Semasa makan tengahari tadi, saya terdengar dua wanita di meja sebelah saya bercerita… bukan menyibuk hal orang tapi dah dengar kan… kebetulan hari ini saya makan seorang diri, kawan yang sentiasa bersama saya bercuti. Menurut salah seorang wanita tersebut, beliau tengah sakit kepala memikirkan saranan ibunya agar suaminya berhenti berniaga dan mencari kerja tetap. Masalahnya, menurut wanita tersebut, suaminya berniaga kerana belum mendapat kerja tetap dan suaminya memang masih mencari kerja tetap. Bila ditanya oleh rakannya kenapa tiba-tiba sahaja si ibu mencadangkan demikian. Kata wanita itu, ibunya tahu perniagaan suaminya tidak lancar hinggakan urusan rumah tangga lebih ditanggung olehnya. Bagaimana ibu boleh tahu? Kata wanita itu, “aku yang cerita kat ibu aku!”
Inilah yang ingin saya kongsi dengan pembaca semua kali ini. Saya dah pernah bincangkan tentang kerahsiaan yang perlu dijaga antara kita dan pasangan kita.
Ada perkara yang perlu kita ceritakan kepada pasangan dan ada perkara yang perlu kita rahsiakan demi menjaga kebajikan dan kemaslahatan kedua-dua pihak. Kali ini, saya nak bincangkan pula tentang kerahsiaan hubungan kita dan pasangan kita yang perlu dijaga dan dirahsiakan agar tidak sampai ke pengetahuan orang ketiga khasnya ibu bapa dan adik beradik atau sanak saudara yang lainnya. Kenapa? Kerana setiap apa yang berlaku antara kita dan pasangan kita adalah satu rahsia tersendiri yang perlu disimpan seperti menyimpan gula di dalam balang…. tutup rapat-rapat supaya semut tak dapat masuk. Kalau semut dah masuk… bertambah pulak satu masalah.
Samalah dengan apa yang berlaku di dalam kehidupan seharian antara pasangan suami isteri. Seperti lagu popular di dalam filem Tiga Abdul… sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri... kalau lidah tergigit, hubungan suami isteri akan mudah untuk tenang tetapi jika kisah gigitan tersebut sampai ke telinga ibu bapa, adik beradik atau sanak saudara, gigitan yang hanya memberikan sakit sekejap cuma itu akan melarat menjadi satu kecederaan parah. Bukannya maksud saya ibu bapa dan sanak saudara akan mengganggu hubungan suami isteri tetapi dah menjadi kelaziman di dalam masyarakat kita, tidak ada ibu bapa yang inginkan anaknya menderita. Bak kata pepatah, cubit paha kanan, paha kiri pun terasa. Lantaran itulah, ibu bapa atau sanak saudara akan cuba memberikan jalan keluar kepada masalah yang diceritakan kepada mereka dan ada kalanya jalan tersebut akan memberikan lebih banyak masalah sebenarnya.
Saya akui tidak semua ibu bapa bersikap begini namun kerahsiaan tersebut tetap perlu dijaga. Walaupun ibu bapa tidak memberikan sebarang cadangan yang boleh dikategorikan sebagai makin menyesakkan fikiran kita namun cerita-cerita yang sampai ke pengetahuan mereka itu akan merumitkan ibu bapa kita pula. Sepanjang masa mereka akan memikirkannya…. antara kesannya, hubungan antara ibu bapa kita dengan pasangan kita akan dingin dan tidak mesra seperti sebelumnya.
Sebab itulah, sebagai isteri malah sebagai suami juga (saya pernah kendalikan kes melibatkan suami jenis ‘bawa mulut’), apa juga kesusahan, dugaan atau ujian yang kita alami sepanjang kita hidup bersama pasangan kita sebagai suami isteri… lipat dan simpan kemas di dalam diri. Jangan sesekali bocorkan kepada ahli keluarga yang lain. Apa-apa masalah yang kita hadapi walaupun berpunca daripada kelemahan suami atau isteri, cuba selesaikan dengan pasangan kita sahaja. Boleh jika ingin meminta pandangan atau buah fikiran tetapi carilah mereka yang bukan ahli keluarga dan lebih baik jika dapatkan khidmat mereka yang berkelayakan.
Kekadang, bukan masalah antara pasangan tetapi ada jenis individu yang suka menceritakan kelemahan pasangannya kepada ibu bapa dan adik beradik sendiri. Ini tak kena, itu tak kena… kesannya isteri atau suami yang akan tertanya-tanya kenapa keluarga pasangannya seperti tidak menerima kehadirannya sepenuhnya. Mula lah timbul syak wasangka… keluarga you tak boleh terima I ler… sedangkan punca asal kepada rasa tidak diterima itu adalah daripada pasangan mereka sendiri. Sebaiknya segala kelemahan atau apa sahaja yang kita tidak suka tentang pasangan kita, berterus terang sahaja secara elok. Elakkan orang lain mengetahui kelemahan pasangan kita. Hakikatnya, jika kita mendedahkan kelemahan pasangan kita bermakna kita mendedahkan kelemahan kita juga.
Bayangkan… kita menerima dia sebagai pasangan hidup tetapi dalam masa yang sama kita menghinanya… tidakkah kita telah mendedahkan perangai dan sikap buruk kita. Seperti yang selalu saya katakan, suami isteri adalah dua insan yang saling melengkapi… tampung kelemahan pasangan dengan kelebihan kita dan kelemahan kita pula ditampung oleh pasangan kita. Ingatlah, tidak ada manusia yang sempurna. Jangan sangka kita hebat dari segi kewangan maka kita adalah raja segalanya. Koreksi diri… ada kelemahan dari aspek lain pula… percayalahh!!
Namun, kerahsiaan ini juga ada pengecualiannya… sekiranya masalah yang kita hadapi boleh mengancam nyawa dan keselamatan diri, memang wajar perkara ini dikongsi bersama ibu bapa dan ahli keluarga yang lain. Jangan pula perkara-perkara serius sebegini dirahsiakan, banyak buruk dari baiknya. Lantaran, munasabah dengan kewarasan kita memilih si dia sebagai teman hidup… waraskanlah juga setiap kata-kata, keputusan malah apa jua tindakan yang kita ambil kerana sekali tersilap langkah, kita sendiri yang tersungkur.
****Siaran Ogos 2005
Tiada ulasan:
Catat Ulasan