sebuah komunikasi tanpa batas antara suami dan isteri.
Selalulah berbincang dan berterus terang serta cuba fahami dan terima kelebihan
juga kekurangan dan kelemahan pasangan. Bukan sahaja isteri malah ada kes,
suami tidak dapat menerima aksi ganas isteri dalam hubungan intim. Jawapannya
sama sahaja, berbincang demi keselesaan dan kepuasan bersama. Jika anda sukakan
aksi A sebaliknya pasangan anda tidak suka, lakukanlah aksi-aksi lain yang
disukai oleh kedua-duanya dan masing-masing merasa selesa dan merasai
nikmatnya. Paling penting, menerima bahawa kehendak manusia berbeza dan setiap
individu mempunyai kehendak dan kepuasan serta keselesaan yang tersendiri.
Perlu ada perbincangan, berterus terang dan toleransi
serta menerima kelemahan pasangan kerana hubungan seksual suami isteri adalah
hak dan tanggungjawab bersama suami isteri, bukan sebelah pihak sahaja.
Kegagalan bersikap sedemikian akan menyebabkan berlakunya perselisihan dan
kesannya, hikmah perkahwinan yang dianjurkan oleh syarak, tak mungkin dapat
dicapai. Ingatlah!! Seks bukan hanya kehendak nafsu tetapi boleh menjadi ibadah
dan mendapat pahala jika kena caranya…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan