Semalam, saya menerima satu emel, seorang gadis meluahkan rasa sedih dan kecewa kerana masih belum menemui bahagia. Beliau seringkali gagal dalam bercinta, sentiasa diuji dengan pelbagai kerenah manusia. Rakan, handai dan taulan entah di mana ketika beliau memerlukan pertolongan mereka. Dalam usia menjangkau 30-an, beliau masih gagal menemui cinta sejati. Kerjaya impian juga masih belum berjaya diperolehi. Segala-gala dalam hidupnya serba tak kena dan semua impiannya tidak menjadi kenyataan. Beliau mempersoalkan, kenapa beliau perlu menerima ujian ini sedangkan beliau dah rasa terlalu penat dan tak tahu camana lagi untuk meneruskan hidup?
Hmmmm…. awal tahun dulu saya dah pernah bincangkan, ujian dan cabaran itu adalah rempah ratus kehidupan. Maksudnya, tak ada seorang pun yang hidup di dunia ini dapat lari daripada menerima ujian dan cabaran. Ujian dan cabaran itu pulak datang dalam pelbagai bentuk dan daripada pelbagai ragam manusia. Ada individu yang diuji dengan kekayaan, ada yang diuji dengan kemiskinan, ada ujian berbentuk masalah kewangan dan kerjaya malah ada ujian yang datang daripada insan-insan tersayang. Pendek kata, segala yang kita semua hadapi dan alami di dalam hidup ini adalah satu ujian.
Jika anda mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, itu juga satu ujian. Jika anda berjaya dalam perniagaan, itu jugak satu ujian. Jika anda berjaya menempah nama dalam satu-satu medan kerjaya, itu juga satu ujian. Pelik? Tak percaya kejayaan juga satu ujian? Saya utarakan satu kes, bukan cerita rekaan tetapi satu kisah benar. Seorang individu yang berusaha gigih untuk membina perniagaan bertekad akan menolong mereka yang susah jika telah berjaya. Ditakdirkan satu hari, beliau berjaya menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya dan ternama. Namun, ujian datang, beliau membantu mereka yang susah tetapi dengan bersyarat, ada bahagian yang perlu dibayar kepadanya. Alasannya… bisnes kan?
Saya sendiri, teruji dengan kejayaan. Sejak sekolah, saya tak pernah gagal dalam peperiksaan walau saya merupakan pelajar yang amat aktif dalam ko-kurikulum. Alhamdulillah, saya kerap kali mendahului rakan-rakan sekelas. Tahun pertama di UM, saya masih aktif tetapi masih menumpukan perhatian pada pelajaran. Malangnya, saya gagal satu subjek gara-gara tidak menjawab soalan wajib padahal markah yang saya perolehi amat melebihi markah lulus. Saya tak dapat nak jawab sebab saya tak sentuh langsung topik tersebut sedangkan 3 soalan esei lainnya, saya boleh jawab cemerlang. Mulanya memang saya sedih sebab saya tak pernah gagal. Beberapa hari saya termenung. Bimbang saya tidak dapat meneruskan pengajian kerana saya adalah pelajar sistem penggal. Kalau gagal, ada peluang untuk mengambil sekali lagi kertas tersebut dan jika gagal jugak, saya perlu mengulang semula semua 10 subjek yang saya belajar tahun tu.. kalau gagal jugak, saya boleh ditendang keluar dari UM. Bekas mahasiswa UM sezaman dengan saya taulah tentang 3R yang amat kami takuti: Refer… Repeat… Reject.
Alhamdulillah, dengan semangat yang diberikan oleh Bapa saya, saya berjaya mengulangi semula kertas tersebut dan akhirnya saya berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang walau sepanjang 4 tahun pengajian, saya terlalu sibuk dengan pelbagai aktiviti kampus, menyertai program pertukaran pelajar ke Brunei dan Jepun termasuk menganggotai MPPUM (sekarang ni MPMUM). Itulah yang saya katakan, kejayaan juga satu ujian. Jika terlalai, natijahnya akan diterima. Dah sekali terhantuk, kita akan lebih bersedia dan berhati-hati di dalam setiap tindakan. Dah kalau perkara yang menggembirakan juga adalah ujian, apatah lagi perkara-perkara yang menyedihkan.
Sebenarnya, sama ada kejayaan atau kegagalan yang anda terima sebagai ujian, paling penting ialah pendirian anda. Sejauh mana anda menerima sesuatu itu sebagai ujian dan bagaimana anda menjadikan segala bentuk ujian itu sebagai cabaran untuk anda meneruskan kehidupan di dunia ini. Jangan mengeluh melafazkan penat atau tak larat. Sebagai seorang Muslim, anda membaca al-Quran, hayatilah kandungannya. Di dalam satu ayat diterangkan dengan jelas: Allah hanya menurunkan ujian kepada seseorang kerana Dia tahu, anda mampu mencari jalan penyelesaiannya. Ujian juga sebagai jalan untuk anda lebih mendekatkan diri kepada-Nya. Anda tahu, tak der seorang individu pun di dunia ini yang mampu menyelesaikan masalah anda. Walau saya seorang perunding psikologi keluarga dan ramai yang mengadu masalah dengan saya, saya tak pernah menyelesaikannya. Saya hanya memberi anda jalan melalui akal anugerah Allah. Allah sebagai pencipta yang mengawal segala termasuk permasalahan anda seharian. Lantas, lebih lah mengadu dengan Dia dan kerana itulah juga, saya sentiasa ingatkan semua klien saya agar jangan lupa berdoa.
Ada kalanya juga, anda menerima ujian sebagai kifarat dosa yang lalu. Koreksi diri, mungkin kita pernah tersalah kepada seseorang atau pun melakukan dosa tanpa sedar kepada-Nya. Kita tak tau berkemungkinan tanpa sedar kita telah melakukan kesalahan dan Allah berikan kita ujian sebagai pengampunan setelah kita redha dengan ujian tersebut dan mengadu kepada-Nya. Paling penting, setiap kali anda menerima ujian, jangan memandang mereka yang lebih bahagia daripada anda sebaliknya pandanglah mereka yang lebih teruk ujiannya daripada anda. Dengan cara itu, anda akan rasa betapa bersyukur dan bertuahnya diri anda.
Di bulan Ramadhan penuh barakah ini, sama-samalah kita meningkatkan amal ibadat, memohon ampun dan rahmat daripada Yang Maha Esa. Redhalah dengan setiap kehendak-Nya, bahagia pasti datang… insyaAllah.
****Siaran Oktober 2006
Tiada ulasan:
Catat Ulasan