25 Februari 2013

Ibu mertua hampir setaraf ibu sendiri


“Puan, saya ingin bertanya tentang suatu perkara. Benarkah seorang wanita yang sudah berkahwin diwajibkan mentaati ibu mertuanya melebihi ibunya sendiri? Saya musykil dengan perkara ni..boleh tak puan terangkan?”

Di atas adalah petikan satu e-mel yang saya terima semalam. Saya mengambil keputusan untuk menjawab e-mel tersebut melalui ruangan ini memandangkan persoalan yang diajukan ini turut menjadi satu kekeliruan bagi kebanyakan wanita di luar sana sama ada isteri ataupun ibu kandung malah ibu mertua sendiri.

Saya yakin, kekeliruan ini muncul disebabkan ada yang menghebahkan mengenai satu penyataan, kononnya satu hadis yang mengatakan: syurga bagi seorang isteri adalah di bawah tapak kaki suami. Sebenarnya, tak ada hadis yang disandarkan kepada Rasulullah SAW menyatakan tentang perkara tersebut. Yang ada hanyalah tentang syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Tak kira lelaki atau wanita, syurganya tetap di bawah tapak kaki ibu. Bermaksud, kalau dah kahwin pun, ketaatan kepada seorang ibu tetap perlu dan wajib.

Bagi seorang perempuan, biarpun ketaatan kepada seorang suami adalah menandingi ketaatan kepada ibu kandung sendiri, bukan bererti kehendak atau kata-kata ibu boleh dipinggirkan begitu sahaja. Ibu sendiri sama ada ibu kandung atau ibu angkat, tetap perlu ditaati dan dihormati. Malah, ibu mertua juga mendapat pengiktirafan yang sama, perlu ditaati dan dihormati. Pendapat yang mengatakan ibu mertua lebih perlu dihormati berbanding ibu sendiri adalah tidak benar sama sekali.

Kenapa tak benar? Diriwayatkan, seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, siapakah yang perlu ditaati? Rasulullah memberikan jawapan: ibumu. Sahabat bertanya lagi: Selepasnya? Rasulullah menjawab: Ibumu. Sahabat bertanya lagi: selepas itu ya Rasulullah? Rasulullah menjawab lagi: Ibumu. Sahabat bertanya lagi: Selepas itu? Barulah Rasulullah SAW menjawab; Ayahmu.

Saya yakin, ramai pembaca yang arif dan maklum dengan hadis tersebut. Jika ayah sendiri hadir kali keempat, tiga kali selepas ibu, mana mungkin ibu mertua, yang hanya hadir dalam hidup anda selepas sahnya ijab dan qabul antara anda dan pasangan anda khususnya suami, boleh menandingi ibu anda sendiri?! Sebenarnya ibu mertua memang perlu ditaati dan dihormati tapi bukan sampai meminggirkan ibu sendiri. Hakikatnya, dalam membincangkan tentang ketaatan, sama ada kepada suami atau kepada ibu sendiri malah kepada ibu mertua ataupun ayah dan ayah mertua, perkara paling penting ialah ketaatan tersebut tidak sampai melanggar batasan syarak.

Saya teringat satu kes yang pernah saya kendalikan kira-kira sembilan tahun yang lalu. Seorang isteri mengadu, tidak dibenarkan berhubung dengan ibu bapa sendiri malah dengan adik beradik yang lain selama hampir 20 tahun selepas berkahwin. Hidupnya hanya bersama suami, keluarga mertua dan anak-anak. Hatta satu ketika, ditakdirkan berselisih bahu dengan ibu bapa sendiri ketika menunaikan umrah tetapi suami di sebelah berpesan: “Jangan tegur…!” Si isteri patuh dalam terpaksa. Betulkah itu erti taat dan patuh yang syarak wajibkan? TIDAK!! Syarak wajibkan agar isteri taatkan suami pada perkara-perkara yang tidak melanggar hukum syarak tapi dalam kes tadi, suami berusaha memutuskan hubungan si isteri dengan ibu bapa sendiri. Perlukah ditaati? Sudah tentulah tidak…

Sama juga dengan kes ibu sendiri atau ibu mertua. Kalaulah ibu sendiri menyuruh anda bertindak sesuatu yang melanggar batas syarak sementara ibu mertua pula menyuruh sebaliknya; sebagai contoh, ibu mertua suruh anda belajar memasak untuk pikat hati suami tetapi ibu sendiri meminta anda gunakan ayat-ayat jampi atau yang sewaktu dengannya: sudah tentulah dalam situasi ini, anda perlu taatkan ibu mertua dan bukan ibu sendiri walau ibu sendiri berada di takhta tertinggi berbanding ibu mertua anda.

Saya faham, ramai isteri yang menghadapi dilema berhadapan dengan mertua khasnya ibu mertua. Malah ramai juga menantu lelaki menghadapi masalah serupa. Satu perkara yang perlu diingat: perkahwinan yang berlaku antara anda dan pasangan anda turut juga melibatkan hubungan antara anda dengan ibu bapa malah sanak saudara pasangan anda. Anda perlu terima pasangan anda seadanya (dengan bersyarat – rujuk perbincangan saya dalam siri-siri terdahulu) malah anda perlu juga terima ibu bapanya, sanak saudaranya juga seadanya.

Buat ibu dan bapa mertua, bantulah anak dan menantu anda mencipta bahagia dalam perkahwinan mereka. Peliharalah hubungan anda dengan menantu anda. Anak menantu anda adalah orang muda yang masih perlu belajar banyak perkara tentang hidup. Jalan terbaik, berbincang dalam setiap perkara sebab biarpun anda lebih dulu makan garam, tak bereti anak dan menantu anda salah dalam semua perkara. Paling penting, jangan putus doa agar rumahtangga anak dan menantu anda sentiasa dalam redha-Nya dan mereka sentiasa meletakkan anda di hati mereka.

****Siaran November 2009

2 ulasan:

izza berkata...

boleh terangkan mengenai hadith ini..

1)Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah Radhiallahu Anha bermaksud:

"Aku pernah bertanya kepada Baginda: "Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri ?" Baginda menjawab:"Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya". Kemudian aku bertanya lagi :"Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?" Baginda menjawab:"Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya."

(Riwayat Bazar dan al-Hakim)

2)Baginda bersabda bermaksud: "Sekiranya aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain nescaya aku perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya."

(Riwayat Tirmizi dab Ibnu Hibban)

saya rasa rujukan hadith dalam artikel puan kurang tepat untuk artikel puan kerana terlalu umum..

Unknown berkata...

Salam puan..sy mempunyai ibu mertua yg uzur krn kencing manis tp masih mampu menjaga diri dan membuat kerja rumah.sy dan suami tinggal di rumah yg berasingan dan blk menziarah ibu mertua pd hujung minggu.sejujurnya sy kurang selesa berada di kampung suami dan tidak pandai utk berbual dgn mertua.oleh itu sy mohon pd suami utk pulang ke kampung pd hujung minggu dan apabila kami tidak perlu bekerja.masalahnya kakak suami mengatakan suami telah membuang keluarganya dan lbh mementingkan isteri.byk kata2 nista yg dilemparkan pd sy menyebabkan sy lg berat hati utk pulang ke kampung