Dalam berkira-kira topik apa yang ingin saya ketengahkan kali ini, tiba-tiba telefon bimbit saya berdering. Panggilan daripada seorang anak yang di dalam dilema antara rasa marah, geram dan serba salah. Menurut si anak, ayahnya yang tidak pernah dikenali selama hampir usianya 30 tahun, kini muncul mengharapkan rasa hormat, kasih sayang dan bantuan kewangan. Hmmm… macam pernah kudengar cerita ini…
Memang satu situasi yang sukar bagi si anak sekiranya berhadapan dengan kemelut seperti ini. Bayangkanlah, selama mengenali erti sebuah kehidupan, insan yang tidak pernah nampak bayang-bayangnya apatah lagi batang hidungnya tiba-tiba muncul mengenalkan diri sebagai ayah. Bukan sekadar mengenalkan diri tetapi mengharapkan satu penghormatan dan kasih sayang. Penghormatan dan kasih sayang melibatkan perasaan, sesuatu yang tidak boleh dipaksa tetapi boleh dipupuk kewujudannya. Wang dan harta benda? Bila melibatkan soal seperti ini, bolehlah dipertikaikan apa alasan lelaki yang mengakui dirinya sebagai ayah ini memunculkan diri.
Seperti yang kita semua sudah sedia maklumi, takkan wujud insan bernama anak jika tidak mempunyai dua insan utama bernama ibu dan ayah, tak kiralah anak sah taraf atau tidak sah taraf. Yang penting, adanya ibu dan ayahlah penyebab utama adanya anak. Sebab itulah setiap anak perlu menghormati ibu dan ayah. Namun, sekiranya sekadar pandai mewujudkan anak tetapi tidak tahu bagaimana untuk mengasuh, menjaga, memelihara dan mendidik anak tadi, tidak ada faedahnya juga.
Tanggungjawab seorang ibu dan ayah adalah memelihara dan menjaga serta mendidik anak-anak agar menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Bukannya setelah anak-anak telah berjaya mencipta nama dan mengharumkan nama negara ataupun anak-anak telah berjaya hidup dalam kemewahan harta benda… baru nak bersikap hidung tak mancung pipi yang lebih tersorong-sorong. Bila anak menafikan pernah mengenali siapa dirinya, baru kalut nak adakan ujian DNA dan sebagainya dan paling ‘haru hijau’, sanggup pulak mengemukakan kes ke mahkamah konon si anak tidak menghormati dirinya selayak dan sewajarnya sebagai seorang ibu atau ayah. Sendiri tidak menghormati hak diri, harapkan orang lain pulak untuk menghormati hak dirinya… betul-betul memalukan diri sendiri!!
Seorang anak hanya arif dengan persekitarannya ketika membesar. Seorang anak juga hanya akan mengenal dan menghormati orang yang sentiasa bersamanya, memberinya kasih sayang, memberinya perhatian dan sanggup bersusah payah untuknya. Tidak kira siapa orang tersebut di dalam hidup si anak tetapi jika hanya orang tersebut yang bertanggungjawab menjadikan dirinya sebagai seorang manusia yang sebenarnya maka rasa hormat, rasa kasih dan sayang akan menjadi milik orang tersebut. Mungkin pengasuh, mungkin kakak atau abang, mungkin ibu dan bapa saudara dan mungkin juga ibu dan ayah angkat! Kenapa? Kerana orang itulah yang mencurahkan sejuta pengorbanan demi si anak meniti hari-hari di dalam hidupnya dan insan sebeginilah yang sewajar dan selayaknya menerima penghormatan dan kasih sayang dan juga perkongsian limpahan harta benda si anak.
Namun, selalunya insan yang betul-betul mengabdikan diri demi membesarkan seorang anak kecil sejak tapak kaki hanya sebesar ibu jari, sama sekali tidak akan mengharapkan segala jasa baktinya dibalas oleh si anak. Cukuplah anak yang pernah disayangi dan dijaga bagai menatang minyak yang penuh dapat membesar dan dapat hidup berjaya dan bahagia. Cukuplah anak yang disayangi sepenuh hati mengenangi dirinya sebagai insan yang pernah hadir di dalam kamus hidup si anak. Orang yang sanggup berkorban segalanya ini juga akan sentiasa mendoakan kebahagiaan hidup si anak yang dijaga dan dipeliharanya sejak kecil dan tidak pernah terlintas di dalam hati kecil mereka untuk mengganggu kejayaan atau kebahagiaan hidup si anak walaupun si kecil yang diasuh dan dipelihara sejak kecil itu bukan darah daging mereka.
Begitulah besarnya pengorbanan yang dibuat oleh mereka yang sanggup memikul beban peranan seorang ibu atau ayah. Di dalam diri mereka ada rasa tanggungjawab. Di dalam diri mereka ada rasa kasihan dan belas kepada si kecil yang tidak kenal erti hidup. Berbanding mereka yang hanya pandai mewujudkan seorang insan kecil ke dunia tetapi bodoh dalam mengenal erti sebuah tanggungjawab sebagai seorang ibu atau bapa.
Bila si kecil telah besar panjang… telah berjaya dengan gemilangnya… barulah terhegeh-hegeh memunculkan diri mengakui mempunyai pertalian darah yang wajar si anak hormati. Paling tak sedar diri… pandai pulak marah-marah bila si anak buat tidak peduli.
Alahai!!! Inilah yang dikatakan lembu punya susu tapi si sapi yang terhegeh-hegeh nakkan nama. Sedarlah diri tu sikit….!!
****Siaran Mei 2005
Tiada ulasan:
Catat Ulasan