“Masalah yang saya hadapi ialah suami saya lebih suka tidur di ruang tamu daripada tidur di sebelah saya di bilik tidur dengan alasan, bilik tidur kami kurang selesa memandangkan dua anak kecil kami tidur bersama. Perkara ini membuat saya selalu berkecil hati dan kadangkala menangis seorang diri. Bila saya bangkitkan kepada suami dia mengatakan bahawa ini hanyalah isu kecil dan meminta saya bersabar, tapi sampai bila saya harus bersabar dan bila dia hendak bersama, tau pula dia mencari saya di bilik tidur dan tidak timbul pula isu tidak selesa dan selepas itu dia tinggalkan saya lagi berseorangan bersama-sama anak sedangkan dia tidur dengan nyenyak di ruang tamu di tingkat bawah atau menonton TV. Perkara ini membuat saya sangat tertekan kerana saya memerlukan dia bukan setakat untuk 'bersama' tetapi lebih daripada itu. Saya langsung tidak kisah kalau dia tidak ingat tarikh hari jadi saya, tarikh perkahwinan dan tidak pernah memberi hadiah kepada saya kerana saya sudah lali dengan perkara ini. Semasa awal perkahwinan dulu saya sedih juga, tetapi sekarang tidak lagi. Tetapi perkara yang satu ini memang saya tidak boleh berkompromi dan tahap kesabaran sudah habis. Bila saya mengenangkan perkara ini saya rasa tawar hati hendak melayan suami kerana berasa diri tidak dihargai tapi bila tak dilayan rajuknya berpanjangan pula.”
Di atas ini ialah petikan emel yang saya terima daripada salah seorang pembaca majalah kegemaran ramai ini. Sebenarnya bukan satu emel ini sahaja yang meluahkan perasaan isteri yang rasa tidak dihargai apabila suami melayani mereka tidak seperti yang diinginkan, malah daripada lebih 300 emel belum berbalas yang ada di dalam fail saya sekarang, hampir 30% adalah berkisar mengenai isu ini. Lantas, kali ini saya ingin membincangkan isu antara keinginan isteri dan kehendak suami… harapan saya, semua pengirim emel yang berkaitan akan berpuas hati. Maaf kerana saya tidak dapat membalas segera emel-emel pembaca semua dan maaf juga kerana tidak dapat membalasnya satu persatu. Saya mengambil pendekatan membincangkan segala isu yang dikemukakan, di ruangan ini, seperti kali ini… sebagai jalan terpantas menjawab segala emel-emel tersebut. Maafkan saya sekali lagi.
Kembali kepada isu kita pada kali ini… antara keinginan isteri dan kehendak suami. Selalu sangat saya dengar keluhan lelaki bernama suami ketika berborak sesama mereka di kantin atau restoran malahan ada juga yang menjadikan pejabat sebagai premis membincangkan… apa lagi yang isteri inginkan? Segalanya dah disediakan, rumah besar, perabot pelbagai, makanan yang cukup mengenyangkan, wang tunai dan kad kredit untuk berbelanja… apa lagi yang isteri kehendaki? Salah satu keinginan isteri, seperti yang diluahkan oleh pengirim emel tadi… isteri memerlukan suaminya lebih dari sekadar teman tidur. Bagaimana tu?
Bab berkaitan limpahan harta dan kewangan… kebanyakan isteri tak kisah sangat, memadailah cukup makan, pakai dan tempat tinggal yang selesa. Memang ada kes isteri yang inginkan kemewahan dan selalunya isteri begini menyayangi suami kerana wangnya. Seperti yang pernah saya timbulkan di dalam satu isu dahulu… kerana apakah kita memilih pasangan kita sebagai teman hidup? Jika kerana cinta dan sayang… kemewahan tolak ke tepi, yang penting adalah isteri inginkan belaian kasih dan sayang daripada suami.
Belaian kasih dan sayang ini bukan sekadar untuk ‘bersama’ tetapi setiap masa. Bukan bererti sepanjang masa suami perlu membelai isteri seperti membelai seorang bayi… perlu diusap, dipeluk, dicium… belaian yang isteri inginkan adalah lebih kepada memberi perhatian dan prihatin dengan dirinya. Jika isteri bersedih, dia inginkan suami bertanya… apa yang disedihkan? Jika isteri resah gelisah… dia mengharapkan suami menyoal… apa yang tak kena? Biar ada tikanya suami tak dapat menyelesaikan permasalahan yang menjerat jiwa tetapi apabila suami bersuara menanyakan tentang gejolak rasa yang dialami isteri… sungguh… segala resah gelisah akan hilang dan isteri akan lebih berani dan tabah menghadapi segalanya.
Masalahnya, kebanyakan suami… bila isteri tiba-tiba muram, dia akan buat tak tau jer… alaaa, biasa ler tu, sekali dalam sebulan, orang perempuan kan… isu sekali dalam sebulan ini akan tetap digunakan oleh suami walaupun dia perasan dan tau, bukan itu sebabnya. Kenapa? Sebab ambil jalan mudah… aku pun ada banyak benda nak fikirkan… inilah yang tak kena. Kalau dulu semasa bercinta, awek tak angkat telefon jer dah mula gelisah, sanggup menyerbu ke rumah sewa teman wanita walau jauh beribu batu semata-mata nak pujuk dan ambil tau, apa yang tak kena? Sekarang ni, perlu lah bertindak lebih agresif lagi… kalau nampak isteri gembira, tanyakan apakah yang diraikannya? Jika nampak isteri berduka, tanyakan pula apa yang meruntun jiwanya? Jika isteri merajuk pula, cepat-cepat ler pujuk… jangan biarkan rajuknya dipujuk sendiri… lama-lama nanti, tak mustahil kau akan gigit jari.
Jika selalunya pengantin perempuan diingatkan… jangan bersedih jika suami gembira, jangan tersengih jika suami merana… saya amat mengharapkan agar selepas ini, pengantin lelaki juga diingatkan dengan perkara yang sama… jangan berduka jika isteri ceria dan jangan ketawa jika isteri menitiskan air mata. Inilah konsep sebenar hidup berumahtangga, satu perkongsian antara suami isteri, perkongsian harta benda malah perkongsian rasa suka dan duka. Bukan sahaja isteri perlu peka dan perlu menuruti segala kehendak suami. Suami juga perlu prihatin dengan segala keinginan isteri. Jalan terbaik, amalkan sikap berterus terang, sentiasa berbincang dan saling memperbaiki kelemahan, insyaAllah… mahligai cinta anda akan terus bergemerlapan.
****Siaran Ogos 2005
1 ulasan:
artikel yg amat menyentuh jiwa.. betapa memahaminya artikel ini pada sang isteri.. terima kasih pn. suzana.. kalaulah sisuami memahami sepertimana tulisan ini.. Ya Allah.. betapa siisteri dihargai..
Catat Ulasan